Tak perlu ponteng lagi
Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Terima kasih wartawan Harian Metro yang menyiarkan berita tentang keluarga ini. Terima kasih kepada JKM dan MAIJ yang mengambil tindakan segera. Pasti guru besar dan guru-guru anak-anak ini gembira dengan kehadiran kembali pelajar ini ke sekolah.
‘Tak perlu ponteng lagi’
JOHOR BAHRU: “Selepas ini, anak saya tidak perlu lagi ponteng sekolah
untuk membantu saya menjual nasi lemak bagi menampung kehidupan kami
sekeluarga,” kata seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai
Noraini, 35, yang juga ibu kepada tiga kanak-kanak yang terpaksa ponteng
sekolah hampir 100 hari akibat keletihan berjalan kaki untuk menjual
nasi lemak.
Noraini berkata demikian ketika ditemui di kediamannya di Kempas,
di sini, semalam, selepas keluarganya menerima kunjungan kakitangan
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru serta Majlis Agama Islam
Johor (Maij), untuk memberikan bantuan, semalam.
Menurutnya, bantuan itu akan digunakan sebaik mungkin terutama bagi memastikan kehidupan empat anaknya, Nazirah, 16, Hamirul, 11, Nabila, 9, dan Alyah, 8, terjamin.
“Rezeki kami juga semakin bertambah sejak Ramadan selepas menerima
tempahan memasak nasi ambang untuk dijual di bazar Ramadan.
“Disebabkan itu, tiga anak saya tidak perlu ponteng sekolah lagi dan saya akan cuba memastikan mereka dapat berehat selain menumpukan perhatian sepenuhnya pada pelajaran.
“Saya tahu pelajaran itu penting dan hanya dengan pelajaran nasib kami sekeluarga dapat diubah,” katanya.
Menurut wanita yang digantung tidak bertali sejak lima tahun lalu
itu, bantuan diterima daripada JKM dan Maij akan digunakan sebaik
mungkin terutama bagi memastikan kehidupan empat anaknya terjamin.
“Pegawai JKM memaklumkan mereka akan menaja peralatan berniaga seperti periuk, kuali, sudip dan yang berkaitan untuk saya memulakan perniagaan,” katanya.
“Ia cukup menggembirakan kerana sebelum ini, semua peralatan itu
saya pinjam daripada kenalan yang bermurah hati membantu,” katanya.
Menurut Noraini, harapannya kini memastikan keempat-empat anaknya membesar dengan sempurna selain mendapat pendidikan terbaik.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/24
JKM salur bantuan RM400 sebulan
JOHOR BAHRU: Bantuan kanak-kanak (BKK), RM400 sebulan akan diberikan
kepada keluarga tiga kanak-kanak terpaksa ponteng sekolah hampir 100
hari akibat kepenatan menjual nasi lemak bermula Ogos ini.
Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Johor Bahru,
Manayi Ibrahim berkata bantuan, itu diberikan kepada keluarga berkenaan
selepas pihaknya selesai menjalankan siasatan selain semakan terhadap
keadaan keluarga itu.
Menurut Manayi, selain bantuan BKK, ibu kanak-kanak berkenaan juga layak menerima bantuan memulakan perniagaan RM2,600 daripada JKM yang memerlukan wanita berkenaan menyenaraikan segala peralatan diperlukan.
“Kami juga akan membantu dalam urusan membabitkan yuran
persekolahan tiga anaknya bagi memastikan mereka tidak berdepan masalah
yang boleh mengganggu tumpuan pelajaran.
“Kaunselor juga akan dihantar untuk berjumpa kanak-kanak itu bagi membantu mereka berdepan rasa rendah diri yang mungkin memberi tekanan emosi kepada ketiga-tiga beradik berkenaan,” katanya ketika ditemui di rumah keluarga kanak-kanak terbabit di Kempas di sini, semalam.
Hadir sama Penolong Pegawai Tadbir Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Endok Khairunisak Beduroding dan Ketua Kampung Kempas, Salim Daud.
No comments:
Post a Comment