Welcome

Assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Followers

Tuesday, November 24, 2009

Selamat Hari Raya Aidil Adha

Salam Eidhul Adha 
 Kad Raya Haji Yang Dihasilkan Oleh Kami,sering mendapat carian dan dowload tertinggi setiap hari.

 

Bismillahirrahmanirrahhim. Assalamualaikum warahmatullah dan salam Eidhul Adha  buat semua pengunjung Muslim teratak Raudhatul Ukhuwwah ini. Khususnya kepada kawan-kawan kami samada di dunia nyata mahupun di alam maya ini. Teristimewa buat teman-teman followers dan link blog, Sudi-sudikanlah mengambil kad raya Eidhul Adha kami ini.

Aidil Adha akan disambut pada hari ke-10,11,12 dan 13 Zulhijjah setiap tahun. Syukur alhamdulillah, sekali lagi kita berpeluang melangkah ke bulan Zulhijjah yang mulia ini. Pastinya ada di kalangan saudara dan teman kita yang berangkat sudah ke tanah suci. Menghantar mereka sehingga ke ruang legar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur menimbulkan seribu satu rasa di hati kita. Saat itu,kita dapat menyaksikan,bakal-bakal haji dalam seragam putih, sekaligus membangkitkan rasa keinsafan dalam benak kita. Bahawa hakikatnya kita semua sama di sisi Allah SWT.

Subhanallah, itulah indahnya Islam. Perintah Allah agar jamaah haji berpakaian serba putih, tanpa mengira pangkat,darjat,warna kulit dan keturunan-semuanya dalam satu matlamat yang sama; menunaikan Rukun Islam yang kelima.Sesungguhnya amat bertuah bagi sesiapa yang telah sampai serunya itu.Taqwalah sebaik-baik bekalan..samada ketika mempersiapkan belanja mengerjakan haji, memasang niat dan memperkukuhkannya dan bekalan taqwa ketika mengerjakan haji. Ibadah haji, bagaikan kesinambungan puasa Ramadhan. Latihan mengendalikan nafsu dan didikan rohani sepanjang Ramadhan akan berkesinambungan ke perjalanan haji.

 

(gambar dari blog tuan haji CL yang selalu saya ikuti;semasa carian saya di googles)

Bagi kita yang berada jauh dari Bumi Makkah dan Madinah, hakikat "hari Raya Kurban" ini perlulah jua kita hayati. Ibadah Qurban yang dilakukan, bermula dari waktu selepas khatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam  matahari pada hari ke-13 Zulhijjah, semoga dinilai Allah sebagai suatu amal ibadah yang diredhaiNya.

Akhir kalam,kami di Raudhatul Ukhuwwah memohon maaf di atas salah silap. Salam Aidil Adha.Sekian, wassalam.



Thursday, November 19, 2009

Muhasabah Cinta

 Muhasabah Cinta Suami Isteri


Tidak akan diketahui kecintaan seseorang sehingga tiba saat berpisah. Tidak diketahui kesabaran seseorang sehingga tiba masanya dia patut marah. Dan tidak diketahui keberanian seseorang sehingga tiba waktu berperang. Demikan kata pendita.

Benar, cinta yang lama (setelah usia perkahwinan meningkat) hanya akan bergetar semula bila berpisah.
Perpisahan yang sekali-sekala akan menyuburkan percintaan. Tetapi jangan terlalu lama, justeru jika terlalu lama ia mengundang bahaya kerana ia boleh mengundang fitnah dan mampu menghakis setia.

Untuk anda saudara ku, mari seketika ku ajak kembara bersama sepucuk surat cinta ini…(jom kita hayati warkah cinta seorang suami kepada isterinya)



Ke ribaan isteriku sayang,


Sayang, aku tenang di sini kerana ku yakin kau telah menerima hakikat ini dengan tabah dan bijaksana. Hentikan tangisanmu di sana. Demi ketenanganku di sini. Yakinlah, perpisahan sebenar bukan kerana jaraknya destinasi. Tetapi oleh retaknya hati.
 
Perpisahan ini, insya-Allah akan menyuburkan cinta… sekiranya kita menerimanya sebagai satu didikan Allah. Yakinlah, kita akan bertemu dalam suasana yang lebih indah dan manis. Perpisahan ini adalah mahar buat saat yang indah itu.

Semoga perpisahan ini menguatkan jiwaku. Tiadalah ubat jiwa yang paling mujarab kecuali mencintai Allah. Dan dengan cinta itu nanti semuga kita saling menyintai kerana Allah – cinta yang lebih suci.

