Pekerja Indonesia kirim pulang RM12 bilion
JAKARTA - Tenaga Kerja
Indonesia dari beberapa negara asing di seluruh dunia mengirim pulang
wang berjumlah AS$4 bilion sehingga Mei tahun ini.
Dalam tempoh itu, kiriman wang oleh pekerja Indonesia dari
negara-negara di Asia ialah AS$1.2 bilion manakala kiriman wang dari
negara-negara Amerika, Timur Tengah, Afrika, Eropah dan Australia pula
berjumlah AS$2.8 bilion.
Butir-butir ini diberikan Timbalan Ketua Bidang Perlindungan, Badan
Nasional Penempatan dan Perlindungan Tenaga Kerja Indonesia (BNP2TKI)
Lisna Yoeliani Poeloengan dalam siaran berita di laman web BNP2TKI.
Menurut Lisna, sumbangan hasil oleh tenaga kerja Indonesia kini
menjadi penyumbang kedua terbesar kepada ekonomi Indonesia selepas
sektor minyak dan gas kerana mereka menyumbang antara AS$6 bilion hingga
AS$7 bilion setahun.
Beliau berkata pada 2011, tenaga kerja Indonesia mengirim pulang wang
berjumlah AS$6.735 bilion, pada 2010 AS$6.734 bilion dan pada 2009
AS$6.617 bilion.
Lisna berkata, tenaga kerja Indonesia di Hong Kong merupakan
penyumbang paling besar iaitu AS$400 juta sedangkan bilangan pekerja
yang dihantar ke sana hanya kira-kira 130,000 orang.
Secara perbandingan tenaga kerja Indonesia dari Arab Saudi yang
berjumlah 1.2 juta orang mengirim pulang wang AS$1.7 juta dan tenaga
kerja Indonesia di Malaysia yang berjumlah 2.3 juta orang mengirim
pulang tidak sampai AS$2 juta, katanya. - Bernama
SUMBER; SINAR HARIAN, 18 Julai 2012
No comments:
Post a Comment