Photobucket

Welcome

Assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Followers


Saturday, June 23, 2012

Anak Sakit Barah Ibu Kongsi Derita

Anak Sakit Barah Ibu Kongsi Derita

Zeti dan Wan Arif.




Zeti tabah hadapi dugaan anak sakit barah tulang, jadi penghuni wad di PPUM

MELIHAT anak membesar dengan sihat dan cergas tentunya menjadi impian ibu bapa, namun apabila anak mengalami penyakit merbahaya seperti barah, pastinya kegembiraan keluarga seakan diragut serta merta.
Namun hidup wajar diteruskan dan walau apa musibah yang melanda, ibu bapa perlu menunjukkan sikap positif dan tidak putus ada terhadap anak yang mengalami penyakit pada tahap kritikal mahupun kronik kerana pasti ada hikmah tersendiri di sebalik apa yang berlaku.

Bahkan, memiliki anak yang menghidap penyakit merbahaya juga menjadikan ibu bapa lebih teguh dan semakin akrab dengan anak kerana kasih sayang yang erat memberikan semangat baru kepada anak.

Meskipun berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul, namun sebagai individu yang berpegang teguh kepada ketentuan Ilahi, situasi sukar berkenaan akan dilalui dengan tabah dan penuh tawakal.

Begitulah rutin Zeti Firdaus Ramli, 28, pula yang ‘menetap’ di wad kerana menemankan anaknya, Wan Arif Ferdauss Wan Ahmad Affendi, 8, terpaksa menghadapi kenyataan bahawa anak tersayang menghidap barah tulang dan perlu menjadi penghuni di wad kanak-kanak Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan.

April lalu, Wan Arif yang lebih mesra dipanggil Arif, menjadi perhatian selepas impiannya bertemu angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor menjadi kenyataan apabila mereka ditemukan di Planetarium Negara, hasil usaha Persatuan Impian Kanak-Kanak Malaysia (PIKM).
Selain impiannya bertemu idola menjadi nyata, hakikatnya, idola sebenar Wan Arif adalah ibunya tersendiri yang terus menemaninya dan memberi kasih sayang tanpa jemu. Malah, pada pertemuan dengan penulis, Zeti turut membawa anak bongsu, Wan Adib Adbdullah, 2, kerana masih menyusu badan.

Apa perasaan Zeti apabila melihatkan keadaan anak tersayangnya itu? Bagi ibu muda ini, beliau pada mulanya berasa sangat sedih melihat penderitaan Wan Ariff yang lebih mesra disapa Arif, tapi anak lelaki sulungnya itu mempunyai kekuatan tersendiri menyebabkan beliau kembali berasa bersemangat.

“Selalunya Arif yang mengingatkan saya supaya jangan berasa sedih dengan apa yang dia alami kerana katanya dia tidak apa-apa walaupun barah tulang yang dihadapi perlukan rawatan rapi.

“Arif mula dikesan mengalami barah tulang ketika bersekolah di darjah satu di SK Toh Indra Wangsa Ahmad, Batu Gajah, Perak. Dia pernah jatuh sebelum itu dan kami menyangkakan tiada apa yang berlaku kerana dia tidak berasa sakit,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran U Mobile Surf Zone di Wad Kanak-kanak PPUM, baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif U Mobile Sdn Bhd (U Mobile), Jaffa Sany Ariffin dan Pengarah PPUM, Prof Datuk Dr Ikram Shah Ismail serta ibu bapa yang menemankan anak mereka di wad.

Selepas beberapa bulan, Arif mula berasa sakit dan agak susah untuk berjalan sehinggalah betisnya mengalami bengkak pada awal Januari lalu. Seminggu selepas pendaftaran untuk memasuki darjah dua, Arif dibawa ke hospital di Batu Gajah dan doktor di sana menggesa Zeti membuat rujukan pada doktor pakar di PPUM.

Selepas dilakukan pemeriksaan, Arif disahkan menghidap barah tulang.

Kini, debaran hati ibu dan anaknya, bakal terasa berikutan anak tersayang itu akan menjalani pembedahan pada 4 Julai ini.

“Saya berdoa semoga Arif akan pulih seperti sedia kala kerana saya ada membuat carian di laman sesawang mengenai barah tulang dialami Arif dan peluang untuknya sembuh dikatakan tinggi.

“Malah Arif sendiri bersemangat dan tidak pernah menunjukkan dia sedih atau tertekan, sebaliknya menjalani rutin seperti biasa walaupun tidak sihat.

“Beberapa hari ini Arif tidak dapat melelapkan mata kerana terlalu seronok memikirkan program U Mobile yang membolehkan kemudahan internet untuk dinikmati kanak-kanak di wad ini,” katanya.

