Photobucket

Welcome

Assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Followers


Saturday, February 02, 2013

MASUK KANDANG KAMBING MENGEMBEK, MASUK KANDANG KERBAU MENGUAK

MASUK KANDANG KAMBING MENGEMBEK, MASUK KANDANG KERBAU MENGUAK



Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Sebenarnya, catatan ini, puas sudah saya fikirkan apakah tajuk yang sesuai di blog peribadi ini. Lama sudah saya tidak mencatat catatan pengalaman kehidupan saya secara online.

Pada dinihari ini, saya cuba mencatat sesuatu dan semoga ia memberi panduan kepada saya di hari muka.

Catatan MENANGANI PELAJAR NAKAL Oleh Tuan Haji Muhammad Yusof Jamar  bagi saya sangat membantu saya sebagai 'orang baru' dalam dunia pendidikan.  Bagi saya walaupun sudah berada lebih 1 dekad dalam arena ini, ada sahaja ilmu baru dan kemahiran baru yang didapati setiap hari apabila berada di arena ini.




Misalnya, kini saya berada di tempat baru. Suasana baru. Budaya baru. Saya akui kejutan baru bagi saya, walaupun sudah hampir 9 tempat tempat saya pernah berada. Pernah ditempatkan di luar bandar, di pedalaman dan di bandar. Bahkan saya sendiri pernah dibesarkan dan pernah menimba ilmu peringkat sekolah di sebuah bandaraya yang sarat dengan gelagat kehidupan.

Bahkan kos sara hidup yang sangat tinggi di situ membuatkan saya dilatih memiliki dan mengasah ilmu tebat diri agar mandiri dan berdaya saing. Benarlah kini. Luar bandar atau dalam bandar, kini tiada beza dek dunia tanpa sempadan. 

Sesuatu yang harus saya ingat, masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak. Bukanlah bermakna ingin menjadi sesumpah. Kadang saya terlupa.
Saya terlalu realistik. Saya terlalu optimis. Sampai saya kadang terlupa, pasti ada sebab mengapa di tempat baru ini saya menemui 'sesuatu' yang aneh rasanya. Hari ini, siang tadi, Jumaat, 1.3.2013, setelah sebulan berada di situ, saya melalui satu lagi pengalaman pahit dalam arena ini. Saya temui lagi jawapan...pada Hari Jumaat yang mulia ini.

Mengertilah saya kini. Betapa terhakisnya rasa hormat murid kepada guru. Apabila sang guru menegur, dengan penuh hikmah dan tanpa rotan, agar dia segera pergi mengikut arahan guru disiplin, dia memarahi saya pula. Pasti ada sebab dia dan kawannya berani 'beta'.  Sebabnya itu, biarlah saya off the record. Dan mungkin inilah salah satu jawapan yang Allah berikan pada saya mengapa wujud suasana 'aneh' itu.

Selain itu, saya sedar  keadaan fizikal saya juga sering menjadi gurauan anak-anak ini.  Sangat berbeza dengan tempat-tempat lain yang pernah saya menabur bakti.  Ia adalah  sebagai satu cabaran untuk saya. Kini Terdapat Pelbagai Cabaran Pendidik Mendidik Pelajar Zama Cyber sila klik di sini.  

Semoga situasi ini bukan suatu momokan dan kekangan merealisasikan visi dan misi organisasi. 

Di Bulan Rabiul Awwal 1434 yang masih berbaki beberapa hari lagi, saya menyoroti sirah da'wah Rasululluah SAW. Terlalu banyak dugaan yang perlu Nabi Muhammad SAW tempuhi. Pahit maung Baginda SAW menyampaikan risalah tauhid, tidak terlukis oleh tangan tidak tergambar oleh mata.

Baginda difitnah, diugut, diancam bunuh, dihina keluarganya,  dan pelbagai lagi kepahitan, tetapi tidak sedikit pun Baginda mengeluh dan berputus asa daripada rahmat Allah SWT.  Subhanallah. Pertolongan Allah sentiasa ada bersama kekasihNya.

