Salam takziah dan salam ketabahan untuk keluarga Allahyarhamah Nurul Nadirah Abdullah, 5, atau Dirang. Al Fatihah untuk Nurul Nadirah Abdullah.
Salam tahniah untuk pasukan Polis yang menangani kes ini. Juga ucapan penghargaan dan terima kasih kepada orang ramai yang membantu polis dalam kes ini.
Polis tidak menolak kemungkinan dendam peribadi terhadap keluarga Nurul Nadirah Abdullah, 5, atau Dirang menjadi motif di sebalik penculikan dan pembunuhan kejam kanak-kanak berkenaan. Mungkinkah Peribahasa Melayu,"Kerana Marahkan Nyamuk, Kelambu Dibakar?"
Pengajaran daripada kes ini, sebagai ibu bapa, ingat pesanan pihak polis yang mengingatkan ibu bapa untuk mengawasi anak mereka terutama yang masih kecil pada setiap masa dan tidak meninggalkan mereka tanpa pengawasan.
Motif dendam
KUALA LUMPUR: Polis tidak menolak kemungkinan dendam peribadi terhadap keluarga Nurul Nadirah Abdullah, 5, atau Dirang menjadi motif di sebalik penculikan dan pembunuhan kejam kanak-kanak berkenaan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Bakri Zinin berkata, setakat ini, empat suspek termasuk tiga ditahan beberapa jam selepas laporan kehilangan Nur Nadirah dibuat neneknya pada 1 Mac lalu.
Katanya, suspek keempat yang juga bapa Dirang ditahan beberapa hari lalu.
“Bantuan segera daripada masyarakat membolehkan polis menangkap tiga suspek beberapa jam selepas laporan kehilangan Dirang dibuat. Suspek keempat ditahan beberapa hari kemudian. Dengan empat penangkapan ini, kami percaya polis berada di landasan yang betul untuk menyelesaikan kes ini.
“Kami menyiasat dari semua sudut untuk memastikan motif di sebalik penculikan dan pembunuhan kanak-kanak ini dapat dikenal pasti,” katanya dalam satu kenyataan yang dibuat dalam facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM), semalam.
Katanya, polis juga ingin menyampaikan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada orang ramai yang membantu polis dalam kes ini, terutama dalam memberikan maklumat yang membawa kepada penangkapan suspek dan penemuan mayat.
“Sekali lagi pihak polis mengingatkan ibu bapa untuk mengawasi anak mereka terutama yang masih kecil pada setiap masa dan tidak meninggalkan mereka tanpa pengawasan,” katanya.
PETIKAN DARIPADA UTUSAN...
JOHOR BAHRU 13 Mac - Sambil menyifatkan pelaku jenayah yang membunuh Nurul Nadirah Abdullah (gambar) sebagai berhati binatang, polis hari ini bertekad untuk memastikan mereka yang melakukan perbuatan itu diseret ke muka pengadilan dalam tempoh terdekat.
Ini kerana polis telah mengenal pasti penjenayah yang terlibat dalam pembunuhan kejam kanak-kanak berusia lima tahun itu dan akan segera menyiapkan kertas siasatan kes berkenaan untuk diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP).
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan tindakan suspek yang tidak berhati perut dan akan memastikan mereka yang terlibat dihadapkan ke muka pengadilan.
No comments:
Post a Comment