Kita dipaksa berpisah untuk “dijemput” ke daerah tauhid dan syariat-Nya. Selama ini kita terlalu banyak berlakon-lakon dan bermain-main dengan pelbagai alasan dan kemalasan. Aku pasrah dengan “paksaan” ini walaupun suntikannya terlalu sakit, ubatnya pahit.

Sayangku,
Hadapilah kenyataan yang sudah termaktub sejak azali ini. Kesedihan dan air mata tidak akan meredakan hati apalagi menyelesaikan masalah. Aku sentiasa berdoa untukmu.


Ya Allah…
Ampunilah dosa-dosa isteriku dan memaafkan semua kesalahannya. Kuatkanlah iman dan taqwanya… dengan Kau suburkan selalu dihatinya rasa hina, berdosa, jahil, lemah, miskin, berharap terhadap-Mu.


“Ya Rahim…
Berilah dia kekuatan dan kesabaran dalam mendidik anak-anak kami. Agar ditangannyalah nanti tertempa zuriat yang soleh dan solehah. Bimbinglah kemarahannya, kebijaksanaannya, kesabarannya, kelembutannya, hukumannya dan segala-galanya dengan seimbang, agar dia terdidik untuk mendidik.”


“Ya Rahman…
Maniskanlah akhlak isteriku semanis wajahnya. Hiasilah kata-kata dari lidahnya dengan kebenaran dan kelembutan, seperti Kau telah hiasi matanya dengan kecantikan. Berilah kecantikan dan keindahan hakiki dengan limpahan taqwa yang sejati.”


“Ya Rabbi…
Lembutkan hati isteriku agar mudah ia mengadu-ngadu pada-Mu. Lenturlah jiwanya agar ia mudah merayu-rayu dan meminta-minta pada-Mu. Haluskanlah perasaannya agar dia mampu menangis dan merintih-rintih pada-Mu. Hancur dan remuk-redamlah dirinya dalam menerima didikan-Mu kerana di situlah pengiktirafan dia sebagai hamba-Mu.”


Sayang,
Ramai pasangan berpisah kerana putus cinta. Namun lebih ramai yang terpisah kerana terlalu cinta. Bila cinta makhluk membelakangi cinta Allah, maka cinta itu akan kehilangan daya untuk bercinta sesamanya. Ia akan layu, kesepian dan keseorangan. Pada cinta yang ilusi begini… pertemuan adalah perpisahan. Tapi bila cinta itu cinta hakiki, berpisahkan masih bertemu.


Justeru, perpisahan ini untuk menyelamatkan. Perpisahan ini adalah mehnah yang akan menguatkan kembali ikatan perkahwinan. Ia adalah satu “reaksi berantai” kepada semua yang ada ikatan dengan kita. Agar semuanya bergantung dengan ALLAH semata. 

Jangan kita bergantung dengan selain-Nya.

Makhluk yang terhubung atas nama suami, isteri, ibu, bapa, anak, adik, abang, kakak, saudara, sahabat atau apa sahaja akhirnya akan pergi jua. Sesungguhnya, perpisahan adalah cara Allah “mencantas” pergantungan hati kita dengan yang bernama suami, isteri, ibu, bapa, anak dan saudara.

Hakikatnya saat itu pasti tiba. Mati boleh terjadi bila-bila. Ketika itu jika hati tidak bersedia… pedih dan sakitnya tentu terlalu. Mungkin hilang kewarasan, mungkin luntur semangat, kecewa untuk meneruskan hidup. Dan paling khuatir, terhakis iman, tercalarnya tauhid.

Sayang… 
bergantunglah pada Allah kerana hubungan kita dengan-Nya tidak akan dipisahkan istilah janda, duda dan yatim. Sedangkan hubungan kita sesama manusia tidak dapat tidak, pasti diputuskan oleh MATI. Justeru… anggaplah perpisahan ini satu persediaan untuk menghadapi saat mati yang sudah pasti datang.

Syukur … kerana dahulu pernah aku terlintas, bagaimana nanti kalau kalau salah seorang daripada kita dipanggil pulang oleh Allah? Apakah ketika itu hati akan redha? Ah, lantaran benci merasainya, fikiran dikunci daripada memikirkannya…. Padahal itu sudah pasti. Oh! Tuhan, benci betul rupanya kita kepada mati.

Angkuh betul kita dengan ‘milik’ pinjaman Allah ini. Seolah-olah isteri, suami, anak-anak dan lain-lain itu benar-benar kepunyaan kita. Terlalu berat untuk memulangkannya. Sebab ‘memulangkannya’ bererti berpisah!

Tidak sanggup kita “pulangkan” kembali bila tarikh pulangnya sudah tiba. Kini, alhamdulillah, pinjaman itu dipinta kembali oleh Allah buat sementara… aku diserahkan kembali olehmu, dan kau diserahkan kembali olehku kepada-Nya.

