Cabaran Pendidik Mendidik Pelajar Zaman Siber
Cuba kita renungi baris-baris akhir sebuah sajak yang cukup terkenal yang berbunyi;
“…Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa
Segalanya dimulakan oleh seorang guru biasa,
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis baca.”
Sajak
ini tentunya sudah biasa kita baca malah sering dideklamasikan setiap
kali Sambutan Hari Guru diadakan pada 16 Mei setiap tahun.
Sajak yang
dihasilkan oleh Allahyarham Datuk Usman Awang, pasti membuatkan setiap
insan yang bergelar guru terasa dihargai. Dr Novandri Hasan Basri dalam tulisannya “Buli Dan Masalah Sosial
Pelajar : Satu Penyelesaian” menyatakan bahawa dahulu masyarakat
memandang tinggi terhadap guru-guru sekolah.
Guru-guru ketika itu
dianggap sangat istimewa kerana mereka mempunyai ilmu yang tidak
dimiliki oleh orang lain. Ketika itu, ilmu pelajaran adalah hak
eksklusif guru-guru. Segala teknik pengajaran, buah fikiran guru-guru
ataupun cara mereka menghukum pelajar-pelajar diterima baik oleh
ibubapa.
Mereka percaya bahawa guru-guru melakukannya supaya anak-anak
mereka akan menjadi lebih pandai. Secara tidak langsung, pengiktirafan
tinggi masyarakat ini akan menyebabkan mereka menjadi lebih bersemangat
dan bangga menjadi seorang guru.
Tegas Dr Novandri lagi, dahulu,
kita mempunyai sistem kekeluargaan yang utuh dan berfungsi. Ibu bapa
mempunyai masa dan tidak perlu sangat memikirkan soal wang. Mereka
berjaya bertindak sebagai ‘penyerap’ kepada permasalahan anak-anak
mereka samada di rumah mahupun di sekolah. Dalam masa yang sama,
sebahagian besar ibubapa tidak berpelajaran, maka dengan itu anak-anak
yang berkebolehan untuk belajar di sekolah ketika itu adalah sesuatu
yang amat dikagumi dan dibanggakan oleh mereka. Bagi mereka, nilai
sekolah rendah dan menengah ini dirasakan amat tinggi dan sangat
penting.
Dr Novandri Hasan Basri juga menyatakan bahawa bahawa
waktu sekarang, hampir semua ibubapa dan masyarakat mempunyai taraf
pelajaran yang lebih tinggi. Orang dewasa ini telah pun berjaya melalui
sistem persekolahan tersebut. Hal ini menghasilkan satu masyarakat yang
juga mempunyai ilmu-ilmu yang dahulunya hak ekskusif dan hanya diketahui
oleh guru-guru. Lantaran itu, mereka mengganggap guru-guru di sekolah
hanya sebagai objek penyalur ilmu secara formal sahaja (Jun 2003).
Yusri
Abdul Malek dalam artikelnya “Displin Pelajar Bermula di Rumah” pula
menegaskan pula bahawa pada zaman dulu guru dihormati dan rotan ialah
senjata utama mendisiplin pelajar tetapi kini semua itu tidak dianggap
relevan lagi.