KUALA TERENGGANU: Kakitangan FELDA diberi 2.5 peratus saham FELDA Global Ventures Holdings Berhad (FGVH), selepas kerajaan mengambil kira pelbagai kelebihan dan manfaat yang sudah diterima peneroka selama ini tetapi tidak dinikmati kakitangan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, kakitangan dan peneroka FELDA masing-masing menerima saham jumlah yang sama, namun disebabkan bilangan peneroka lebih ramai berbanding kakitangan, agihan saham yang diterima peneroka kelihatan lebih kecil berbanding kakitangan.
Pemberian 800 unit saham FGVH kepada peneroka dikatakan agak kecil dan peneroka mahu FELDA menambah sebanyak 200 unit bagi menjadikannya 1,000 unit saham.
Ahmad berkata, beliau akan membentangkan penjelasan mengenai pemberian saham berkenaan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Katanya, peneroka mempunyai banyak kelebihan lain berbanding kakitangan FELDA termasuk akan memperoleh dividen setiap tahun daripada Tabung Amanah FELDA yang memiliki 20 peratus ekuiti FGVH.
“Ini bermakna peneroka akan menerima 22.5 peratus (saham) tetapi kakitangan tidak dapat 20 peratus itu.
“Kakitangan juga tidak mendapat tanah kebun dan khairat kematian seperti yang dinikmati peneroka, tambahan pula tanah kebun ladang yang disenarai itu adalah kebun FELDA yang diuruskan kakitangan terbabit,” katanya.
Ahmad berkata, seminar berkenaan diadakan di setiap negeri dan akan berakhir pada Julai ini, yang mana golongan sasarannya ialah kakitangan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) serta belia.
Sementara itu, pada majlis penutupan Futsal anjuran Pertubuhan Kebangsaan Warisan Ketuanan Melayu Malaysia (PEWARIS) di ibu negara, Ahmad berkata, badan bukan kerajaan (NGO) terutama pertubuhan belia perlu melipatgandakan usaha menganjurkan aktiviti sihat seperti sukan bagi menarik sokongan orang muda kepada kerajaan.
Katanya, dengan pelaksanaan aktiviti seumpama itu kecenderungan serta minat generasi muda untuk bersama kerajaan dapat dicapai terutama dalam menongkah arus perubahan negara ke arah lebih baik pada masa depan. (SUMBER; BERITA HARIAN)
Saham FGVH Yang Disenaraikan Beri Keutamaan Kepada Peneroka - Najib
KUALA LUMPUR, 31 Mei (Bernama) -- Peneroka Felda tetap mendapat keutamaan dalam langkah penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) apabila lebih 70 peratus saham terbitan penawaran runcit FGVH diperuntukkan kepada golongan peneroka, warga pekerja Felda dan individu yang menyumbang kepada organisasi itu.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, ketika melancarkan prospektus FGVH Khamis sempena penyenaraian gergasi perladangan itu, mengumumkan daripada 255,371,000 saham terbitan penawaran runcit, sebanyak 182,408,000 saham terbitan diperuntukkan kepada peneroka, pekerja dan mereka yang telah memberi sumbangan kepada organisasi tersebut manakala 72,963,000 saham selebihnya adalah untuk pelabur awam.
Sehubungan itu, Najib berkata dakwaan pihak tidak bertanggungjawab bahawa kerajaan akan memanipulasikan golongan peneroka dengan penyenaraian tersebut sebagai tidak benar dan tidak berasas sama sekali.
"Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa apa yang kita lakukan ini adalah sebagai menepati amanah yang ditinggalkan oleh ayahanda saya, Tun Abdul Razak Hussein.
"Sebagai menteri yang bertanggungjawab ke atas Felda, saya dan rakan-rakan berjanji tidak akan sekali-kali membiarkan kemudaratan bukan sahaja kepada warga Felda tetapi juga kepada generasi terkemudian dan negara. Kita tetap akan memperjuangkan Felda sebagai institusi lambang kejayaan rakyat Malaysia," katanya di sini.
Saham FGVH dijangka disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd pada 28 Jun ini.
Najib berkata penyenaraian FGVH mencatat dua detik bersejarah bukan sahaja kepada Felda tetapi juga negara apabila penyenaraian itu merupakan yang terbesar di Asia pada tahun ini dan tawaran awam permulaan (IPO) itu merupakan yang kedua terbesar di dunia pada tahun ini selepas Facebook.
Beliau turut melahirkan rasa bangga apabila langkah penyenaraian itu telah mencetuskan penerimaan yang luar biasa dan kini pihak Felda berdepan dengan satu masalah baru iaitu memenuhi kepuasan semua pihak yang memohon saham FVGH.
"Walaupun orang kata, ini satu masalah yang menyenangkan, ini adalah masalah kejayaan tetapi juga terpaksa membuat keputusan yang sebaik dan seadil mungkin," katanya.
Beliau berkata penyenaraian itu akan melonjakkan FGVH untuk menjadi sebuah syarikat bertaraf dunia apabila menarik minat dua buah syarikat komoditi utama di Eropah iaitu Louis Dreyfus Commodities Asia dan Vitol Group untuk menjadi rakan kongsi strategik.
Beliau berkata FGVH berada dalam kedudukan yang baik untuk menggunakan kedudukannya sebagai pengendali minyak sawit ketiga terbesar di dunia melalui pemilikan 49 peratus saham dalam Felda Holdings Bhd dan untuk berkembang dengan lebih maju.
