Welcome

Assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Followers

Wednesday, May 04, 2011

Motivasi luar biasa OKU

Motivasi Luar Biasa Insan OKU; Ketabahan luar biasa OKU

Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Artikel ini disalin kembali daripada Utusan Malaysia, 30/4/2011 seperti yang dilaporkan oleh ROHANA MAN.

KUDUNG kedua-dua tangan tidak menghalang Muhammad Zhariff Affandi menamatkan renangan sejauh 6.5 kilometer.




DI barat, istilah yang digunakan bagi menggambarkan mereka adalah Phisically Challenge Person. Di Malaysia, kita memanggilnya Orang Kurang Upaya atau ringkasnya OKU. Kedua-dua istilah itu merujuk kepada golongan yang mengalami pelbagai jenis kecacatan fizikal sama ada sejak lahir mahupun selepasnya. 

RAS ADIBA RADZI

Di Malaysia, ada banyak contoh insan yang sempurna, kala sedang meniti tangga kejayaan dalam kerjaya, ditimpa kemalangan yang membuatkan mereka terpaksa menghabiskan sisa-sisa hayat di atas kerusi roda. Antaranya ialah bekas penyampai berita TV3 yang glamor, Ras Adiba Radzi. 

Keseluruhan hidupnya berubah secara total selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya dan disahkan lumpuh sebahagian badan pada 2002. Namun beliau tidak putus asa untuk mengharung cabaran kehidupan seperti insan normal. Dalam keadaan kurang upaya, beliau mengambil seorang anak angkat lelaki untuk dipelihara. Beliau juga aktif menyertai sukan OKU, selain memenuhi undangan sebagai tetamu sesebuah program.

PROF. DATUK DR ISMAIL MD SALLEH (Al Fatihah untuk allahyarham)

Kecemerlangan yang diciptanya telah menyakinkan kerajaan untuk melantik ilmuwan cacat penglihatan, Allahyarham Prof Datuk Dr. Ismail Md Salleh sebagai Anggota Dewan Negara pada 2007. Pelantikan itu melakar sejarah OKU pertama dilantik Senator.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Orang Buta Malaysia mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abdul Hamid Pawanteh dalam satu upacara ringkas di Dewan Negara dengan menggunakan braille.

Dilahirkan pada 2 September 1947 di Pasir Mas, Kelantan, Ismail memperoleh Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dan Sains Politik dari Universiti New York pada 1973 sebelum menamatkan pengajian peringkat Sarjana dalam Sains Ekonomi di Universiti Illinois pada 1974. Tiga tahun kemudian, beliau memperoleh Ijazah Kedoktoran (PhD) dari universiti yang sama.

Walaupun dilantik sebagai Senator, bapa kepada enam cahaya mata itu tetap meneruskan tugasnya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Twintech Holdings dan Naib Canselor Universiti Kolej Antarabangsa Teknologi Twintech.

Usaha dan kejayaan beliau patut dicemburui, khususnya bagi kita yang dilahirkan dan membesar dalam keadaan sempurna. Beliau meninggal dunia pada tahun 2009.

MUHAMMAD ZHARIFF AFFANDI

Tarikh 24 April 2011 menyaksikan kecekalan Muhammad Zhariff Affandi, 29, menamatkan renangan sejauh 6.5 kilometer dari Pulau Kapas ke pantai peranginan Kelulut dekat Marang, Terengganu. Kemampuan beliau memukau penduduk dan pengunjung yang menyaksikan pemuda yang kudung kedua-dua tangan itu bersaing hebat dengan peserta normal.

Pemuda itu yang menyertai Swimaton Antarabangsa Kapas-Marang 2011 bersama 264 peserta lain berjaya menamatkan renangan dalam masa 2 jam 46 minit dan 47 saat.

Berasal dari Selangor, beliau yang pertama kali menyertai pertandingan itu memberitahu, ia cukup mencabar walaupun ombak tidak menjadi masalah besar.

“Cuma..., saya agak panik setelah beberapa kali disengat obor-obor,” katanya kepada pemberita.
Ketua Pegawai Eksekutif The Zhariff Initiative Sdn. Bhd. itu juga berkata, beliau akan meneruskan aktiviti berenang walaupun tidak sepantas peserta normal.