Ujian dan dugaan saya hanyalah terlalu sedikit dibandingkan dengan Kekasih Allah itu. Semoga saya cekal sepertimana pesanan Allahyarhamah Siti Hajar Bt Ahmad Sabir di sini.



MENANGANI PELAJAR NAKAL





Biasalah di dalam kelas ada pelajar yang mencuba-cuba nasib. Dia dikira berjaya jika guru gagal berhadapan dengannya. Guru jadi hilang punca. Guru menangis. Guru naik berang. Tanda-tanda itu memberi kepuasan kepada pelajar yang nakal. Pancing dan umpan yang dipasangnya mengena. Guru terperangkap. Hanya guru-guru yang sifat profesionalnya tinggi sahaja dapat bertenang dan berjaya melihat permasalahan secara holistic. Jangan beremosi. Guru tidak boleh emosi. Marahlah. Tetapi jangan emosi. Ya, belajarlah berhadapan dengan situasi-situasi yang mencengkam itu. Jika gagal banyak padah lain menyusul. Tidak selesai satu, akan muncul pula masalah lain.
Tidak semua guru berhadapan dengan pelajar yang nakal. Pelajar yang sama mungkin nakal kepada seorang guru tetapi dia tidak nakal kepada guru yang lain. Seorang guru perlu tahu kimia yang serasi antaranya dengan pelajar-pelajarnya. Guru mesti mengenalpasti situasi yang membolehkannya click dengan pelajarnya. Carilah pengalaman itu. Perhati setiap waktu trait, sifat dan keunikan setiap pelajar di bawah kawalannya. InsyaAllah akan ditemui ramuannya jika ada ketelitian. Tentulah perlukan keikhlasan kerana ingin membantu. Kerana ingin menyumbang. Kerana ingin mendidik. Kerana ingin memandaikan mereka.

Pelajar yang nakal ada sejarah peribadinya. Lazimnya pelajar itu ada sejarah keluarga. Ada sejarah gurunya yang terdahulu. Ada sejarah rakan-rakannya. Ada sejarah mental dan psikologinya. Tindakan terburu-buru tidak membantu. Tindakan spontan juga tidak membantu. Marah tidak membantu. Mendiamkan perkara itu berlalu juga amat tidak membantu. Pelajar itu perlukan pertolongan. Ia perlukan seseorang mengeluarkannya dari situasi tenggalam dalam mainan dirinya. Dia tidak tahu nilai negatif orang lain terhadapnya. Dia belum menerima kesedaran hakiki bahawa pernbuatannya mengganggu gurunya. Mengganggu pelajar lain yang ingin belajar. Pelajar lain yang wawsannya jauh melangkaui masa yang ada.

Perhatikan tanda-tandanya. Pelajar yang nakal mesti ada pengikut. Pengikut inilah yang memburukkan keadaan. Mereka menyokong apa sahaja yang dibuat ketuanya. Kadang-kadang yang nakal itu bukan ketuanya. Pelajar itu hanya proxy sahaja. Ada ketua di belakangnya. Perhatikan betul-betul. Ring leader itu duduk berhampiran pelajar yang nakal. Dia membaling batu tetapi menyembunyikan tangannya. Orang lain yang kena hukum nanti. Guru melihat bukti yang nampak. Bukan yang tersirat. Wlau bagaimanapun pelajar yang nakal pada kebanyakan masa memang dirinyalah yang nakal. Terserlah nakalnya. Pengikutnya tetap ada. Pelajar nakal perlukan penyokong. Yang mendokong apa sahaja yang dilakukannya.

