Kekasih Berlainan Bangsa Rela membujang jika kekasih ditolak
Ketika Rindu Mana yang lebih sweet
Assalamualaikum dan selamat sejahtera.Mari kita ambil iktibar perkongsian kaunsleing ini.Saya bercinta dengan lelaki bukan Melayu. Dia baik dan sering memberi dorongan setiap kali saya berdepan masalah. Saya tertarik dengan sikapnya yang ‘gentleman’ dan bertanggungjawab, mungkin disebabkan kebanyakan lelaki asing diasuh sedemikian.
Lebih membuatkan saya terpikat, dia kacak dan tidak pernah ambil kesempatan biarpun kami keluar lewat malam berdua-duaan.
Dia pernah meluahkan hasrat untuk menyunting saya menjadi isterinya, tetapi saya bimbang ia hanya angan-angan kosong.
Bahasa serta budaya menyebabkan keluarga saya keberatan menerimanya. Saya berasal daripada kampung dan ibu bapa saya jenis konservatif, membuatkan mereka menolak teman lelaki saya.
Sebaik saya maklumkan pada teman lelaki, dia tidak melenting tetapi meminta saya bertenang. Dia sanggup menemui keluarga saya bagi memujuk orang tua saya. Saya luahkan hasrat pasangan kepada ibu, tetapi ibu meminta saya menghalang kerana khuatir tindakan itu hanya memburukkan keadaan.
Saya tidak sanggup berpisah dengan teman lelaki yang sungguh baik. Ikutkan hati, kalau ibu bapa tidak terima, saya nekad membujang sampai ke tua.
LIDYA
Teluk Intan, Perak
Terlebih dulu, Dang Setia ingin bertanya kepada Lidya, sanggupkah membujang sampai ke tua? Jangan sekali-kali meluahkan kata-kata bermaksud ugutan kepada ibu bapa.
Daripada ingin menagih simpati ibu bapa, boleh jadi mereka marah dan tambah meluat dengan pasangan kerana seolah-olah saudari didorong pasangan untuk melakukannya.
Lebih baik guna pendekatan lebih halus serta diplomasi. Ibu bapa mungkin ada sebab sendiri mengapa mereka menolak pasangan. Aspek itu wajib saudari kenal pasti supaya dapat mencari jalan keluar kepada permasalahan terbabit.
Ibu bapa mana tidak bimbangkan anak sebaik dipinta mengahwinkan mereka dengan lelaki bukan Melayu. Tambah pula kebelakangan ini pelbagai lambakan kes dilaporkan oleh media mengenai kes membabitkan warga asing, membuatkan ibu bapa saudari berasa cuak.
Mungkin lebih baik saudari perkenalkan pasangan terlebih dulu kepada keluarga sebelum buat keputusan. Malah, andai pasangan memahami adat budaya serta bijak mengambil hati orang tua saudari, mereka akan lebih terbuka menerimanya.
Hanya mengenali pasangan menerusi cerita saudari, tidak memadai membantu mereka membuat pertimbangan wajar. Teruskan memujuk dan mohon kerjasama kekasih untuk tidak putus asa dalam memikat hati ibu bapa saudari.
Artikel ini dipetik dari kolum Dang Setia dimuatnaik di sini sebagai rujukan pemilik blog. Sekian terima kasih.
0 comments:
Post a Comment