Sejarah Kejayaan Faiza Bawumi Sayed Ahmad
Saya ingin menjadi pembayar zakat terbesar di negara ini.”
Itulah azam,
pemilik syarikat pemborong beras
Syarikat Faiza Sdn. Bhd., Faiza Bawumi
Sayed Ahmad.
Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Kepada penduduk yang tinggal di Kawasan Peserai, @ Jalan Penambang Lama di Batu Pahat, mungkin biasa melihat Kilang Faiza di pinggir Sungai Batu Pahat. Begitu juga kepada peminat setia Bersamamu di TV3. Pasti nama Beras Faiza sentiasa bermain di minda.
Kisah kejayaan usahawan kerap menarik untuk dibaca dan menjadi sumber
inspirasi untuk kita semua . Kisah yang ingin dipaparkan di sini bukan
sesuatu yang baru kerana pernah disiarkan dalam beberapa akhbar dan
media tempatan.
Malah ramai yang telah menulis tentang kisah kejayaan
usahawan wanita ini yang juga adalah salah seorang tokoh Maulidurasul
Peringkat Kebangsaan 2010/1431H. Mari kita hayati sejenak info ringkas
kisah usahawan beras Faiza Bawumi untuk dijadikan motivasi kali ini.
Faiza adalah pemilik syarikat pemborong beras Syarikat Faiza Sdn. Bhd. Beliau
adalah wanita kelahiran Mesir yang berhijrah ke Malaysia pada tahun
1964 kerana mengikut suaminya. Beliau fasih berbahasa Melayu dan mampu
menguasai bahasa Melayu setelah hanya tiga bulan berada di Malaysia.
Meskipun sudah berusia lingkungan 60an, beliau yang juga seorang nenek
kepada 32 cucu sibuk masih giat merancang strategi bagi mengukuhkan
kedudukannya dalam pelbagai cabang perniagaan di negara ini.
Kisah bagaimana beliau dijodohkan dengan suaminya seorang lelaki
asing yang sedang melanjutkan pengajian di Universiti Al-Azhar ketika
itu tidak pernah dikenalinya, amat menarik dibaca.
Ketika bapanya
menyuruh beliau berkahwin dengan jejaka itu Faiza Bawumi baru sahaja
berusia 16 tahun manakala suami beliau Abu Bakar Ahmad, 34. Namun kerana
taat akan suruhan bapanya yang menyuruh beliau mengahwini Abu Bakar
selepas bapanya yang beristikharah beberapa kali, Faiza akur.
Setelah berkahwin dan dikurniakan cahaya mata yg pertama, beliau di
bawa oleh suaminya untuk berhijrah ke Malaysia. Untuk menghabiskan masa
seharian, Faiza mencari aktiviti berfaedah yg boleh dilakukan bagi
mengelakkan masanya terluang begitu sahaja. Faiza yang memangnya
dilahirkan dalam keluarga yang juga bergiat dalam perniagaan sememangnya
cenderung melakukan aktivit-aktivit perniagaan kecil untuk memenuhi
masa lapangnya.
KEJAYAAN TIDAK DATANG BERGOLEK
Kejayaan syarikat sekarang ini tidak datang dengan mudah. Beliau
bermula dengan mengambil upah menjahit sulaman dengan modal RM4 selain
menjual pelbagai barangan dapur. Kemudiannya beliau beralih membuat
rempah kari di bawah jenama Bunga Raya yang dilakukan di rumah dan
mengedarkannya di kedai-kedai.
Modal daripada menjual rempah kari itu digunakan untuk membuka kedai runcit. Menerusi syarikat FAIZA dimulakan pada tahun 1982, beliau menjalankan
aktiviti runcit sebagai perniagaan teras. Dari situ beliau mendapati
pemborong beras kebanyakannya dibekalkan oleh kaum lain.
Pada permulaan
perjalanan syarikatnya, Faiza mula belajar mengenali pelbagai jenis
beras. Sebelum menjual beras, beliau terpaksa pergi dari satu kedai ke
kedai lain bagi mendapatkan maklum balas sama ada mereka akan membeli
berasnya jika beliau menjualnya.
Sekitar tahun 1992, Syarikat FAIZA secara rasminya diperbadankan
menjadi Syarikat FAIZA Sdn. Bhd. (SFSB), dan menjalinkan modal usaha
(venture capital) dengan Padiberas Nasional (BERNAS) pada tahun 1997.
BERMULANYA BERAS FAIZA DI PASARAN
Atas respons yang positif, Faiza memohon lesen pemborong beras dan menjual pelbagai jenis beras.
