UNIK...keadaan busut yang menjadi sarang udang lipan (gambar kecil) di muara sungai Kampung Kurnia, Kuantan.
KUANTAN: Keunikan persekitaran Kampung Kurnia, di sini, berkongsi tempat tinggal dengan udang ketak mengundang pemandangan agak menarik bagi mereka yang pertama kali berkunjung ke perkampungan berkenaan.
Tinjauan Harian Metro di perkampungan berkenaan mendapati, setiap rumah didirikan berhampiran tebing sungai itu mengundang kehadiran ribuan udang berkenaan yang membuat sarang seperti busut menggunakan tanah serta selut.
Ada antara sarang udang ketak atau turut dikenali dengan nama udang mentadak atau udang lipan itu mempunyai ketinggian hampir satu meter.
Mungkin ada pihak hairan dengan keadaan itu, tetapi bagi warga perkampungan berkenaan terletak lima kilometer dari bandar Kuantan, ia sesuatu yang biasa kerana kehadiran beribu-ribu udang ketak membuat sarang di tanah milik penduduk berlaku sejak puluhan tahun lalu.
Udang ketak atau nama saintifiknya hemisquilla ensigera lazimnya digunakan penduduk kampung bagi mengubati pelbagai jenis penyakit terutama lelah dan ia dibakar hingga hangus sebelum cengkerangnya dibuang bagi mendapatkan isinya.
Penduduk, Zulkifli Abdullah, 39, berkata, dia sudah biasa dengan keadaan itu dan tidak kisah berkongsi tanah dengan udang berkenaan.
“Selagi udang itu tidak mengganggu kehidupan kami, selagi itulah saya biarkan saja kerana untuk membuang semua sarang ini, saya rasa ia mustahil.
“Udang ketak jarang menonjolkan diri. Hasil pemerhatian saya, udang ini menghabiskan sebahagian besar hayatnya dengan berlindung dalam sarang dan lubang yang dibina,” katanya.
No comments:
Post a Comment