Didikan ini sangat mahal harganya. Inilah intipati iman kita kepada satu ayat Quran yang sangat pendek:
    “Sesungguhnya kita kepunyaan Allah, dan kepada Allah kita akan dikembalikan.”


Bersedialah untuk menghadapi yang terburuk akibat perpisahan ini. Namun jangan sekali-kali terputus dari berharap sesuatu yang terbaik.


Doaku dan doamu pasti dicelahi oleh rasa bimbang takut-takut tidak diperkenankan tetapi padamkanlah segalanya dengan satu keyakinan bahawa ia pasti diperkenankan. Amin. Yang penting… bukan diperkenankan atau tidak, tetapi semoga Allah tingkatkan kesabaran, keimanan dan tawakal kita menghadapi apa jua takdir-Nya.

Isteriku, jangan dipinta ringankan ujian, tetapi pintalah ‘beratnya’ iman untuk menghadapi ujian i
tu!kehebatan seseorang itu sering diukur oleh 'kebesaran' ujian yang dihadapinya. semakin besar ujian, semakin besarlah kehebatan seseorang.

Maka begitulah dengan cinta kita, semakin diuji, maka semakin kukuh. InsyaAllah,amin

Saya nukilkan di sini tulisan Ustaz Pahrol Mohamad Juoi klik sini  Terkenang detik PJJ...tanpa satu alat perhubungan telekomunikasi demi khidmat bakti kepada anak bangsa. Hanya air mata yang mengalir dan doa syahdu kepada Ilahi saat  kerinduan pada suami dan keluarga bertamu.Berdoa agar Allah menukarkan kerinduan kepada suami dan ibubapa kepada rindu pada Allah...




Tuesday, November 17, 2009

ABM @ BBM

Alat Bantu Mengajar @ Bahan Bantu Mengajar Prasekolah


Susah juga ya rupanya nak jadi cikgu kepada anak prasekolah. Walaupun dahulu mengambil bidang pendidikan, tetapi apabila telah lama tidak bergelumang dalam arena pendidikan, saya seakan 'blur' apabila berhadapan sendiri dengan percubaan untuk penerapan pendidikan awal kanak-kanak. Terasa  punya kekurangan dan ketinggalan. Alhamdulillah, media yang luas disediakan oleh suami saya (internet samada secara wireless di rumah mahupun broadband) memudahkan saya mendapatkan info berguna tentang parenting skills.

Bagi mengisi masa anak saya, saya perlu lakukan sesuatu berdasarkan kemampuan saya. Sebagaimana entry saya sebelum ini,klik sini, anak-anak adalah motivasi saya. Lalu terhasillah Bahan Bantu Mengajar seperti ini.

Ini adalah untuk mata pelajaran Lukisan. Melalui lukisan, anak-anak akan lebih seronok belajar dan belajar menghargai sesuatu perkara. Melaui ABM seperti yang kami hasilkan kali ini, antara Nilai Murni yang dapat saya terapkan kepada anak ialah menghargai anugerah alam ciptaan Allah.

Oklah jom layan hasil lukisan anak saya.


Riben tu saya yang tambah. Buah-buahan ni dia kata nak bawa balik Jengka nak beri pada Tok,adik,bang chik...semua dah dikira. Maknanya anak boleh belajar matematik sekali kan.


Ini pula ABM yang saya hasilkan minggu lepas. Ia hanya separuh jalan sebab dah penat. Anak saya meminta saya habiskan segera pada pagi itu juga. Saya jelaskan kepadanya,"Kita kena buat ikut kemampuan kita. Kemampuan abang laju, maka bang teruskanlah. Tak payah ikut kemampuan umi". Alhamdulillah dia mendengar kata-kata saya itu. Sambung pula pagi esoknya,Alhamdulillah dah siap tapi tak upload kat sini.

Berdasarkan apa yang saya rasai, bukan mudah sebenarnya, untuk menurunkan level pemikiran saya , pemikiran wanita dewasa kepada tahap kanak-kanak. Maklumlah selama ini saya bersama  pelajar di usia remaja. Kini murid saya inilah seorang yang juga merangkap penjaga saya. Dialah murid saya,dialah pembantu dan penjaga saya, yang Allah hantarkan untuk saya, sewaktu suami bekerja mencari rezeki halal.

Hikmah dari ini, saya dapat belajar untuk merendahkan hati, menyelami dunia anak kecil secara empathi dan bukan simpati,fantasi dan harapan anak kecil serta minat si kecil. Bukanlah bermakna saya selama ini tidak memahami anak saya, namun dek kesibukan melayani kesakitan yang dialami, saya seakan terlupa bahwa saya punya waris yang perlu saya corakkan semampu saya agar dia tidak tertekan dengan situasi yang dialami kini. InsyaAllah jika ada masa, ada rezki, ada keizinan Allah, saya akan kongsikan pada entry akan datang.

