Photobucket

Welcome

Assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Followers


Saturday, February 02, 2013

Berita Ekonomi PETRONAS tawar RM8.8b beli baki saham MISC

Berita Ekonomi PETRONAS tawar RM8.8b beli baki saham MISC 

MISC pengendali kapal tangki gas asli cecair kedua terbesar di dunia. - Foto Hiasan 
 MISC pengendali kapal tangki gas asli cecair kedua terbesar di dunia. - Foto Hiasan
 
 
PETRONAS membuat tawaran bernilai RM8.8 bilion untuk membeli semua baki saham yang tidak dimilikinya dalam MISC Bhd.

Ia menawarkan membeli saham syarikat perkapalan itu pada harga RM5.30 sesaham dan bercadang menjadikannya sebagai sebuah syarikat persendirian.


Harga yang ditawarkan itu adalah 18.04 peratus atau 81 sen lebih tinggi berbanding harga penutup saham MISC pada Rabu lalu iaitu RM4.49 sesaham. 



 


CIMB Investment Bank Bhd bagi pihak MISC dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia semalam berkata, PETRONAS dalam surat tawarannya menyatakan tawaran pengambilalihan itu kekal terbuka sehingga jam 5 petang pada 5 Mac ini.

Harga tawaran pada RM 5.30 sesaham itu juga adalah 19.64 peratus lebih tinggi berbanding harga purata jumlah berwajaran (VWAP) saham MISC untuk tempoh lima hari; 24.41 peratus (VWAP untuk tempoh sebulan); 27.10 peratus (VWAP untuk tempoh tiga bulan); 25 peratus (VWAP untuk tempoh enam bulan); dan 18.83 peratus (VWAP untuk tempoh setahun), jelasnya.

Sementara itu, PETRONAS dalam kenyataan berasingan berkata, tawaran untuk mengambil alih keseluruhan baki saham yang tidak dimilikinya dalam MISC itu adalah bersyarat setelah ia menerima persetujuan sah daripada pemegang saham yang terbabit yang menyaksikan ia menguasai lebih 90 peratus saham syarikat perkapalan itu.

Menjelaskan rasional pengambilalihan itu, ia menegaskan, MISC, sebagai anak syarikat 62.67 peratusnya, adalah satu bahagian yang penting dalam perniagaan bersepadu kumpulan itu dan latar belakang industri semasa serta ekonomi global yang tidak menentu menjadikan usaha untuk mengekalkan dan mengubah perniagaan syarikat perkapalan berkenaan semakin mencabar.
Tawaran ini adalah satu langkah penting buat PETRONAS menjadikan MISC syarikat milik persendirian, sekali gus memiliki kawalan penuh dan fleksibiliti dalam menentukan hala tuju strategik syarikat itu, katanya.

PETRONAS menegaskan, ia tidak merancang untuk menghentikan kakitangan sedia ada MISC atau menambahkan lagi bilangannya.

Katanya, ia juga tidak merancang untuk membuat tawaran pengambilalihan berasingan bagi saham anak syarikat senaraian yang dikuasai MISC, iaitu Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Bhd.

MISC adalah pemilik dan pengendali kapal tangki gas asli cecair (LNG) kedua terbesar di dunia selepas Qatar Gas Transport Co.

Bagi tahun kewangannya yang berakhir 31 Disember 2011, MISC mencatatkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM1.22 bilion, berbanding keuntungan sebelum cukai RM2.46 bilion yang dicatatkan untuk tempoh sembilan bulan tahun kewangan 2010.

Pendapatannya dalam tempoh itu adalah sebanyak RM8.5 bilion, lebih rendah 9.5 peratus berbanding RM9.4 bilion yang dicatatkan dalam tempoh sembilan bulan 2010.

Kumpulan itu mengubah tahun kewangannya kepada 31 Disember daripada 31 Mac sebelum ini, justeru menyebabkan tempoh kajian bagi tahun kewangan 2011 hanya sembilan bulan.

Kerugian besar RM1.22 bilion itu disebabkan peruntukan RM1.4 bilion untuk menghentikan perniagaan perkhidmatan perkapalan kontenanya tahun lalu serta kemerosotan besar bagi caj perkapalannya kesan daripada penyusutan pasaran perkapalan.

Susulan langkah itu, MISC menjual 16 kapal kontenanya serta menutup antara lapan hingga 10 cawangan operasinya yang berkaitan dengan perniagaan berkenaan di luar negara termasuk di Australia, Jepun, Singapura, New Zealand, Thailand, Sri Lanka, India dan Emiriah Arab Bersatu (UAE). 


 SUMBER; BERITA HARIAN, 2013/02/01 - 06:56:43 AM

0 comments:


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

...Jurnal Kehidupan... Template by Ipietoon Cute Blog Design