Pages

Wednesday, April 11, 2012

Istiadat Pertabalan Yang diPertuan Agung ke-14, Daulat Tuanku

Istiadat pertabalan Agong ke-14 bermula



KUALA LUMPUR 11 April 2012 - Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu"adzam Shah menyampaikan titah diraja sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-14 di Istana Negara di sini, hari ini. Turut berangkat Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah. - BERNAMA
 

KUALA LUMPUR 11 April 2012 - Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah mengucup al-Quran yang merupakan lambang kemuliaan Islam sebagai agama rasmi negara pada Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-14 di Istana Negara di sini hari ini. - BERNAMA
 

  ISTANA Negara Jalan Duta mencatatkan sejarah tersendiri apabilaTuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah buat julung-julung kalinya ditabalkan di istana ini. 

 ANGGOTA kumpulan Nobat Diraja Kedah berlatih sebagai persiapan menjelang istiadat pertabalan Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14. 

AZUAN memikul tanggungjawab mengetuai istiadat pertabalan Tuanku Abdul Halim. 


 Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Hari ini Rabu, 11 April 2012, bersamaan 19 Jumadil Al Ula 1433 Hijriah,  buat julung kalinya di tanahair kita, diisytiharkan sebagai Hari Cuti Umum. 
Ini adalah kerana, Sempena Istiadat Pertabalan Yang diPertuan Agung Malaysia. 

Pada kali ini, Istiadat Pertabalan Yang diPertuan Agung di Malaysia sudah memasuki kali ke 14. 
Sembah tak'zim dan tahniah, patik dari Blog myukhuwwah zahirkan kepada  Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu”adzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-14.
 Semoga Negara Malaysia yang tercinta ini semakin bertambah makmur dan selamat sejahtera hendaknya di bawah pimpian  Yang diPertuan Agung Tuanku Abdul Halim Mu”adzam Shah.
Berita dipetik daripada BERNAMA, 11/04/2012 10:37am

KUALA LUMPUR – Istiadat pertabalan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu”adzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-14 bermula pagi ini di Istana Negara di sini dengan upacara pemeriksaan barisan kehormat.

Seramai l07 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja yang terdiri daripada tiga pegawai dan 104 anggota lain pangkat, terlibat dalam perbarisan kehormat di anjung utama Istana Negara.


Tuanku Abdul Halim dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah disambut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, sebelum menerima “Hormat Diraja” daripada barisan kawalan kehormat, yang diikuti dengan lagu “Negaraku.”

Serentak dengan lagu “Negaraku” dimainkan, bendera peribadi Seri Paduka Baginda dikibarkan, Selesai upacara itu, Seri Paduka berdua bersemayam di Bilik Seri Maharaja, sebelum berangkat ke Balairong Seri untuk upacara pertabalan yang buat julung kalinya diadakan di Istana Negara baru, Jalan Duta, yang berdiri megah sebagai lambang pemerintahan Raja Berperlembagaan di Malaysia. – BERNAMA

Istiadat Pertabalan Yang diPertuan Agung ke-14


LELAKI berpakaian kemas dengan sut persalinan hitam dan bersongkok itu pantas mengatur langkahnya ke satu arah. Dari jauh, permaidani berwarna kuning yang dihiasi corak keemasan seakan-akan menyambut kedatangan beliau.

Sebaik tiba ke destinasi yang dituju, matanya meliar memerhatikan seluruh kawasan tersebut. Apabila melihat cahaya lampu agak samar-samar, beliau lantas mengarahkan seorang petugas yang berada berhampiran menyalakan kesemua lampu yang ada.

Dalam sekelip mata, dewan besar itu diterangi dengan kilauan lampu yang memantulkan cahaya kekuningan termasuk yang terhasil daripada sembilan buah lampu candelier mewah.

"Inilah Balairong Seri yang menjadi lokasi berlangsungnya istiadat pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-14, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah," Datuk Paduka Maharajalela, Azuan Effendy Zairakithnaini membuka bicara dalam satu temu bual bersama Kosmo! di Istana Negara Jalan Duta, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut Azuan, istiadat pertabalan kali ini begitu istimewa dan mencatat dua sejarah tersendiri bagi pihak istana khususnya dan seluruh rakyat Malaysia amnya.