Sunday, November 15, 2009

PJJ

Tips Mengekalkan Ikatan Perkahwinan Jarak Jauh


Pepatah ada mengatakan, "Sayangkan Isteri Tinggal-tinggalkan, sayangkan anak, tangan-tangankan", menjadi senda gurauan bagi pasangan suami isteri. Bagaimanapun, sejauh manakah kebenarannya, terutama bagi pasangan suami isteri yang terpaksa melalui PJJ (Perkahwinan Jarak Jauh)? Mungkinkah akan menjadi "Pasangan Pi Jauh-jauh?"

Walau apa pun jua situasi pasangan suami isteri itu, yang penting menjadi teras perkahwinan itu adalah kasih sayang yang suci, kepercayaan dan komitmen yang tinggi terhadap ikatan perkahwinan yang dibina. Berdasarkan tulisan Prof Madya Dr Rusinah Siron di Majalah MIDI,1 April 2009, beliau gariskan Prinsip 5T bagi mengekalkan ikatan kasih sayang pasangan suami isteri yang terpaksa melalui PJJ ini.

1)   TAHAN

 TIPS pertama daripada Prof madya Dr Rusinah Siron ialah TAHAN. Adat berjauhan sudah tentu banyak cubaan dan dugaan dari persekitaran pasangan. ada orang yang senang dan tidak senang dengan pasangan anda. Ia mula menabur fitnah dan hasad dengki yang ingin memecah belahbelahkan perhubungan tersebut. Ada cubaan dari keluarga dan rakan. Selain cubaan dari dalam diri pasangan tersebut, iaitu keperluan, kehendak biologi serta psikologi. Jadi bertahanlah dari cubaan tersebut demi mengukuhkan perhubungan sedia ada.

Berdasarkan pengalaman saya sendiri, saya pernah melalui PJJ walaupun tidak merentasi lautan. Namun ia tetap meninggalkan memori dalam fasa kehidupan saya. Ini adalah kerana, saya melalui fasa kehamilan sulong saya tanpa suami jua keluarga di sisi. Alhamdulillah, saya bersyukur mempunyai kawan-kawan yang sangat membantu samada rakan sekerja dan majikan yang memahami.

2)   TABAH
Tabah, di atas segala cabaran dan dugaan yang boleh menggugat perhubungan jarak jauh ini. Semua pasangan perlulah tabah menghadapinya dengan tabah dan sabar dalam menjayakan hubungan ini.Jika sudah ada anak-anak,masih kecil dan banyak yang perlu diuruskan sendirian,ketabahan itu perlu sangat digilap.

Ibubapa saya terpaksa melalui PJJ atas tuntutan tugas. Sebagai anak sulong dan telah remaja, saya lebih banyak membantu ibu dalam menguruskan hal rumahtangga, hal persekolahan adik-adik dan menjadi kawan bicara ibu yang sendirian membesarkan anak sementara menunggu bapa pulang hujung minggu.


3)   TEKNOLOGI
Walaupun berjauhan tidak bermakna pasangan jarak jauh ini berasa jauh hati. Teknologi sedia ada boleh dijadikan pengikat kasih. Sistem SMS yang lebih murah boleh menjadi penghubung kasih dan menyatkan "Saya Masih Sayang".Sistem MMS juga praktikal kerana ia menyatakan Masing Masing Sayang. tetapi kedua belah pihak perlu saling menghubungi. Jika tidak ia menjadi Saya Syok Sendiri (SSS).

Pengalaman saya sendiri,saya pernah melalui fasa PJJ  di tempat yang tiada kemudahan teknologi. Pada masa itu, di tempat itu, langsung tiada signal talian selular di situ walaupun satu. Ini memang menyukarkan saya untuk berhubung dengan suami, dan ibubapa yang jauh di mata.

Walaupun saya sudah berumahtangga, 2 hari sekali saya kan telefon ibubapa saya, tetapi apabila berada di tempat serba baru dengan tiada kemudahan teknologi, Mula-mula saya mati kutu dibuatnya. Nak telefon guna telefon rumah pun takde juga. Nak tanya dengan mak tentang masalah kehamilan dengan mak pun payah. Kawan-kawan serumah pun bujang lagi. masing-masing gabrah bila tengok saya dok tahan sakit..