Dilahirkan cacat, beliau juga cemerlang dalam akademik apabila lulus dalam bidang Psikologi Perkembangan dari University Griffith, Australia. Selain berenang, beliau turut meminati aktiviti menunggang kuda dan mendaki gunung.

SYEIKH AHMAD YASSIN(Al Fatihah untuk allahyarham)

Di luar negara, tidak kurang hebatnya kisah-kisah OKU yang mencipta sejarah tersendiri. Allahyarham Syeikh Ahmad Yassin walaupun lumpuh dan hampir buta, tetapi semua cabaran itu tidak mematahkan semangatnya untuk memperjuangkan Islam. Beliau tidak pernah berganjak daripada matlamat jihad dan terus istiqamah menghadapi kezaliman rejim Zionis sehingga menimbulkan ketakutan pada musuh Islam itu.

Beliau ialah ketua dan pengasas Hamas yang digelar Bapa Intifada Palestin yang telah membangkitkan semangat jihad menentang rejim Zionis yang telah merampas dan menjajah tanah air mereka.

Syeikh Ahmad Yassin telah menghabiskan seluruh usianya di jalan dakwah dan jihad walaupun pernah dipenjara, disiksa, diburu dan akhirnya gugur sebagai syuhada’ akibat pengeboman pihak rejim Zionis.

ERIK WEIHENMAYER

Dalam dunia pendakian pula, rekod pencapaian yang dicipta oleh Erik Weihenmayer masih belum dapat diatasi oleh sesiapa pun yang buta sepertinya. Lahir pada 23 September 1968 di Hong Kong, Erik muncul sebagai orang buta pertama yang mendaki ke puncak gunung Everest pada 25 Mei 2001.

Beliau juga menjadi orang buta pertama yang berjaya menakluk tujuh puncak tertinggi di tujuh benua. Kekurangan fizikal tidak menghalang Erik menamatkan pendakian di Carstenz Pyramid (puncak tertinggi di benua Oceania) pada 28 Ogos 2008. Tekad dan azam yang kuat juga mendorong Erik mengulangi pendakian pertama yang gagal pada tahun 1997 dalam misi ke gunung Aconcagua. Dua tahun kemudian, beliau berjaya sampai ke titik tertinggi di benua Amerika Selatan itu pada Januari 1999.

Erik lahir normal tetapi pada usia tiga tahun, dia menderita penyakit mata retinoschisis. Sepuluh tahun kemudian, beliau buta sepenuhnya, tetapi kecacatan itu tidak mematahkan semangatnya untuk menyahut cabaran kehidupan.
Beliau tidak mahu menyerah pada nasib dan mahu melakukan apa saja yang dilakukan oleh insan normal. Justeru, beliau terus aktif dalam sukan lasak yang ekstrem seperti mendaki gunung, memanjat tebing batu dan tebing ais, meluncur udara dan bermain ski - sama seperti orang normal. 

Motivasi yang dimilikinya dikongsi bersama pembaca melalui penulisan buku beliau, antaranya berjudul Touch the Top of the World dan The Adversity Advantage: Turning Everyday Struggles Into Everyday Greatness.

Apa yang boleh disimpulkan daripada kisah kejayaan mereka adalah ‘hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih’. Pilihan terletak di tangan kita, dengan doa mengiringi setiap pencapaian.

3 comments:

Kakzakie said...

Assalamualaikum Ummu,

Sesungguhnya Allah mengurniakan setiap diri insan itu sesuatu keistimewaan yg sama ada disedari atau tidak.

Hati kakak sayu bila melihat insan-insan sebegini...

werdah said...

Assalamu'alaikum ummu

Membaca N3 ini kita boleh renung akan keadilan Ilahi kepada setiap hambaNya atau setiap makhlukNya. Di sana pasti ada hikmah di sebalik setiap perkara. Allah sahajalah Yang Maha Mengetahui.

Zaitun said...

kak Zai terasa rendah diri kalau dibandingkan dengan mereka2 ni.Allah yang maha pengasih.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

...Jurnal Kehidupan... Template by Ipietoon Cute Blog Design