Dilahirkan dalam keluarga bukan Muslim, mereka terbuka hati memeluk Islam sebagai addin seterusnya memilih nyanyian sebagai medium dakwah bagi melahirkan kesyukuran serta memuji kebesaran Ilahi.
Genres: Pop, Asian
Release Date: May 4, 2012
Kumpulan Safiya DIANGGOTAI oleh Nurain T. Abdullah, 39; Leia AzZahra Justin Abdullah, 32; dan Valerie Cassera, 29, ketiga-tiganya mempunyai kisah tersendiri dalam menempuhi cabaran sebagai seorang mualaf.
Tidak lokek untuk bercerita, masing-masing membuka bicara tentang perjuangan mereka hendak memeluk agama Islam.
Selaku anggota paling senior, Nurain yang berasal dari Keningau, Sabah ini masih lagi ingat bagaimana detik permulaan untuknya melangkah sebagai seorang saudara baru.
Dilahirkan dan dibesarkan dalam keluarga yang begitu patuh kepada agama Katolik, ketika itu Nurain memberitahu dia masih terus mencari haluan dalam kehidupannya.
Pernah juga dia menganut agama Buddha semata-mata mahu mencari pegangan yang kukuh sebagai seorang manusia.
"Ternyata semuanya itu tidak memberikan ketenangan buat saya sehinggalah pada satu hari, saya membaca tafsiran al-Quran. Helaian demi helaian sehingga habis, barulah saya menemui apa yang dicari selama ini.
"Segala persoalan yang selama ini saya cari semuanya ada di dalam kitab suci tersebut lalu memberi keyakinan untuk saya menjadi seorang Muslim," kata wanita yang memiliki kelulusan dalam bidang kecantikan dan dandanan rambut ini penuh terbuka.
Sudah pasti katanya, dugaan dan cabaran mulai timbul sebaik sahaja dia menyuarakan hasrat kepada keluarga yang mendapat tentangan cukup hebat.
Apatah lagi, selepas dibuang keluarga Nurain hilang segala-galanya sehinggalah dia dipertemukan dengan seorang teman yang membantu membawanya mendalami Islam.
Sempat juga dia belajar di sekolah pondok di Kedah dan sepanjang di sana, Nuraian begitu gembira kerana mendapat ilmu yang dicari selama ini.
Sangkanya, selepas menamatkan pengajian, dia akan mendapat bantuan daripada masyarakat Islam sendiri.
Tetapi keadaan yang sebaliknya pula berlaku. Sama sekali dia tidak menyangka ada segelintir yang seolah-olah menjadikan Islam ini sebagai sebuah agama yang sukar.
"Sebagai seorang saudara baru, sudah pasti saya memerlukan masa untuk membentuk diri menjadi seorang Muslim. Tetapi saya pula ditekan dan dipaksa untuk melakukan semua perkara dalam satu masa.
"Bagi saya, sebelum melakukan perkara praktikal, apa yang harus diutamakan adalah pembentukan akidah dan ketetapan iman dalam diri. Seiring itu, barulah disekalikan dengan apa yang harus dilakukan.
"Itu belum lagi perlu berhadapan dengan kerenah birokrasi pihak tertentu untuk membantu mualaf seperti saya sedangkan orang seperti kami ini wajib dibantu," luahnya yang sudah 12 tahun menjadi Muslim ini dalam nada sedikit kesal.
Hidayah untuk Safiya
Bercerita mengenai latar belakang mereka, Leia, 31, yang berasal dari Penampang, Sabah asalnya beragama Kristian dan nama sebenar Farradina Justin.
Anak sulung dua beradik berketurunan Kadazan ini memilih menggunakan nama Leia AzZahra Justin Abdullah selepas memeluk Islam pada Oktober 2007.
Nurain, 39, berasal dari Keningau, Sabah berketurunan Kadazandusun asalnya juga beragama Kristian dengan nama Naddy Tinungul.
Anak kedua daripada 10 beradik ini memilih menggunakan nama Nurain Tinungul Abdullah apabila memeluk Islam pada tahun 2000.
Dia yang turut aktif dalam Perkim, gembira apabila berjaya membawa semua anggota keluarganya memeluk Islam.
Manakala anggota paling muda, Valerie, 29, pula berasal dari Kuching, Sarawak.
Dia yang berketurunan Bidayuh beragama Kristian dengan nama serupa, baru memeluk Islam pada November 2010.