Pernah malam-malam,saya keluar ambil angin di luar rumah.Beraninya saya? Sedangkan saya penakut. Rumah itu dekat dengan hutan simpan. Saya lihat bulan dan bintang di luar. Dalam rumah saya rasa sangat panas. Saya berdoa kepada Allah kerana pada masa itu saya tidak tahu kenapa badan saya terasa sangat panas. Syukurlah kerna housemates dan jiran sangat prihatin. Mereka cepat-cepat panggil saya masuk kalau tengok saya keluar dari rumah. Kalau saya kena gi medical check up ibu hamil,di pekan, mereka sedia membantu mencarikan kenderaan.



4)   TUNGGU
Kesetiaan dan kepercayaan adalah tunggak utama perhubungan jarak jauh. janganlah mudah berubah hati dan bersikap curang. tunggulah pasangan kita dengan sabar, setia dan sayang padanya.


5)   TAKDIR
Jika semua telah dilakukan sebaik mungkin terhadap pasangan kita bagi mengekalkan  hubungan dengan kasih sayang,jika berlaku apa jua pada perhubungan seperti keretakan, perhubungan bermasalah, bertawakkallah kepada ALLAH kerana setiap manusia telah ditakdirkan oleh Allah akan nAsib dan masa depannya. Apa yang perlu dilakukan ialah berusaha untuk yang terbaik.


6)   TELUS
Saya tambah T yang ke6; iaitu TELUS. Berdasarkan pengalaman saya yang pernah melalui PJJ ini, sifat telus memang perlu. Telus dalam komunikasi dan interaksi di antara suami isteri. Telus dalam hubungan hati walaupun berjauhan itu bukan alasan berubah kasih. Telus dalam memegang status sebagai suami atau isteri orang. Telus dan tulus memegang amanah Allah sebagai isteri orang khususnya dan suami orang juga. Telus dengan suami kita apa sahaja yang berlaku dalam kehidupan kita sepanjang suami tiada di sisi.


Saya sendiri pernah orang menyangka saya belum berumahtangga lagi memandangkan saya tinggal di rumah bujang bersama kawan-kawan serumah yang semuanya masih bujang juga. Dalam hal ini, saya perlu telus menyatakan bahawa saya sudah menjadi isteri orang.


7)   TEKAD

Saya juga tambah T yang ke 7; iaitu Tekad. Tekad untuk mempertahankan rumahtangga yang dibina atas dasar mencari redha Allah, walau apa cabaran dan halangan menimpa semasa melalui PJJ ini mahupun selepas nya. Tekad untuk menjadi pasangan yang soleh dan solehah agar rumahtangga kita diberkati Allah, kerana kita tentu ingin bercinta hingga ke syurga.InsyaAllah.

Demikianlah sedikit perkongsian saya kali ini, disertakan bersama Tips daripada Prof Madya Dr Rusinah Siron  . Di luar sana, pastinya kawan-kawan tentu mempunyai pengalaman PJJ juga?

Thursday, November 12, 2009

Gadis Itu

Gadis Itu

Petang Jumaat yang lepas, kami sekeluarga bertemu adik di tempat kerjanya untuk ke bandar atas satu urusan. Sewaktu kami melepasi pondok pengawal, kelihatan seorang gadis beruniform sekolah mengheret sebuah beg hitam. Dia berjalan kaki seorang diri di tepi bahu jalan. Sebuah beg besar beroda  hitam di belakangnya manakala sebuah beg sekolah disandangnya. Sesekali kelihatan dia berhenti, kemudian meneruskan perjalanan. Beberapa kenderaan besar melalui jalan raya utama itu dan tubuhnya seakan melayang ke tepi.

Spontan suami saya bertanya,"Eh adik,tu anak murid adik? Kenapa dia tak tunggu bas je? Heret beg tu nak ke mana?"

"Cuba berhenti kejap," ujar adik.

Tingkap kereta diturunkan,"Kamu nak ke mana ni?"

Gadis beruniform sekolah itu kelihatan terkejut. Wajahnya kemerahan dan sedikit kehairanan. Garis-garis keletihan jua terserlah dari wajah cerahnya. Dia sedikit mengundur ke tepi jalan. Nampak berhati-hati melihat kami sekeluarga.

"Saya nak ke Desa M," jawabnya.

"Kenapa tak tunggu di pondok bas je? Kan pak guard pun boleh lihat kamu di situ?" tanya adik.Maklumlah sebagai warden, adik memang mengambil berat akan hal pelajarnya sehingga masanya memang banyak ihabiskan bersama pelajarnya.

Dia kelihatan terpinga-pinga. Hati saya terdetak,begitu jua adik dan suami,"Mungkin dia bukan student adik. kalau dia student adik, kenapa dia macam tak kenal adik je?'

"Saya tak pandai nak naik bas,"jawabnya.

"Erm, kamu dari sekolah mana?"tanya dik.