Pada permulaannya, beliau agak buntu melihat satu lori treler penuh
berisi beras diletakkan di hadapan rumah, namun kerana tekad yang kuat,
beliau nekad membungkus menggunakan jenama Bunga Raya dan menghantar ke
kedai-kedai di seluruh Johor.
Meskipun saingan agak sengit perniagaan beliau mendapat sambutan.
Trend kesedaran masyarakat terhadap kandungan pemakanan juga menjadi
pemangkin kejayaan syarikat ini. Pada awal tahun 90an, masyarakat mulai
menjadi lebih peka kepada cara pembuatan dan kandungan makanan.
Pada tahun 1998, beliau terdorong mempromosi beras ponni dari India
yang dipercayai baik untuk kesihatan, khususnya bagi penghidap
diabetes, obesiti dan darah tinggi. Pada
ketika ini juga syarikat itu telah mula diperkenalkan dengan sejenis
kategori beras berkualiti dari Kartanaka, India. Beras ini adalah jenis
beras “Ponni”.
Faiza berkata, bagi membuktikan kebaikan beras itu, syarikatnya telah
meminta Universiti Putra Malaysia (UPM) membuat kajian dan hasilnya
memang positif. “Saya melabur berjuta ringgit bagi produk Taj Mahal dan
telah meminta hak eksklusif daripada Bernas,” tambahnya yang gembira
dengan sambutan orang ramai terhadap produk tersebut.
Menerusi produk berkualiti dan berkhasiat sesuai untuk
pesakit seperti pesakit diabetik, SFSB memperkenalkan beras “Ponni” ini
ke seluruh Malaysia.
PRODUK HALAL THOYYIBA
Syarikat beliau kini telah dikenali kerana kualiti produk yang
tinggi, seratus peratus buatan Islam dan halal. Beliau kini mempunyai
kilang di Kuala Lumpur, Kedah dan Terengganu.
Syarikat beliau kini
mempunyai 200 pekerja tetap dan lebih 300 pekerja kontrak.
Syarikat Faiza kini juga meneroka bidang baru termasuk memasarkan
bihun, sos cili dan kicap selain dari beras dan rempah. Bagi produk
bihun pula, syarikatnya telah menempah mesin dari China dan produk itu
akan diproses di sebuah kilang lain juga di Sri Gading.
Bagi produk bihun pula, syarikatnya telah menempah mesin dari China
dan produk itu akan diproses di sebuah kilang lain juga di Sri Gading.
Kilang tersebut mampu mengeluarkan sebanyak sembilan tan bihun sehari,
namun pada peringkat awal cuma memproses lima tan bihun dengan sasaran
jualan sebanyak RM12 juta bagi tahun pertama.
Beliau berharap dengan penglibatan dalam penghasilan produk tersebut
ia memberi pilihan kepada orang Islam untuk mendapatkan produk yang
bermutu tinggi dan tanpa diragui status halalnya.
Faizah berkata semua usaha yang dilakukan itu bukanlah untuk
mengumpulkan kekayaan sebaliknya untuk menjadi pembayar zakat terbesar
di Malaysia sekali gus membantu lebih ramai orang yang susah. Syarikat
beliau adalah pembayar zakat terbesar dan kerap terlibat dalam
program-program untuk membantu masyarakat seperti BersamaMu dengan TV3.
SUMBANGAN
Sumbangan
Kesenangan yang ada perlu dikongsi
bersama dengan mereka yang memerlukan,terutama golongan miskin dan ibu
tunggal, kata Faiza Bawumi Sayed Ahmad, tokoh Maulidur Rasul peringkat
kebangsaan tahun ini.
Faiza, yang merupakan Pengarah Urusan Syarikat Faiza Sdn Bhd, yang
sinonim dengan program realiti
televisyen swasta tempatan yang
berbentuk amal “Bersamamu” kerana syarikat itu merupakan penaja utama
rancangan tersebut, berkata hasratnya kini adalah untuk menubuhkan
Yayasan Faiza bagi membantu golongan tersebut.
“Pengalaman turun padang mendekati kehidupan golongan susah dan ibu
tunggal membuatkan saya berhasrat untuk menubuhkan Yayasan Faiza satu
hari nanti bagi menguruskan hal kebajikan dan sumbangan kepada orang
ramai.
“Niat saya hanya satu, iaitu tujuan saya berniaga bukan untuk
kekayaan diri sendiri, tetapi untuk membantu orang lain terutama
golongan miskin dan ibu tunggal menikmati kehidupan yang baik,” katanya
kepada Bernama di sini baru-baru ini.
Faiza juga turut menyarankan umat Islam di negara ini supaya hidup
bersatu padu supaya tidak mudah ditindas oleh bangsa lain, dan hubungan
yang kukuh sesama umat Islam bukan sahaja mampu memajukan masyarakat
Islam di negara ini, malah mampu meningkatkan kedudukan ekonomi
masyarakat tersebut.
