Photobucket

Welcome

Assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Followers


Friday, December 28, 2012

Banjir Sesi Persekolahan Ditangguh

Banjir Sesi Persekolahan Ditangguh



Sesi Persekolahan Boleh Ditangguh Sehingga Banjir Pulih - Muhyiddin



Gambar dari udara menunjukkan keadaan banjir di beberapa kawasan kampung dan taman perumahan yang ditenggelami air di sekitar bandar Chukai semalam. Di Terengganu, keseluruhan mangsa banjir yang berada di pusat penempatan banjir meningkat. - Foto Bernama


KEMAMAN, 27 Dis (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sesi persekolahan bagi sekolah yang dijadikan pusat penempatan mangsa banjir yang sepatutnya bermula 1 Jan ini akan ditangguhkan sehingga banjir kembali pulih.
Beliau berkata penangguhan itu hanya melibatkan sekolah yang dilanda banjir dan sekolah yang dijadikan pusat pemindahan mangsa banjir.





Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran bagaimanapun berkata penangguhan sesi persekolahan itu tidak membabitkan sekolah yang terselamat daripada bencana itu.

"Sekolah yang digunakan sebagai pusat pemindahan (mangsa banjir) tak perlu dibuka awal (1 Jan), lewat sehari dua pun tak apa.

"Kalau banjir surut, boleh buka (sekolah) semula, manakala sekolah-sekolah yang tak terlibat dengan banjir akan dibuka seperti biasa," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap di hadapan sebahagian daripada mangsa banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Mentok dekat sini Khamis.

Beliau turut meninjau keadaan banjir di SK Bukit Mentok yang terletak berdekatan serta kawasan sekitar yang dilanda bencana itu.

Kunjungan Muhyiddin ditemani isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman diiringi Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said dan isteri, Toh Puan Norliza Mahmud serta Menteri Belia dan Sukan merangkap Anggota Parlimen Kemaman Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Turut hadir, Timbalan Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Noriah Kasnon dan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.

Pusat penempatan banjir di SMK Bukit Mentok di sini menempatkan 5,879 penduduk melibatkan 1,365 keluarga.

Muhyiddin berkata pihaknya juga menyerahkan kepada semua pengarah pelajaran negeri untuk memutuskan sama ada perlu menangguhkan sesi persekolahan murid pada 1 Jan.

"Kita dah arah pengarah-pengarah pelajaran negeri buat keputusan sendiri untuk tangguh dulu persekolahan, tengok pada keadaan," katanya.

sumber-- BERNAMA 

Dua Lagi Kematian Dicatatkan Di Negeri Sembilan Dan Terengganu Malam Khamis


KUALA LUMPUR, 27 Dis (Bernama) -- Dua kamatian akibat banjir dicatatkan setakat pukul 10.30 malam ini dengan masing-masing satu di Terengganu dan Negeri Sembilan menjadikan mangsa korban bencana itu meningkat kepada lapan orang.
Menurut portal banjir Majlis Keselamatan Negara (MKN), seorang maut akibat lemas di Jelebu, Negeri Sembilan dan seorang lagi di Setiu, Terengganu.

Di Terengganu, setakat petang tadi telah meragut enam nyawa iaitu tiga di Kemaman, dua di Setiu dan seorang di Kuala Terengganu.

Keadaan banjir di Kelantan dan Terengganu bertambah buruk malam ini apabila jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat-pusat pemindahan di dua negeri Pantai Timur itu meningkat kepada 22,609 orang berbanding 21,800 petang tadi.

Menurut portal itu, mangsa banjir di Pahang malam ini meningkat kepada 448 orang berbanding 435 petang tadi.

-- BERNAMA 


KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di Pahang, Kelantan dan Terenganu pulih sedikit dengan jumlah mangsa yang dipindahkan terus menurun, pagi ini.

Menurut portal rasmi kerajaan negeri berkenaan, jumlah terkini mangsa yang dipindahkan ialah 22,093 orang berbanding 23,235 malam tadi. 


Banjir pulih sedikit di Pantai Timur




Seramai 410 mangsa dicatat pagi ini di Pahang berbanding 435 orang malam tadi, sementara Kelantan merekodkan 6,457 orang berbanding 7,000 orang malam tadi dan di Terengganu, seramai 15,226 mangsa berbanding 15,800 orang.


Di PAHANG, Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri berkata, seramai 366 mangsa daripada 91 keluarga dari enam buah kampung ditempatkan di daerah Kuantan iaitu di SK Galing, Balai Raya Kampung Soi, Balai Raya Kampung Pahang dan SMK Gudang Rasau.

"Manakala, baki 44 orang daripada sembilan keluarga ditempatkan di SK Sinar Mutiara di daerah Pekan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya, semua jalan utama di negeri itu boleh dilalui oleh semua kenderaan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan di Pahang sehingga kini.

Di KELANTAN, seramai 6,457 mangsa banjir dari lebih 2,000 keluarga ditempatkan di 24 pusat pemindahan iaitu di Pasir Mas (3,775 orang), Tumpat (2,467), Kota Baharu (197) dan Pasir Puteh (18).
Menurut portal rasmi kerajaan negeri, selain Sungai Golok, semua paras air sungai utama yang lain telah susut ke paras normal.

Portal itu juga melaporkan bahawa tiada kemalangan jiwa dilaporkan di Kelantan dan cuaca pada pagi ini adalah cerah.

Zon bebas cukai di pekan Rantau Panjang dilaporkan masih lagi digenangi air dan sebahagian besar peniaga di zon itu masih menutup perniagaan mereka.

Di TERENGGANU, semua pusat penempatan di daerah Besut telah ditutup dan semua mangsa banjir dibenarkan pulang lewat petang semalam berikutan air telah surut.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negeri (MKN) berkata baki mangsa terakhir di Besut yang dibenarkan pulang semalam adalah 31 orang dari 5 keluarga.

Beliau berkata banjir di daerah lain seperti Setiu, Kuala Terengganu, Marang dan Hulu Terengganu kian surut kecuali daerah Kemaman dan Dungun yang sebaliknya bertambah buruk.

Sehingga 8 pagi ini, Kemaman mencatatkan mangsa tertinggi yang dipindahkan iaitu seramai 11,106 membabitkan 2,563 keluarga dan Dungun 4,120 orang (1,021 keluarga).

Sementara keadaan di daerah lain beransur baik dan mangsa yang berada di pusat penempatan semakin kurang dengan Kuala Terengganu (987 orang), Setiu (96), Hulu Terengganu (77) dan Marang (27) orang.

Sehingga kini, 68 pusat penempatan banjir masih beroperasi iaitu di Dungun (36), Marang (satu), Kemaman (21), Kuala Terengganu (enam) dan masing-masing dua di Hulu Terengganu dan Marang.

Dalam pada itu, Jalan Felda Neram di Kemaman ditutup kepada semua kenderaan kerana tanah runtuh dan Jalan Tepus ke Kuala Jengai, Dungun iaitu Km 14 juga ditutup pagi ini kerana dinaiki air.

Banjir di Terengganu sudah meragut lima nyawa setakat ini. - BERNAMA







0 comments:


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

...Jurnal Kehidupan... Template by Ipietoon Cute Blog Design