Pertama, ia melibatkan baginda sultan yang diangkat menjadi pemerintah tertinggi negara buat kali kedua yang merupakan sejarah dalam perlantikan Yang di-Pertuan Agong.

"Pencapaian ini merupakan satu sejarah penting negara. Selain itu, pertabalan ini juga mencipta rekod tersendiri kerana buat julung-julung kalinya diadakan di sebuah istana yang dibina oleh kerajaan daripada asasnya sehinggalah siap.

"Istana Negara yang lama, walaupun ia dibina oleh kerajaan tetapi dalam bentuk tambahan.

"Ia telah diubahsuai kerana bangunan itu asalnya merupakan sebuah banglo dan kediaman milik seorang jutawan dari China, Chan Wing," jelas Azuan.
Bagaimanapun, segala perancangan di Istana Jalan Duta yang membabitkan majlis pecah tanah, kerja-kerja seni bina, semuanya dibina khusus sebagai tempat persemayaman Yang di-Pertuan Agong bersama Raja Permaisuri Agong, Tuanku Haminah Hamidun. Azuan telah berkhidmat di Istana Negara selama tujuh tahun termasuk di bawah pemerintahan Sultan Mizan Zainal Abidin Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah.
Sebagai Datuk Paduka Maharajalela, Azuan juga memikul peranan penting dalam mengetuai istiadat pertabalan Tuanku Abdul Halim.
Menyedari hakikat itu, Azuan sedaya upaya memastikan kelangsungan istiadat pertabalan berjalan lancar.
"Tiada hari yang cukup besar bagi seorang Yang di-Pertuan Agong melainkan ketika hari pertabalan baginda sebagai payung kedaulatan negara.
"Sehubungan itu, sebagai rakyat Malaysia, saya fikir kita patut rasa bangga kerana masih lagi berupaya meneruskan satu tradisi kenegaraan yang cukup tinggi melalui istiadat pertabalan ini. Tambahan pula, Malaysia merupakan satu-satu negara di dunia yang mengamalkan sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan melalui penggiliran Yang di-Pertuan Agong dalam tempoh lima tahun sekali," jelas Azuan.
Ditanya tentang persiapan yang dilakukan sempena istiadat pertabalan itu, anak kelahiran Perak tersebut memberitahu, kemudahan moden yang terdapat di istana baharu itu secara tidak langsung menjadikan persediaan lebih teratur dan lancar.
Persiapan majlis
"Sebagai contoh, jika dahulu Balairong Seri istana lama hanya boleh memuatkan maksimum 500 tetamu, tetapi kini ia boleh menampung kapasiti tetamu seramai 1,000 orang. Peningkatan sekali ganda ini kerana binaan di dalamnya yang tidak banyak tiang dan lebih besar dengan keluasan 2,304 meter persegi," katanya.
Di samping itu, banyak lagi kemudahan lain yang disediakan seperti bilik yang dikhususkan untuk media yang akan menayangkan siaran langsung istiadat pertabalan.
Secara keseluruhan, pihaknya mengambil masa selama enam bulan untuk memberi tumpuan sepenuhnya pada persiapan istiadat pertabalan ini. Namun, perincian terhadap kerja-kerja yang dibuat mengambil masa tiga bulan sebelum ia berlangsung.
 
Dalam aspek persiapan seramai 5,000 orang daripada pelbagai sektor terlibat dalam menjayakan upacara penuh tradisi itu.

"Antaranya termasuklah mereka yang bertindak memasang banting berupa kata-kata sembah ucapan kepada agong, mereka yang membuat kerja-kerja pengubahsuaian di luar kawasan istana.

Di peringkat Istana Negara pula, ada kakitangan yang terlibat dalam memastikan kebersihan di dalam Balairong Seri, penyusunan kerusi dan hiasan dalaman," ujar beliau.

