Photobucket

Welcome

Assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Followers


Monday, November 19, 2012

Kemalangan Jalan Raya seorang Calon SPM 2012 Meninggal Dunia

Kemalangan Jalan Raya  di Jalan Kuantan- Pekan seorang  Calon SPM 2012 Meninggal Dunia

Artikel dipetik daripada akhbar Sinar Harian.
 
 Tragedi malam minggu, tiga sahabat karib meninggal dunia



PEKAN – Kegembiraan empat sahabat karib yang berhajat meluangkan waktu malam minggu mereka bersiar-siar di bandar Kuantan berakhir dengan tragedi apabila tiga daripada mereka maut, manakala seorang lagi cedera selepas kereta yang dinaiki terbabas dan merempuh besi pengadang jalan berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Ubai, tengah malam kelmarin.



Dalam kejadian kira-kira jam 12.15 tengah malam di Jalan Pekan-Kuantan itu, tiga mangsa yang maut ialah pemandu kereta, Shahrul Azwan Jaafar Shah, 18, penumpang, Hasroy Haniff Hamsah, 17, dan Mohd Faqih Mohd Nor, 18, manakala seorang rakan mereka Mohd Hasri Razali, 19, terselamat dan mengalami cedera ringan. Kesemua mangsa berasal dari Kampung Peramu Jaya 3, Pekan.


Seorang saksi yang juga pemandu van jenazah dari Masjid Tengku Ampuan Afzan, Indera Mahkota, Abdul Jabar Kasim, 56, berkata, ketika kejadian dia sedang memandu pulang ke Kuantan bersama seorang rakan setugas selepas menghantar jenazah ke Mersing.

Menurutnya, ketika tiba di simpang masuk Kampung Ubai, sebuah kereta jenis Wira Aeroback yang dinaiki empat sahabat itu memotong laju van jenazah dipandunya.

“Saya hanya menggelengkan kepala melihat dua kereta termasuk sebuah Myvi yang turut dipandu laju dari arah Pekan sebelum ternampak kereta Wira Aeroback yang baru memotong van saya terbalik serta berpusing beberapa kali selepas merempuh besi penghadang jalan di sebelah kiri, kira-kira satu kilometer dari simpang Kampung Ubai.

Tiga si bongsu maut serentak

“Dalam keadaan cemas itu, saya ternampak asap keluar dari bahagian depan kereta yang terbalik dan melintang di tengah jalan, selain enjinnya tercabut dan tercampak keluar akibat rempuhan kuat,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Abdul Jabar berkata, dia dan rakannya memberhentikan kenderaan di bahagian kiri jalan sebelum terkejut melihat tiga remaja lelaki berlumuran darah bergelimpangan di atas jalan dalam keadaan tidak bernyawa.
“Tiba-tiba saya terdengar suara minta tolong daripada seorang remaja lelaki yang merangkak keluar dari arah parit di sebelah kiri jalan selepas turut tercampak dari kereta dinaikinya.

“Saya dan orang ramai cuba beri bantuan kepada mangsa yang masih hidup dan menutup semua mayat sebelum membantu mengawal lalu lintas sementara menanti polis dan ambulans tiba,” katanya.

Ketiga-tiga mangsa yang maut dalam kemalangan tengah malam kelmarin merupakan anak bongsu, malah mempunyai hubungan rapat sejak kecil berikutan tinggal berhampiran.

Kakak kepada Hasroy Haniff Hamzah, Hazalimah, 31, berkata, adiknya yang juga anak bongsu daripada enam beradik memang rapat dengannya selain sering berkongsi cerita dan masalah bersama.
“Petang tadi saya sempat berbual dengan adik yang menyatakan rasa tidak sabar untuk menghabiskan empat lagi kertas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana ingin bekerja.

“Dia kemudiannya keluar bertemu rakannya seperti biasa sebelum pulang sebentar ke rumah malam semalam (kelmarin) untuk menghantar motosikal dibawa.
“Ketika dia bergegas keluar, saya sempat bertanya ke mana dia ingin pergi, namun dia hanya jawab ingin bersiar-siar menaiki kereta bersama rakannya,” katanya.
Menurutnya, adiknya yang juga pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Mahmud Mat itu turut sempat berpesan agar tidak menunggunya kerana dia akan pulang lambat.
Abang kepada arwah Shahrul Azwan, Syahkhairil, 31, yang ditemui berkata, dia sempat bertemu adik bongsunya itu pada tengah hari kelmarin ketika datang ke rumah ibu bapanya dan  tiada sebarang perlakuan pelik yang dilihat pada arwah.
“Saya terkejut apabila menerima panggilan daripada rakan yang memaklumkan mengenai kemalangan yang menimpa adik yang memandu kereta milik ayah untuk ke Kuantan bersama tiga lagi rakan baiknya,” katanya.
Gurauan mesra petanda ajal
“Kejadian ini benar-benar memberi kejutan kepada kami sekeluarga apatah lagi turut melibatkan kematian dua lagi rakan baiknya yang sering bersama pada setiap ketika,” katanya.
Gurauan mesra pertanda ajal
Rakan kepada tiga mangsa yang maut tidak menyangka gurauan serta kemesraan dipamerkan ketiga-tiga rakannya pada petang sebelum kejadian, petanda ajal.

Menurutnya yang enggan dikenali, pa-da petang kejadian mereka berkumpul dan berbual bersama rakan lain seperti biasa di kawasan perumahan (Peramu Jaya 3).
“Mereka kelihatan begitu ceria selain bersikap pelik apabila mudah memberi rokok yang diminta walaupun sebelum ini sukar untuk ‘mengecek’ rokok daripada mereka setiap kali kami melepak.
“Mereka juga tidak memberitahu saya dan rakan-rakan lain mengenai perancangan untuk ke bandar Kuantan pada malam ini (semalam) walaupun kami sering ke Kuantan pada malam minggu,” katanya yang sebak dan tidak percaya dengan kejadian yang menimpa tiga rakan baiknya.

Pemandu gagal kawal kenderaan

Sementara itu, Pegawai Penguatkuasa Tadbir/ Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Asisten Superintendan Zainalabidin Othman berkata,  kemalangan yang meragut nyawa tiga rakan karib itu dipercayai berpunca akibat kegagalan pemandu mengawal kenderaan sebelum terbabas dan terbalik.

Katanya, mayat semua mangsa yang terkorban dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera dihantar menerima rawatan di Hospital Pekan.






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

...Jurnal Kehidupan... Template by Ipietoon Cute Blog Design