"Sekolah XYZ,"

"Kamu jalan kaki dari sana tadi sampai ke sini?"tanya adik,suaranya dengan nada terkejut.

"Erm ya, eh tak. Tadi tumpang kawan sampai K,"jawabnya seperti menyembunyikan jawapan sebenar.

"Ya Allah jauhnya,"ujarku. Saya pernah lihat sekolah gadis itu semasa hendak ke Jerantut. Memang jauh.Saya yang naik kereta pun terasa penat. Lebih-lebih lagi kalau jalan kaki dan kena heret beg besar macam gadis ini bawa, memang letih.

"Betul tu. Kan jauh dari sekolah ke sini,"kata adik.

"Jomlah naik kereta dengan kami. Kami pun nak ke bandar ni," pelawa suami.

Dia semakin menjauh dari kereta kami,"Takpelah. Saya nak jalan kaki je. Lagipun dah dekat dah rumah saya".

"Ha awak nak jalan kaki ke D.M?"tanya adik lagi. "Naik je lah dengan kami,"sambung adik.

"Saya orang sini juga,"kata suami.

Melihat keadaanya yang was-was dengan kami, saya mengatur ayat,"InsyaAllah naik je lah dik. Ni pun anak-anak akak tak kisah." Si kecik kami dah sibuk memanggil kakak, kakak kepadanya. Si abang pun tersenyum-senyum padanya.

Dengan izin Allah, dia tidak berapa lama kemudian sudi menumpang kereta buruk kami. Itupun setelah puas dipujuk kami. Sepanjang perjalanan pun, gadis itu nampak takut-takut. Sepatah ditanya,sepatah dijawab. Kami memperkenalkan diri kami. Kadang-kadang dia ketawa kecil melihat telatah anak-anak kami.

Kami tidak salahkan gadis itu jika dia tidak mahu menumpang kereta kami. Kami faham, dalam keadaan sekarang, keselamatan diri perlu diutamakan. Terutama dengan orang yang tidak dikenali. Namun kami kasihan melihat tubuh kecilnya berjalan kaki sejauh itu.

Seperti kata suami,"Abang dah biasa hidup susah. Tahu macam mana susahnya nak pergi sekolah....Cuma zaman sekarang tak sama dengan zaman dulu, yang mana saling mengenali dan dulu juga tiada kes tidak diingini."

Sampai di hadapan kampungnya, dia menolak untuk kami hantar sehingga ke hadapan rumahnya. Kemudian, suami menurunkan beg berodanya.

"Belajar pandai-pandai ya. Nanti boleh masuk U. Kalau masuk matrik,boleh jumpa saya,InsyaAllah,"pesan suami saya.

Dia kelihatan teruja mendengar kata-kata suami saya. Sewaktu saya berjabat tangan dengannya, dia mengucapkan terima kasih.

Petang Jumaat itu meninggalkan memori yang cukup mengesankan hati kami....Seorang gadis, sebuah beg beroda,sebuah beg sekolah dibawa bersama segunung azam, demi kejayaan masa depan..



Wednesday, November 11, 2009

Sesawang Akademik

Perkongsian Sesawang Akademik
=Sektor Pengurusan Akademik Jabatan Pelajaran Pahang 



 
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Apa khabar kawan-kawan? Pelajar-pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, diharap sudah bersedia. Pastikan keselamatan diutamakan, samada di rumah, sekolah, lebih-lebih lagi di atas jalan raya. Juga berhati-hati dengan air...jika di tempat kamu dilanda banjir.

Di sini saya ingin kongsikan pautan website, iaitu Portal SPN JPN Pahang.  Pada pendapat saya ia boleh dilihat oleh pelajar samada yang bakal menduduki SPM tidak lama lagi mahu pun yang berada di Tingkatan 4 pada tahun ini, khususnya pelajar di Negeri Pahang mahupun dari negeri lain.

Bagi pelajar yang mengambil mata pelajaran ICT, khususnya pelajar Tingkatan 4 tahun 2009,  anda boleh layari portal ini,  klik sini, http://ict.akademikpahang.edu.my/v2/index.php/bahan-rujukan/tingkatan-4   dan  http://ict.akademikpahang.edu.my/v2/index.php/bank-soalan 

Bagi mata pelajaran di Bidang sains dan matematik, sila layari sini, http://sainsmatematik.akademikpahang.edu.my/v2/. Pautan utama, sila layari; www.akademikpahang

