Photobucket

Welcome

Assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Followers


Wednesday, January 30, 2013

Sakit tulang belakang cakera tergelincir

Sakit tulang belakang cakera tergelincir

Rawatan cakera tergelincir- Suntikan epidural steroid dan epidurolisis 

 

 

SAKIT tulang belakang yang kronik sama ada di pinggang atau di tengkuk adalah kesakitan yang sering dialami ramai orang. Tidak kira orang muda atau tua; semuanya terdedah kepada penyakit ini.

Penyebab sakit tulang belakang ada pelbagai, kebanyakannya disebabkan proses penuaan membabitkan cakera yang lemah, artritis sendi faset, lubang tulang belakang yang tersumbat (stenosis spina) dan juga osteoporosis.

Oleh kerana tulang belakang membabitkan saraf tunjang maka ramai orang menjadi bimbang jika sakit belakang mereka akan menjadi serius dan bakal menyebabkan kelumpuhan dan kecacatan.

Ramai runsing jika kesakitan akan menjadi kronik seumur hidup dan menjejaskan fungsi harian sama ada bersama keluarga, aktiviti sosial dan juga tugasan di tempat kerja. Atas alasan itu jugalah ramai pesakit rasa takut untuk menjalani pembedahan tulang belakang.

Hari ini, saya akan membincangkan rawatan untuk penyakit cakera tergelincir dan stenosis spina, iaitu dua jenis kesakitan tulang belakang yang paling popular di mana kaedah rawatan suntikan epidural selalu dilakukan sebagai pilihan kepada pembedahan.

Saya akan menyentuh fakta rawatan suntikan epidural steroid, epidurolisis dan juga masalah salah faham dikalangan pesakit.

Suntikan epidural steroid dan epidurolisis

Rawatan ini diberikan kepada pesakit yang mengalami cakera tergelincir ataupun stenosis spina.

Suntikan epidural steroid bertujuan mengurangkan bengkak dan keradangan yang berlaku pada akar saraf yang tersepit.

Manakala epidurolisis bertujuan untuk membaik pulih ruang epidural dengan cara melarutkan parut yang terbentuk dalam ruang epidural. Dengan ini akar saraf yang tersepit akan dapat kelegaan dan tidak lagi sakit.

Dalam kebanyakan kes jika rasa sakit menjadi masalah utama, maka keberkesanan teknik suntikan epidural dan epidurolisis ini amat tinggi. Tapi jika kelumpuhan menjadi masalah utama, keberkesanannya agak kurang. Kebanyakan pesakit dinasihatkan supaya terus menjalani pembedahan jika tanda kelumpuhan sudah mula berlaku kerana kerosakan saraf yang tersepit akan dimenifestasikan dengan kesakitan dan kebas terlebih dulu sebelum beransur kepada gejala kelumpuhan dan masalah buang air kecil dan besar (sindrom kauda ekuina).




 

Jika berlaku kelumpuhan mendadak atau berlaku gejala kauda ekuina, ia memberi amaran bahawa kerosakan saraf berada pada peringkat serius dan pembedahan perlu dilakukan segera. Kerosakan saraf jika berlaku akan bersifat kekal dan tidak akan sembuh semula. Jadi pesakit tidak akan sembuh dari kelumpuhan yang dialaminya.

Selain itu faktor masa juga memainkan peranan penting. Lebih lama penyakit cakera tergelincir atau stenosis spina yang dialami, maka makin sukar untuk sembuh dengan rawatan suntikan epidural atau epiduroplasti ini. Statistik menunjukkan suntikan epidural yang dilakukan pada bulan pertama mengalami kesakitan menjanjikan penyembuhan hingga 90 peratus.

Apabila merawat pesakit secara suntikan epidural, biasanya saya boleh memberi anggaran kasar peratus keberkesanan yang bakal dicapai. Dari pemeriksaan doktor boleh mengagak kadar keterukan penyakit cakera tergelincir dan stenosis spina berkenaan.

Hakikatnya keterukan kesakitan yang dialami dan keberkesanan rawatan suntikan selalunya tidak selari dengan laporan MRI. Ramai pesakit saya sembuh walaupun laporan MRI mereka nampaknya amat menakutkan. Jadi jika doktor memutuskan untuk melakukan pembedahan berdasarkan MRI saja, itu satu kesilapan yang besar.

Kebimbangan untuk rawatan pembedahan

Walaupun kaedah suntikan epidural dan epidurolisis mampu merawat kebanyakan pesakit dari dua punca di atas, tapi masih ada 10 hingga 20 peratus pesakit yang gagal. Mereka yang gagal dirawat secara suntikan akan dicadangkan rawatan cara pembedahan. Ramai orang takut untuk menghadapi pembedahan tulang belakang kerana takut akan komplikasi yang lebih teruk (kelumpuhan).

Perlu diingatkan di sini bahawa kejayaan suntikan epidural untuk cakera tergelincir atau stenosis spina lebih ketara jika dilakukan pada peringkat awal dan pertengahan. Dengan kata lain suntikan ini mungkin kurang berkesan jika mereka di peringkat yang teruk. Sebab itu pesakit memberi tindak balas pada suntikan yang berbeza walaupun mengalami masalah tulang belakang yang sama. Malah mengikut amalan klinikal yang standard, kegagalan rawatan suntikan adalah indikasi pembedahan tulang belakang yang mesti dilakukan. Kegagalan melakukan pembedahan akan menyebabkan kelumpuhan yang serius dan kekal.