Pelajar nakal mestilah dipisahkan dari rakan dan penyokongnya. Atau keadaan sebaliknya dilakukan. Pisahkan penyokong dan rakan karibnya. Bila keseorangan, nakalnya akan hilang. Penyokongnya tidak lagi berani memberikan sokongan. Jarak boleh mengubah esprit de corp yang mereka bina. Setiakawan yang negatif. Menjauhkan antara mereka bererti menjauhkan hubungan peribadi mereka. Untuk melakukan perubahan, guru hendaklah memahami beberapa perkara terlebih dahulu. Ke mana hendak dipindahkan pelajar yang menjadi sasaran itu. Tidak boleh sebarangan. Takut nanti menambahkan beban masalah. Kesimpulan saya ialah, pelajar nakal lazimnya lelaki walaupun ada kalanya pelajar perempuan. Pertama pastikan saiznya. Sama ada tinggi atau besar.

Pelajar nakal atau penyokongnya hendaklah dipindahkan ke kerusi-kerusi yang jauh dari kedudukan asal. Jarak adalah untuk menghalang mereka berkomunikasi secara perlahan. Jika jauh tentu tidak mungkin mereka memekik antara satu sama lain. Kerusi-kerusi yang strategik banyak. Pertamanya semua meja di baris hadapan. Baris yang pertama. Syaratnya pelajar itu bersaiz kecil. Jika bersaiz besar hendaklah ditempatkan di penjuru kanan atau kiri barisan hadapan. Atau di penjuru kanan dan kiri di barisan terakhir. Atau di tengah-tengah barisan terakhir.

Bagi pelajar yang bersaiz kecil boleh didudukkan di tengah-tengah tanpa mengira baris mana sekalipun. Atau boleh juga ditempatkan di sebelah pelajar yang berlainan jantina. Tempat-tempat tadi adalah strategik. Pada bila-bila masa guru boleh mengawal mereka. Mudah memandang mereka. Mereka mengawal empat penjuru. Pelajar nakal dikawal dengan ditenung. Dibeliakkan mata. Diacah untuk dipukul. Atau boleh juga direnung tanpa memejamkan mata. Pandang lama-lama. Tanpa berkata apa-apa. Berhenti mengajar. Berhenti bergerak. Kekalkan berdiri di tempat guru sedang berdiri. Renung dan renung. Belajar menentang mata pelajar. Belajar mengalahkan tenungannya. Keraskan hati untuk mengalahkannya. Jika boleh sambil merenung sambil kecilkan mata. Pandang tajam-tajam. Seolah-olahnya menembusi matanya. Tikam-tikam hatinya. Tikam kepalanya dengan tenungan tajam itu. Walaupun dia mengalihkan pandangannya, teruskan berikan tenungan. Kira-kira 10 hingga 20 saat lamanya. Biar dia tahu guru sedang tidak puashati dengannya. Tenungan tanpa bicara biasanya lebih bisa dari kata-kata yang hanya akan ditertawakannya sahaja.

Nanti dia akan tersipu-sipu. Dia akan terkesima. Dia akan terkedu sendiri. Dia akan terpempan. Terkulai dengan renungan guru. Jika ada penyokongnya yang membantu, alihkan renungan kepada penyokongnya pula. Begitulah silih berganti. Saya pernah melakukannya. Saya biasa melakukannya. Waktu saya muda dahulu saya garang juga. Bengis juga. Cuma kaedahnya berubah. Semakin saya tua, semakin malas hendak bercakap. Letih tidak tentu pasal. Senang. Guna mata sahaja. Lazimnya memberi impak yang kuat. Pelajar takut dengan renungan sebenarnya. Lebih pedih dari kata-kata. Sedangkan kata-kata itu lebih berbisa dari mata pedang. Cubaah hari ini. Jika tidak berjaya nanti kita cuba cara lain. Banyak, jika rajin menggalinya. 


SUMBER; http://mdyusofjamarblogspotcom.blogspot.com/

0 comments:


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

...Jurnal Kehidupan... Template by Ipietoon Cute Blog Design