Pages

Tuesday, April 10, 2012

Batu nisan 600 tahun ditemui di Johor

Batu nisan 600 tahun ditemui di Johor



Batu nisan 600 tahun

BENUT – Aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan kubur lama oleh penduduk Kampung Parit Hassan Benut di sini berjaya membawa kepada penemuan mengejutkan apabila mereka menjumpai sebuah kubur lama dengan batu nisan dipercayai berusia lebih 600 tahun.

Batu nisan yang terukir dalam tulisan Bugis lama ini turut mencatatkan tahun 1350 pada batu berkenaan dan sekiranya ia benar, penemuan itu perlu diangkat sebagai bahan sejarah seperti penemuan Batu Bersurat Terengganu yang dianggarkan berusia 700 tahun.

Imam Surau Parit Hassan, Milok Woddi, 63, berkata, dia tidak menyangka menemui batu nisan tersebut memandangkan tanah perkuburan lama itu sebelum ini dipenuhi semak dan terbiar sehingga ramai penduduk tidak mengetahui kewujudan kawasan kubur terbabit.

“Saya sendiri yang berketurunan dan fasih berbahasa Bugis, turut tidak dapat memahami tulisan pada batu nisan ini berikutan tulisan yang digunakan adalah tulisan lama,” katanya.

Katanya, tanah perkuburan lama seluas dua hektar itu mempunyai kira-kira 200 kubur berdasarkan kepada cerita orang-orang lama di kawasan itu dan ia terletak di tengah-tengah ladang kelapa sawit, agak jauh dari rumah penduduk serta kerap dinaiki air sekiranya hujan lebat.

“Batu nisan yang digunakan bukan dari sembarangan batu dan berdasarkan kepada bentuk dan warna, ia betul-betul batu asli yang tidak akan rosak walau sudah terendam dengan air banjir berulang kali,” katanya.


Selain itu, katanya, bentuk batu nisan yang agak besar dan sukar untuk ditemui lagi kini, memberi gambaran tanah perkuburan terbabit sudah begitu lama usianya.

“Hanya orang-orang lama sahaja di kampung ini mengetahui tentang kewujudan kubur lama ini, memandangkan sebelum ini ia dipenuhi dengan semak samun setebal hutan rimba, dan kedudukan agak jauh sehingga perlu merentasi beberapa ladang sawit,” katanya.
Dia yang tinggal di kampung itu sejak kecil lagi, bersyukur dengan kerja-kerja pembersihan yang dilakukan secara bergotong-royong sebelum ini berjaya menemukan batu nisan terbabit.
“Penduduk kampung di sini terpanggil untuk membuat gotong-royong secara berperingkat-peringkat sejak setahun lalu untuk membersihkan kawasan kubur lama ini selepas ada penduduk yang bertanya mengenai kubur terbiar ini,” katanya.
Penduduk gesa bina jalan masuk
Berikutan penemuan itu, penduduk kampung berkenaan berharap Jabatan Agama Islam Johor ( Jaij ) mahupun Pejabat Agama Daerah Pontian dapat mengambil langkah yang sewajarnya bagi memulihkan semua kubur-kubur lama itu.
Menurut Setiausaha Surau Kampung Parit Hassan, Saadon Badilah, 45, dia berharap sebatang jalan masuk dapat dibina bagi memudahkan penduduk dan waris melawat tanah perkuburan terbabit.
Katanya, sebidang tanah kebun kelapa sawit yang hampir dengan kawasan tersebut dilihat bersesuaian untuk pembinaan jalan terbabit.
“Tetapi ia pastinya memerlukan peruntukan pihak kerajaan bagi membina jalan tersebut kerana penduduk tidak mampu untuk mengeluarkan belanja sendiri ,” katanya.
Penduduk lain, Ambok Lalak Woddi, 65, memberitahu tanah perkuburan berkenaan masih digunakan penduduk pada era 50an.

Namun selepas pembinaan jalan baru ke kampung berkenaan dibuat ketika itu, jalan masuk ke kampung yang dahulunya berhampiran dengan kawasan kubur lama itu, terus terbiar.

Akibatnya, ramai yang tidak menyedari kewujudan kubur di situ sehinggakan ia dipenuhi dengan semak samun seperti hutan.

Justeru, sekiranya penemuan itu benar, usaha perlu dilakukan bagi membolehkan kubur-kubur di kawasan berkenaan dipelihara dengan sempurna seterusnya menjadi tinggalan sejarah kepada generasi muda.

3 comments:

  1. Syukur dan AlFatihah utk muslimin dan muslimat yg bermukim di kubur lama ini. Alfatihah jua utk semua.

    ReplyDelete
  2. Alfatihah ...
    apa khabar mamawana?

    ReplyDelete