Selamat melayari portal berkenaan. Selamat menduduki peperiksaan SPM.Wassalam

Kaedah Pengiraan Merit bagi Pemilihan Kemasukan Ke IPTA

PROGRAM LEPASAN SPM/SETARAF




 Sila Layari link berikut:http://upu.mohe.gov.my/


Dimaklumkan bahawa mulai tahun 2010 semua ambilan latihan guru program Diploma Pendidikan (DP) bagi lepasan ijazah adalah ditangguhkan dan akan hanya akan diteruskan sekiranya wujud keperluan. Harap maklum.http://upu.mohe.gov.my/

P/S;entry ini dedikasi untuk bekas pelajar saya di SMKTJ  & SMK BTR , SMKK

Tuesday, November 10, 2009

Cintai Diri

"Cintai Diri Sendiri"


Hari minggu lalu, saya merasa tertarik dengan artikel yang tersiar di Mingguan Malaysia, "Hidup lebih positif - Ras Adiba", klik sini.

"Cintai diri sendiri," ringkas kata Ras Adiba Mohd Radzi atau lebih mesra dengan panggilan Dib.Bagi saya, ummu masyitah, Kata-kata Dib ini bagaikan inspirasi untuk saya. Menyintai diri sendiri bukanlah bermakna saya mahu mementingkan diri sendiri. Namun, ini membawa konotasi amat mendalam bagi saya.

Menyintai diri sendiri bagi saya, antaranya, memahami bahawa kejayaan masa silam saya bukanlah kayu ukur kejayaan masa depan saya. Kecemerlangan masa silam adalah sirah kehidupan saya. Ia bukan titik nokhtah untuk saya mencapai kecemerlangan pada masa depan, bukan jua kayu ukur kegagalan saya pada masa depan. Seringkali saya menggunakan konsep "Here and Now" semasa berhadapan dengan bekas pelajar saya samada yang berisiko tinggi atau pelajar harapan sekolah. Maka, nampaknya, kali ini, sayalah yang perlu mempraktikkan kemahiran ini dalam kehidupan saya.

Apa yang penting, apa yang saya lalui kini adalah wasilah dari Allah untuk lebih memahami dan empati kepada insan lain.Apa yang saya lalui kini adalah tarbiyah beharga dari Allah untuk saya lebih memahami erti kehidupan. Seperti kata seorang kakak angkat saya  zaman sekolah, yang saya panggil sebagai Kak Chik menitipkan pesan,"Ujian Allah ini tanda kasih sayang Allah yang amat luas untukmu,dik. Usahlah bergantung kepada manusia, apatah lagi berharap pada suami.Kerana suami juga bukanlah hak milik kita...Allahlah sandaran kita dalam mengharungi kehidupan ini, dik".





Baiklah kita berbalik kepada kisah Dib.Nama Ras Adiba bukan lagi asing pada kita. Nama ini cukup sinonim dalam dunia penyiaran suatu waktu dahulu. Pada Julai 2002 Ras Adiba disahkan lumpuh separuh badan sehingga terpaksa menjalani pembedahan di Australia. Dulu dia seorang yang sangat aktif, menunggang motor berkuasa besar dan beraktiviti lasak. Namun, Ras Adiba hari ini lebih optimis walaupun cacat kekal.

"Bagi saya, untuk hidup seperti orang normal yang lain tidak sukar. Saya sentiasa optimis kerana saya mencintai diri sendiri. Apabila kita mencintai diri sendiri, kita akan menjaga diri kita sebaik mungkin. Kita tidak akan pernah lupa sembahyang dan tidur yang cukup untuk mencari kebahagiaan. Itu cara saya yakinkan diri saya dan kawan-kawan saya agar hidup lebih positif," katanya.

Kini, hidupnya gembira dengan kehadiran anaknya, Umar Ras Engel Abdullah. Si kecil ini menjadi penawar dukanya.

Pengajaran dari perkongsian kisah Dib ini, sesiapa sahaja dengan izin Allah boleh menjadi insan kelainan upaya walaupun dia dilahirkan normal. Bagaimana seseorang itu mendepani ujian Allah itu yang penting.Seperti yang selalu diwar-warkan dalam radio IKIM.fm oleh salah seorang pemanggil OKU,"Sabar dan Syukur adalah kunci menjalani kehidupan secara optimis".


Bagi saya sendiri,secara peribadi,saya kagum semangat Dib untuk memelihara seorang anak kecil, anak lelaki pula tu. Lasak anak lelaki ni tak sama dengan anak perempuan.Semoga suatu masa nanti, saya dapat mendidik anak-anak saya sendiri bersama saya..Amin




Saturday, November 07, 2009

Alahai.....Abahku sayang

Hari tu aku nak ke Bandar Jengka. Biasala anak manja mak dan kaki riuh kat rumah mulutku bising-bising.

insanfakir : Kak Tan Jom pi Bandaq Pusat
Kak Tan : Aku mana ada duit
insanfakir : Mak jom pi bandaq pusat
mak : Nak pi buat apa? duit, duit tak dak ni...