“Kita kena bersatu supaya tiada sesiapa dapat pecah-belahkan kita.
Bila kita lemah, kita kena tindas. Ibarat lidi, bila ia satu, maka ia
mudah dipatahkan tetapi apabila ia banyak, maka tidak dapat dipatahkan
dengan mudah,” kata anak kelahiran Mesir yang berhijrah ke Malaysia
mengikuti suaminya Allahyarham Abu Bakar Ahmad yang merupakan rakyat
Malaysia pada tahun 1964.
Faiza, 68, berkata semua masyarakat
Islam juga perlu mengamalkan cara hidup dengan berpegang kepada ajaran
Al-Qur’an, dan bersikap sentiasa senang hati apabila melihat kesenangan
orang lain, dan bukannya berperasaan iri hati serta berhasad dengi
apabila melihat kejayaan orang lain.
Faiza berkata pengalamannya berniaga, termasuk berurusan dengan
bangsa lain membuka mindanya untuk menyedarkan masyarakat Islam
khususnya orang Melayu betapa perlunya mengamalkan sikap
tolong-menolong antara satu sama lain seperti yang diamalkan bangsa
lain.
“Pernah seorang peniaga bukan Melayu meminta saya berfikir antara
dua jenis ketam iaitu ketam Melayu dan ketam bukan Melayu. Mulanya saya
tidak faham apa yang dimaksudkannya dengan dua jenis itu sehinggalah
peniaga itu kemudian menjelaskan bahawa ketam Melayu akan menarik
kawannya jatuh ke bawah ketika berjalan mendaki bukit, manakala ketam
bukan Melayu pula akan menolong kawan-kawannya,” katanya.
Faiza yang memiliki diploma dalam bidang jahitan sebelum berjaya
mendirikan perusahaannya sekarang mula menceburi bidang perniagaan
secara kecil-kecilan dengan menjahit pakaian, dan kemudian mengusahakan
perusahaan rempah giling yang dijual kepada jiran serta kedai, sebelum
membuka kedai runcit pada tahun 70-an.
Syarikat milik Faiza kini mengedar lebih 21 jenama beras di negara
ini temasuk yang paling dikenali, “Herba Ponni Taj Mahal” dan anak
syarikatnya, iaitu Faiza Marketing Sdn Bhd pula melibatkan diri dalam
mengilang pelbagai jenis rempah termasuk rempah Raja Kari, rempah
Bukhari dan terbaru, rempah rendang.
AMALAN PUAN FAIZA
Ibu kepada tujuh orang anak dan mempunyai 32 orang cucu itu juga
berharap masyarakat Islam sentiasa mencontohi keperibadian Nabi
Muhammad S.A.W dalam menjalankan kehidupan seharian, terutama amanah
dan gigihnya Baginda Rasullulah dalam menjalankan perniagaan serta
dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai pemimpin.
Faiza mengamalkan solat sunat tahajjud, solat sunat dhuha dan membaca
Surah AlWaqiah hampir setiap hari sebagai ikhtiar untuk sentiasa
mendapat keberkatan dan kemurahan rezeki dalam perniagaan.
Kisah kejayaan syarikat Faiza diharapkan menjadi inspirasi dalam apa
bidang sekali pun, niat yang murni dengan usaha yang tidak mengenal
jemu akan menghasilkan kejayaan.
Kejayaan juga tidak datang bergolek dan tidak ada jalan mudah untuk
mencapai kejayaan sebenarnya. Seperti pepatah melayu, tidak dapat sagu
jika tidak dipecahkan ruyungnya. Setelah melakukan usaha, seharusnya
diiringi dengan berdoa dan bertawakal.
Info Faizah berasaskan rencana asal berkenaan Puan Faiza dari
Kosmo.com.my, Utusan.com.my dan latar syarikat yang boleh dibaca
menerusi laman web syarikat Faiza.
Mencari satu yg begini di celah-celah kemajuan ekonomi yg dirangkumi bangsa asing amat mengkagumkan Ummu...
ReplyDeleteKakzakie
ReplyDeleteinsan sebeginilah yang perlu kita contohi,akak kak.barulah bangsa kita boleh maju
Kakzakie
ReplyDeleteinsan sebeginilah yang perlu kita contohi,akak kak.barulah bangsa kita boleh maju
Jgn ada dengki dan iri hati melihat kesenangan org lain..mudah2an kata2 itu menjadi pedoman buat org Islam semua supaya tiada perasaan dengki dan iri hati kpd org lain yg hidup lebih senang. Ramai antara kita, SUSAH melihat org SENANG. SENANG melihat org lain SUSAH..wallahuallam.
ReplyDelete