Pesakit yang terlalu bimbang kdang kala tidak mahu mendengar lagi saranan doktor untuk dilakukan pembedahan. Ramai pesakit saya menolak rawatan pembedahan walaupun saya menegaskan rawatan suntikan akan memberi peluang sembuh yang tipis. Ini berlaku apabila mereka melihat beberapa contoh pesakit lain yang tidak sembuh atau semakin teruk selepas menjalani pembedahan tulang belakang.

Mereka merujuk kepada pesakit yang terdiri dari saudara mara, jiran ataupun kawan-kawan mereka yang terdahulu melakukan pembedahan tulang belakang. Komplikasi yang dilihat seperti kelumpuhan, kesakitan yang berganda, ketidakupayaan selalunya amat ketara dan menjejaskan kehidupan mereka.

Walaupun hakikat kegagalan pembedahan tulang belakang menjangkau 10 hingga 40 peratus tetapi dari sudut positifnya 60 hingga 90 peratus pesakit berpeluang sembuh melalui teknik pembedahan.

Untuk pesakit yang menghidapi masalah cakera tergelincir dan stenosis spina dan berminat menjalani rawatan suntikan epidural atau epidurolisis, saya ingin mencadangkan beberapa saranan yang berguna untuk anda;

1. Anda dinasihatkan melakukan rawatan suntikan ini secepat mungkin. Lagi awal rawatan dilakukan, makin tinggi peluang untuk sembuh.

2. Jika anda sudah berusia dan juga mengalami banyak masalah kesihatan lain seperti darah tinggi , kencing manis atau sakit jantung, maka rawatan suntikan mungkin menjadi pilihan anda yang utama kerana komplikasi pembedahan adalah terlalu tinggi dan serius.

3. Tidak salah mencuba kaedah rawatan suntikan epidural atau epidurolisis walaupun di peringkat yang kritikal. Ini terbukti ada pesakit yang berpeluang sembuh setelah menjalani rawatan ini. Dengan syarat anda juga bersedia untuk rawatan pembedahan.

4. Jika anda gagal mendapatkan kelegaan selepas menjalani rawatan suntikan epidural atau epidurolisis anda perlu menjalani rawatan pembedahan. Ini amat penting bagi mereka yang di tahap serius atau kritikal.

5. Suntikan epidural atau epidurolisis dan ubat makan bukan segalanya dalam merawat sakit tulang belakang yang kronik. Ada senaman yang khusus untuk cakera tergelincir dan stenosis spina yang perlu anda lakukan secara berkala sebagai sebahagian strategi rawatan multimodal untuk kesakitan kronik.

6. Rawatan suntikan suntikan epidural atau epidurolisis ini mampu menyembuhkan kebanyakan pesakit walaupun ianya tidak berlaku pada semua pesakit .

Kajian kes

Seorang pesara berumur 60 tahun mengalami sakit tengkuk yang kronik. Sakit seperti mencucuk dan kejang dirasai menjalar turun pada kedua-dua lengan dan jari manis dan kelingkingnya.

Selain dari itu, beliau juga menghidapi sakit darah tinggi dan jantung iskemia. Pembedahan pintasan jantung koronari telah dilakukan dua tahun lalu. Beliau sukar tidur malam disebabkan oleh sakit yang alami tidak dapat di kawal dengan ubat penahan sakit biasa.

Beliau dirawat doktor pakar ortopedik swasta. Berdasarkan MRI dan Imbasan CT, diagnosis stenosis spina tulang tengkuk dibuat. Seterusnya doktor mencadangkan pembedahan pada tulang tengkuknya. Memandangkan risiko pembedahan yang besar beliau memutuskan untuk mencuba suntikan epiduroplasti selepas mendapat maklumat melalui Metro Ahad.

Saya memberikan suntikan epiduroplasti pada lehernya. Syukur pesakit ini sembuh sepenuhnya keesokan harinya tanpa perlu pembedahan. Malah pesakit mampu memandu keretanya pulang dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur dengan selesa.

Sumber:




myMetro
30hb Mei 2010


DISCLAIMER:

Penulis blog bukan doktor mahupun pakar perubatan. Walau bagaimanapun, perkongsian rakan-rakan yang menghadapi masalah kesihatan di dalam blog ini, sangat dihargai dan dialu-alukan. 

Artikel kesihatan ini bertujuan untuk memberikan kefahaman kepada masyarakat tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan kesihatan. Artikel yang disiarkan dipetik daripada sumber yang dinyatakan di bawah entry ini. Artikel ini adalah sebagai perbincangan sahaja.

Kepada Sesiapa yang merasakan dirinya mempunyai simptom-simptom masalah kesihatan tertentu dan mengalami sebarang jenis penyakit atau masalah kesihatan, sila berjumpa dengan doktor untuk nasihat perubatan dan rawatan susulan.Ini agar doktor dan pakar perubatan dapat membuat diagnosis terhadap penyakit anda seterusnya merawat kes anda dengan segera.

Bersama menjaga kesihatan demi ummah sejahtera. InshaAllah. Tetapi jika kita ditimpa sakit,, yakinlah, InshaALLAH ada rahmat ALLAH untuk kita jika kita sabar dan redha. InshaALLAH.

Nota Kaki:

Untuk info lanjut sila hubungi:
Dr Nizar Abdul Jalil
HP no; 6 013 9803389
Office; 6 -09-7673000 Ext. 6095/3866
Email: nizar@kb.usm.myklik http://drnizarabduljalil.blogspot.com/2010/05/kenali-dr-nizar.html


0 comments:


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

...Jurnal Kehidupan... Template by Ipietoon Cute Blog Design