Anak sulung dua adik beradik ini mengekalkan nama asalnya kerana mahu menjaga sensitiviti ibu bapanya yang memberikan nama ini.
Apatah lagi maksud namanya positif, menggambarkan dia seorang yang kuat.
Leia berkata, mereka masing-masing aktif dalam seni sebelum bersama Safiya.
Dia mula terbabit dalam seni dakwah sejak 2008 dan pernah bergerak bersama Rabbani dan Hijjaz.
Leia pernah menyanyi solo dan menghasilkan single berjudul Mencari Yang Hilang menerusi album Kompilasi Pop Nasyid terbitan Nova Music.
“Selepas itu barulah saya sertai Studio Muallaf yang ada sitkom muzikal di TV AlHijrah.
“Apabila Studio Muallaf memperlahankan aktiviti, saya berhasrat tubuhkan kumpulan wanita.
“Apatah lagi saya dapat nasihat rakan-rakan dalam bidang dakwah yang kata tak elok saya bercampur dengan lelaki.
“Seorang rakan kenalkan saya dengan Loonaq Records.
“Cadangan awalnya nak rakam album solo tapi akhirnya diubah kepada kumpulan.
“Saya duduk berbincang dengan komposer Xifu Naser (Abdul Naser Abdul Rahman) dan dia kenalkan saya dengan Nurain dan seterusnya Valerie,” katanya.
Nurain juga pernah terbabit dalam program Studio Muallaf, mula menyanyi di kelab-kelab sejak usia 18 tahun.
Selepas menerima hidayah Allah, dia aktif sebagai aktivis muallaf membantu dan berdakwah kepada saudara-saudara baru Muslim.
Dia juga pernah menjadi artis sebuah syarikat rakaman antarabangsa tetapi tidak sempat menghasilkan album.
Valerie sememangnya tiada pengalaman menyanyi namun mempunyai asas nyanyian koir sejak sekolah.
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengajian Perniagaan dari UiTM ini mengakui mula-
nya mula-malu dan tidak yakin.
Namun pengalamannya yang hebat dalam ‘public speaking’ digunakan sebaik-baiknya dengan menyertai Safiya untuk memantapkan akidah diri di samping berdakwah kepada masyarakat.
Safiya dari bahasa Arab yang bermaksud sahabat sejati, setia dan tulus ikhlas menjadi pilihan mereka manakala konsep muzik yang dipilih ialah pop ketuhanan dan kemanusiaan sejagat.
Nama ini baru digunakan sejak tiga bulan lalu.
Mereka kini sudah merakam lima lagu iaitu Cinta Muallaf, Kembara Kabilah Akhir Zaman, Jalan Cahaya, Paksi dan Dari Ruang Lain.
“Kesemua lagu dan lirik ciptaan HjRozman dan susunan muzik dan terbitan dibuat oleh Othman Masri atau Man Senoi dan dirakam di studio Loonaq menggunakan kaedah rakaman muzik elektronik.
“Konsep album kami pop dengan elemen fusion, orkestra elektronik dan kontemporari ‘world music’.
“Manakala liriknya pula menyentuh mengenai puisi ketuhanan, sufi, penyerahan diri kepada Allah, memuji Rasulullah, hubungan sosial dan kemanusiaan sejagat masa kini serta mengenai muhasabah diri dan toleransi mengikut sudut pandang (perspektif) yang berbeza.
“Objektif kami sememangnya untuk berdakwah.
“Kami percaya medium muzik sangat penting untuk menyampaikan mesej seperti dibuktikan oleh Maher Zain yang diminati oleh ramai peminat.
“Alhamdulillah setakat ini kami sudah diundang beraksi di pelbagai program depan khalayak ramai.
“Kalau ada rezeki kami akan terus menyanyi dalam konsep ini,” kata Valerie.
Mengulas isu wanita dilarang menyanyi kerana suara dianggap aurat, trio ini sepakat mahu masyarakat melihatnya dari sudut positif dan tidak menjadikannya isu.
Apatah lagi niat mereka hanyalah untuk menyampaikan mesej kebaikan.
“Saya pernah rujuk dengan ustaz dan dapati banyak khilaf dalam perkara ini.
“Pendapat yang dikeluarkan juga berbeza-beza.
“Mungkin nyanyian yang dilarang itu yang bersifat menggoda.
“Nyanyian kami tak bermaksud begitu dan harap tak disalah tafsir,” kata Nurain.
0 comments:
Post a Comment