Welcome

Assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Followers

Monday, June 04, 2012

Ketabahan Siti Hajar Demi Cinta Ilahi

Ketabahan Siti Hajar Yang Mengkagumkan


Siti Hajar Wanita mulia
Insan terpilih dan istimewa,
Perintah suami dituruti segala,
Di duga Allah meningkat imannya,
Biarpun di tinggalkan di lembah tandus dan gersang,
Bersama Ismail putera tercinta.
Jiwanya tabah menempuh rintangan

Subhanallah. Maha Suci Allah. tabahnya wanita ini. Cekalnya wanita ini. Demi cinta Allah dan RasulNya, Siti Hajar tega ditinggal bersendirian di padang pasir.

Lalu dengan hati yang berat tetapi penuh keyakinan, Siti Hajar berkata kepada suaminya: "Jika benar ia adalah perintah Allah, tinggalkanlah kami di sini. Aku reda ditinggalkan." Suara Siti Hajar mantap sambil mengesat air matanya.

Ditabahkan hatinya dengan berkata: "Mengenai keselamatan kami, serahkanlah urusan itu kepada Allah. Pasti Dia akan membela kami. Masakan Dia menganiaya kami yang lemah ini."
 

Siti Hajar adalah lambang wanita sejati yang taat kepada suami dan perintah Allah. Segala kesukaran, kepahitan, keresahan yang ditempuh Siti Hajar bersama anaknya kecilnya, Ismail ketika ditinggalkan Nabi Ibrahim di tengah-tengah padang pasir kontang, adalah lambang kesetiaan dan kepatuhan seorang isteri kepada peraturan suaminya.

Inilah iktibar kisah daripada al-Quran yang menggambarkan seorang isteri contoh yang menjadi lambang kewanitaan sejati. Kalau wanita Islam hari ini bersemangat kental seperti Siti Hajar, tentulah mereka akan sentiasa bahagia dan tidak akan mengenakan sekatan tertentu terhadap suami.

Contoh yang ditunjukkan oleh Siti Hajar, yang sanggup menempuh pelbagai kesusahan hidup semata-mata kerana taatkan perintah Allah dan suaminya, tidak syak lagi suatu contoh cukup baik untuk diteladani.

Kisah ketabahan Siti Hajar, turut mempunyai kaitan dan falsafah penting ketika umat Islam menunaikan ibadat haji sekarang. Sebab itulah bagi jemaah yang berada di tanah suci, sama ada ketika mengerjakan umrah atau haji, mereka difardu atau dirukunkan selepas tawaf di Batitullah al-Haram, menunaikan sai iaitu berulang alik dari Safar ke Marwah sebanyak tujuh kali. Ia bertujuan mengingati kembali falsafah penderitaan yang ditanggung Siti Hajar itu. 

Mari kita kenali siapa Siti Hajar dan kehebatannya. Siti Hajar tidak lahir dari keluarga bangsawan, bukan juga dari keluarga ternama, malah hanya seorang wanita hamba sebelum Nabi Ibrahim a.s memperisterikannya.

Siti Hajar seorang wanita luar biasa kerana beliau berhadapan dengan pelbagai musibah besar sehinggakan Allah s.w.t memberi penghormatan tinggi kepadanya sebagai peneroka bumi Makkah dan insan yang menemui telaga air zam-zam sumber air yang terbaik di dunia.

Ya memang benar, beliau seorang wanita yang sungguh luar biasa. Sukar untuk ditemui pada wanita lain sepanjang zaman, dialah seorang wanita, isteri dan ibu yang tinggi jiwa pengorbanannya.



Beliau sangat taat, tabah, dan sabar. Ada apa pada Siti Hajar? Ramai orang yang meneguk air zam-zam, tetapi tidak meneguk Ibrah (pengajaran) daripada wanita yang mula-mula menyentuh air itu.

Sejarah menceritakan beliau wanita berkulit agak gelap, wajahnya tidak secantik madunya Siti Sarah.
Beliau menjaga anak bernama Ismail. Ya, beliau biasa-biasa sahaja pada lahirnya.

Siti Hajar mempunyai hati seperti emas kerana diuji dengan pelbagai dimensi seperti hidup bermadu, fizikalnya diuji ketika ditinggalkan di padang pasir.

Akalnya pula diuji dengan ikhtiar tanpa bekalan, jiwanya diuji dengan tawakal, sabar dan bersangka baik kepada Allah s.w.t dan suami.

Memang Siti Hajar benar-benar luar biasa.

Tatkala Siti Hajar ditinggalkan suami sedikitpun dia tidak menyimpan prasangka tidak baik pada suaminya. Apatah lagi bersangka buruk kepada Allah.

Kenapa dia ditinggalkan atau dibiarkan semua persoalan itu sedikit pun tidak menggoyahkan ketaatan Siti Hajar terhadap suaminya. Dalam diri Siti Hajar terbina satu benteng ketaatan kepada Allah s.w.t dan beliau membina ketaatan tinggi kepada suaminya Nabi Ibrahim a.s.

Ketika Hajar ditinggalkan suaminya, beliau menyerahkan bersama anaknya kepada Allah s.w.t. Maka kepada Allahlah seluruh pergantungan hatinya.

Siti Hajar ikhlas dan reda kerana beliau menyerahkan segala-galanya kepada Allah s.w.t untuk memutuskan apa yang terbaik buat diri dan bayinya.

Ditinggalkan untuk membina kehidupan sendiri di bumi Makkah yang kosong dan tandus. Bayangkan jika kita diuji sedemikian rupa. Beliau juga yakin bahawa Allah s.w.t pasti tidak akan mensia-siakan dirinya.
“Barang siapa menyerahkan dirinya kepada Allah, sedang dia orang yang berbuat kebaikan, maka sesungguhnya ia berpegang kepada tali yang kukuh. Dan hanya kepada Allahlah kesudahan segala sesuatu,” (Surah Luqman ayat 22)

Ciri-ciri luar biasa yang ada pada Siti Hajar adalah hasil didikan suaminya seorang Rasul, jiwanya disibukkan dengan keinginan melaksanakan perintah Allah s.w.t dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Beliau sentiasa memandang positif segala ketentuan Allah dan kerana ketulusan jiwa itu darjat Siti Hajar diangkat tinggi Allah s.w.t walaupun beliau lahir sebagai seorang wanita hamba.

Siti Hajar adalah contoh teladan buat bakal bergelar isteri dan ibu. Kuatkanlah pergantungan kepada Allah dan yakinlah pasti ada selaut kemanisan tersembunyi di sebalik kepahitan takdir-Nya. Itulah punca dan sumber kekuatan utama.

0 comments:


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

...Jurnal Kehidupan... Template by Ipietoon Cute Blog Design