Katanya selain akan menguntungkan Felda dan peneroka, penyenaraian itu juga akan membawa keuntungan kepada rakyat Malaysia kerana badan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Permodalan Nasional Bhd, Tabung Haji dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera juga akan memiliki saham FGVH.
Perdana Menteri berkata langkah itu bukan sahaja dapat melimpahkan kemakmuran dan kejayaan Felda tetapi juga bagi kemakmuran rakyat dan negara.
Sehubungan itu, beliau berharap agar peneroka Felda terus memberi keyakinan kepada penyenaraian itu dengan melabur dan menyimpan saham mereka bagi jangka panjang.
"Ingatlah, jika kita tabah dan sabar, Insya-Allah, Tuhan akan menambah rezeki kita sepertimana ketabahan sebagai peneroka. Para peneroka hari ini merupakan golongan yang sudah mendapat pendapatan sederhana dan segala kemudahan telah dapat kita sediakan selama ini. Saya percaya, pemilikan saham ini akan menambah jumlah pendapatan," katanya.
Pada majlis itu, Najib turut mengumumkan bahawa pusingan kedua durian runtuh sebanyak RM5,000 kepada isteri peneroka akan diberi pada 7 Julai ini sempena Hari Peneroka dan perasmian Menara Felda.
Awal bulan ini, Perdana Menteri mengumumkan pemberian durian runtuh sebanyak RM15,000 kepada setiap keluarga peneroka yang melibatkan tiga fasa, iaitu RM5,000 bagi ketua keluarga yang telahpun diagihkan, manakala RM10,000, iaitu masing-masing RM5,000 kepada isteri peneroka dan anak peneroka akan diagihkan mengikut fasa.
-- BERNAMA
FGV tawar 800 unit saham
KUANTAN 2 Jun - Para peneroka Felda Bukit Goh ternyata gembira dan teruja menghadiri majlis menandatangani borang biru bagi membolehkan mereka mendapatkan sebahagian daripada 182,408,000 saham Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) yang akan disenaraikan di Bursa Malaysia 28 Jun ini.
Bukan itu sahaja, ada antara peneroka yang hadir pada majlis yang bermula pada pukul 9 pagi itu seakan-akan tidak percaya bakal memiliki saham sebanyak 800 unit yang ditawarkan Felda.
Mereka yang kebanyakannya berusia lingkungan 50 tahun ke atas turut melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Felda serta kerajaan ketika ditemui Mingguan Malaysia pada majlis itu di sini hari ini.
Seorang peneroka, Mohd. Amin Abdul Razak, 73, berkata, dia bersetuju membeli saham FGV itu sebagai pelaburan untuk masa depan.
"Saya telah meneliti tawaran melalui borang biru hari ini, ia cukup baik dengan penawaran 800 unit saham kepada kami. Saya yakin pulangannya pada masa depan pasti sangat lumayan," katanya.
Bagi ibu tunggal, Rohani Muhayat, 64, pula, dia cukup gembira tinggal di Felda kerana kebajikannya dan anak-anak sentiasa terbela.
"Suami saya telah meninggal dunia pada 1984, dua tahun selepas kami menetap di Felda Bukit Goh. Saya bersendirian selepas itu membesarkan lima orang anak.
"Kehidupan saya terbela sebagai seorang peneroka menerusi pelbagai bantuan yang diberikan Felda dan yang terbaru durian runtuh serta saham FGV ini," katanya.
Sementara itu, Pengurus Felda Bukit Goh, Hussien Yob berkata, seramai 552 orang daripada 671 peneroka di tanah rancangan itu bersetuju membeli 800 unit saham yang ditawarkan kepada mereka.
Menurutnya, hanya 119 peneroka masih belum menyatakan persetujuan sama ada mahu membeli saham itu atau tidak.
"Bagaimanapun jumlah yang tidak bersetuju untuk membeli saham FGV itu berkurangan daripada kira-kira 40 peratus atau 260 peneroka kerana mereka mula faham selepas diberi penerangan," katanya.
Hussien berkata, Felda memberi tempoh sehingga esok kepada para peneroka menandatangani borang biru pemilikan saham tersebut.
Katanya, jika gagal berbuat demikian peneroka masih boleh membeli saham FGV tetapi melalui cara terbitan cabutan awam.
"Tetapi perlu diingat, borang biru ini disediakan oleh Felda khusus untuk peneroka sebagai jaminan mereka akan dapat saham yang ditawarkan. Cara terbitan cabutan awam adalah terletak pada nasib," katanya.
Peneroka Felda di Pahang minta tambahan unit saham (Utusan Malaysia)
TEMERLOH 3 Jun - Peneroka Felda Lakum dekat Lanchang meminta Felda menambah 200 unit lagi saham Felda Global Ventures Holdings (FGVH) menjadikan 1,000 unit kepada setiap peneroka tanah rancangan itu.Naib Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Rancangan Felda Lakum, Abdul Aziz Awang berkata, pemberian 800 unit saham FGVH itu yang bernilai RM4.55 seunit kepada peneroka terlalu kecil jika dibandingkan dengan saham tersebut yang ditawarkan kepada kakitangan Felda.
"Keutamaan perlu diberikan kepada peneroka sepertimana kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika pengumuman pemberian saham tersebut baru-baru ini," katanya. - BERNAMA
0 comments:
Post a Comment