Semangat tinggi demi Faris

Arina Ibrahim, 42, sama sekali tidak menyangka akan melihat anak kesayangan, Faris Ahmad Irfan Shamsul Akmal, 13, mengalami leukimia yang sangat membimbangkan sehingga menyebabkan anaknya tidak dapat menghadiri persekolahan seperti biasa.

“Saya tidak pernah terfikir Faris akan menghidap leukimia kerana dia kanak-kanak periang dan aktif ketika kecil.

Namun pada usia 12 tahun Faris kerap demam dan tidak sihat menyebabkan saya membawanya membuat pemeriksaan doktor.

“Saya membawa Faris menemui doktor di sebuah hospital berdekatan kediaman dan doktor di hospital berkenaan menyarankan saya merujuk kepada pakar di PPUM. Tanpa berlengah, saya membawa Faris ke PPUM dan pada 21 Mac lalu Faris disahkan menghidap leukimia berisiko tinggi,” katanya.

Bagi Arina, pada mulanya hatinya direntap kejutan yang amat sangat. Namun, lewat selepas beristighfar, ibu ini akhirnya pasrah dan menerima hakikat anak kesayangan ditimpa penyakit yang digeruni oleh masyarakat.

“Saya perlu bertenang dan menunjukkan semangat yang tinggi kepada Faris kerana kekuatan saya ini akan membuatkan dia lebih bersemangat menempuh dugaan.

“Paling saya berasa sedih apabila melihat dia selepas menjalani kemoterapi. Dia akan letih dan deman serta mengalami muntah. Ketika itulah saya akan berasa sedih dan simpati, tetapi hidup perlu diteruskan walau sakit macam mana sekalipun,” katanya.

Faris akan menjalani pembedahan pemindahan tulang sumsum dan abangnya, Farid Farhan Rashidi akan menjadi penyumbang memandangkan sumsumnya sesuai untuk Faris.

“Sejak Faris disahkan menghidap leukemia, pergerakannya terbatas, namun dia tetap ceria dan gembira bila berada di rumah.

“Saya keluar dan masuk hospital kerana menemankan dia menjalani rawatan. Saya berasa ada kekuatan apabila melihat dia gembira dan dengan adanya zon melayari internet U Mobile ini, saya gembira kerana kami boleh mendapatkan banyak maklumat di laman sesawang selain menonton rancangan kegemaran,” katanya.

Bagi pihak penyedia perkhidmatan talian internet 3G, U Mobile, usaha menyediakan Wi-Fi percuma 42 bps untuk memudahkan kanak-kanak atau ibu bapa yang menjaga anak mereka di wad berkenaan berhubung dengan ahli keluarga lain di rumah.

Jaffa Sany berkata, selain menjadi tanggungjawab sosial, usaha itu mampu menerbitkan senyuman terhadap kanak-kanak yang menerima rawatan di wad berkenaan di PPUM.

“Kami percaya ini adalah tanggungjawab kami terhadap masyarakat Malaysia untuk menyediakan perkhidmatan perhubungan yang bermutu antara sesama individu.

“Dengan perkhidmatan Wi Fi dan tablet untuk digunakan, kanak-kanak di wad ini juga berpeluang dan bermain sebarang program kanak-kanak yang sesuai dengan mereka seperti menonton rancangan kanak-kanak, bermain program menguji minda, mendengar muzik mahupun berbual dengan rakan di dalam talian,” katanya.

Selain menyediakan perlhidmatan Wi Fi, U Mobile juga turut menyumbang 10 unit komputer peribadi untuk manfaat penghuni wad mengisi masa mereka sementara menunggu menerima rawatan.

Prof Datuk Dr Ikram Shah pula menyambut baik program khidmat sosial diberikan U Mobile kerana dengan adanya sumbangan berkenaan, kanak-kanak di wad yang menginap lama di pusat rawatan berkenaan tidak akan berasa bosan lagi dengan adanya perkhidmatan internet itu.

“Kanak-kanak yang datang mendapatkan rawatan di wad perubatan ini ada antaranya terpaksa menginap lama dan mereka sudah tentu tidak dapat berhubung dengan rakan atau guru di sekolah.

“Mereka juga tidak dapat lagi bermain atau keluar bersama rakam sebaya. Apa yang ada hanyalah ahli keluarga menemani, jadi dengan adanya perkhidmatan sebegini ia seperti satu talian hayat kepada kanak-kanak untuk berhubung dengan rakan atau mengetahui perkembangan luar,” katanya.

SUMBER BERITA HARIAN 22/6/2012

2 comments:

insan_marhaen said...

ibu2 di atas itu, adalah ibu2 yang tabah yang terpilih untuk menerima ujian ini...Semoga mereka terus tabah dan Allah beri keajaiban kepada anak2 mereka..

ummu said...

berat mata memandang
bert lagi bahu memikul
kan cjai
semoga Allah beri kekuatan pada ibu2 ini dan saya juga.amin


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

...Jurnal Kehidupan... Template by Ipietoon Cute Blog Design