Aku diam sambil bergerak ke kereta. tiba-tiba abah keluar dengan baju batik persis pakaian untuk ke bandar.

insanfakir : Abah nak pi mana?
Abah : Pi bandar pusat la.. sambil tersenyum

aku masuk ke kereta diikuti abah. Dalam benakku tertanya-tanya sebab selalu kalau aku ajak abah ke Bandar Pusat dia tak nak sebab dia pun ada kereta sendiri.

sepanjang perjalanan banyaklah yang dia cerita padaku. sebenarnya aku dan abah jarang bersembang sampaikan mywife ms insanfakir pun pelik. aku dari kecik nak apa-apa minta kat mak aku atau melalui mak aku sebab kalau aku minta sendiri :

"aku : abah nak beli buku....
abah : buku apa? (tegas)
tu yang tak best tu, tapi bila aku jadi ayah ni baru aku faham abah tanya buku apa bukannya dia marah aku beli buku, mungkin aku silap buat interpretasi keatas soalan orang."

berbalik kepada cerita abah banyaklah yang di cerita kat aku tentang peneroka, tentang abang ipar aku dan macam-macam. dipendekkan cerita selesailah kerja kami di Bandar Pusat. Dalam perjalanan balik singgah minum air kat gerai kawan abah aku. diringkaskan cerita kami dah habis makan. masa nak balik abah berborak dengan seorang kenalannya yang kebetulan makan disitu juga,

Pak cik : sapa ni tak penah nampak pun? Anak?
Abah : Anak, dulu duk Keratong, Pindah Temeloh, La ni duk Gambang, tak tau kalau tak silap lepaih ni orang suruh balik Bandaq pusat pulak. terang abah sedikit berbangga.
Pak cik :La ni senang sikit anak-anak dak lepaih semua dah.
Abah : Tu la dulu orang hairan jugak pasai apa saya tak pakai kereta. Depa tanya Pak Lang Mat macam tak dak masalah kewangan pun masa orang lain sibuk tak de duit. sebanaqnya saya nak bagi anak sekolah dulu. Lepaih dua-dua dah habis cadang nak ambik kereta, dia bagi kereta dia suruh abah bayaq bulan tengok macam buleh bayar kira ok la tu, (sambil tersenyum seperti puas dan sedikit berbangga)

Sudah terjawab persoalan aku selama ni "KENAPA ABAH TAK NAK PAKAI KERETA". Sebenarnya kereta yang aku bagi kat abah suruh sambung bayar tu adalah "FIRST CAR IN MY FAMILY". Dari kecik dalam hati aku sedikit tak puas hati kenapa ayah orang lain beli kereta tapi abah tak beli kereta. rupanya persoalan tu terjawab sekarang. Abah lebih mementingkan pelajaran kami adik beradik berbanding keseronokan sendiri.

Fikiranku terkenang pula ketika rakanku bertandang ke rumahku selepas ambil sijil kursus kahwin di KL. Masa abah bersembang dengan rakanku dipecahkan satu rahsia yang jarang-jarang didapati oleh mana-mana rakanku yang lain.

Abah : Pak cik Abis banyak dengan insanfakir ni, ribu-ribu ringgit tapi dia bukannya tahu. tup-tup gagal pulak kat USM. Tapi pak cik buat tak tau saja. Mak cik hang tu yang sampai dua minggu tak makan nasi.
Rakanku : tu la pak cik, anak memang selalu tak perasan ayah saya pun camtu, sekarang kerja kami pulak tolong orang tua.

Ketika dialog tu aku terdengar, rasa macam nak luruh jantung, rasa berdosa yang amat sangat.
Balik kuarters rakanku asyik perli je...aku seperti biasa senyum namun jauh di sudut hati aku "ALAHAI.....TERIMA KASIH ABAH & MAK, MEMANG SAYA TAKKAN DAPAT BALAS JASA MAK DAN ABAH SAMPAI BILA-BILA".

"Jadilah anak yang baik terhadap kedua ibu bapa walaupun siapa ibu dan bapa kita"

insanfakir
Temerloh

p/s: gembira bila lihat mak dan abah aku ceria ketika muka aku masuk TV dan surat khabar masa belajar dan ketika akhirnya aku mendapat juga segulung ijazah. Sekarang ni kerap aku balik jumpa mak dan abah yang dah 6+ tahun agar mereka gembira dan si kecik yang berputing aku tinggalkan dengan mak dan abah aku supaya mereka tak kesunyian. Harap mereka redha dengan aku. AMIN

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

...Jurnal Kehidupan... Template by Ipietoon Cute Blog Design