Sementara itu, anggota polis pula yang bertugas untuk menjaga keselamatan para tetamu kehormat termasuk Duli Yang Maha Mulia raja-raja Melayu, Tuan Yang Terutama negeri-negeri, menteri-menteri kabinet dan ketua-ketua perkhidmatan yang akan menghadiri istiadat ini.

Apa yang pasti, walaupun zaman semakin moden dan istiadat itu dibuat di tempat baharu, Azuan menegaskan mereka masih mengekalkan tradisi dan istiadat yang diagungkan sejak zaman berzaman.

Sementara itu, Ketua Bentara Istana Negara, Ahmad Awang, 54, turut melahirkan rasa teruja untuk menyaksikan istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-14 yang penuh gilang-gemilang itu.

Sebagai individu yang pernah berkhidmat dengan empat Yang di-Pertuan Agong sebelum ini dan kelima bersama Tuanku Abdul Halim, sewajarnya Ahmad merasai keistimewaan itu.

"Sepanjang 25 tahun berkhidmat, saya dapat menyaksikan bagaimana perjalanan upacara istiadat pertabalan ini disempurnakan. Memang ia satu pengalaman yang sukar diperoleh bagi mana-mana individu biasa dan ia akan tersemat kukuh dalam ingatan saya hingga ke akhir hayat.

"Kini, apabila istiadat pertabalan berlangsung di sebuah istana baharu, sudah tentu perasaan itu lebih berkobar-kobar untuk melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin," luah Ahmad sambil tangannya ligat
mengelap Cogan Agama. Cogan Agama merupakan salah satu daripada alat kebesaran diraja yang digunakan sewaktu istiadat pertabalan.
Selain Cogan Agama, alat-alat kebesaran diraja yang lain termasuklah Cogan Alam, Cokmar, Nobat, Keris Panjang Diraja, Panji-Panji Diraja, Kalung Diraja, Gandik Diraja, Pending Diraja, Muskat, Tengkolok Diraja, Tombak Berambu dan Payung Ubur-Ubur Kuning.
Alat kebesaran
Tambah Ahmad, semua peralatan tersebut merupakan alat kebesaran warisan sejak pelantikan Yang di-Pertuan Agong pertama, Tuanku Abdul Rahman ibni Al-Marhum Tuanku Muhammad yang disimpan dan dijaga dengan rapi.

Ini diakui Bentara Istana, Fathir Shah Kamarul, 36, yang turut memainkan peranan dalam membersih dan menjaga alat-alat kebesaran diraja.

"Setiap peralatan perlu dikendalikan dengan penuh hati-hati. Walaupun ia diperbuat daripada logam yang bermutu, namun kita tidak boleh menjaganya dengan sambil lewa," tutur Fathir yang juga bertugas sebagai penyambut tetamu, membuka pintu kenderaan dan memegang payung Yang di-Pertuan Agong.

Bagi seorang tukang besi, Zailani Mohamad, 37, pula, tanggungjawab yang diberi pihak istana untuk menyiapkan 40 batang tombak yang akan digunakan pada hari istiadat pertabalan, dianggap satu penghormatan pada dirinya.



"Kepercayaan yang diberikan pihak istana amat saya hargai," ringkas ucapan Zailani dari Kampung Morten, Melaka yang mengambil masa selama sebulan untuk menyiapkan kesemua 40 batang tombak tersebut.
Sementara itu, polis istana, Koperal Mohd. Faizal Mustapha yang telah berkhidmat sebagai polis Istana Negara sejak 12 tahun lalu bersama tiga Yang di-Pertuan Agong dari Perlis, Terengganu dan kini Kedah mengakui jika dibandingkan dengan istana lama, kawalan keselamatan di Istana Negara Jalan Duta lebih ketat dan sistematik.

"Saya berharap dan sentiasa mendoakan agar Tuanku berjaya melaksanakan tanggungjawab sebagai pemerintah negara dengan adil dan saksama agar seluruh rakyat mendapat kebaikannya," kata anak muda yang berasal dari Batu Kikir, Negeri Sembilan itu. (Kosmo)

No comments:

Post a Comment