Photobucket

Welcome

Assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Followers


Wednesday, September 05, 2012

Fibroid Bukan Kanser Tapi Ketumbuhan Perlu Dirawat

Fibroid Bukan Kanser Tapi Ketumbuhan Rahim Perlu Dirawat

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.Wanita makhluk Allah yang begitu unik. Banyak perkara yang perlu dijaga oleh wanita,kan?

Artikel Pertama di bawah disalin dari tulisan Prof Datuk Dr Hamid Arshat. Pada saya  secara peribadi, Prof adalah seorang doktor yang mesra. Jadi, tidak perlulah takut untuk berjumpa Dr Hamid Arshat. Kita ikuti tulisan beliau pada artikel pertama. Kenyataan beliau ialah;

"Fibroid adalah ketumbuhan yang paling sering berlaku di dalam rahim wanita tetapi puncanya tidak diketahui. Ia bukan ketumbuhan kanser dan jarang menyebabkan kematian tetapi ia boleh menimbulkan beberapa gejala termasuk gangguan haid, kekurangan darah, ketidaksuburan, gangguan perkencingan dan sebagainya.

Di sini saya kongsikan sedikit pengalaman saya di internet. Sebenarnya berat nak kongsikan bimbang dikatakan menagih simpati tapi mungkin ada kebaikan di sebalik perkongsian ini.

Selain rawatan doktor, pengalaman saya beberapa tahun dahulu, saya menggunakan supplement Minyak Anggur Perahan Sejuk secara konsisten. Alhamdulillah. Berkat Rahmat Allah dan mungkin Bulan Ramadhan, ketumbuhan itu hilang.

Yang penting, apabila telah didiagnos menghidapi sesuatu penyakit, usah runsing memikirkan sakit itu. Ubah memikirkan sakit kepada membuat suatu perkara yang menyeronokkan dan menggembirakan mengikut acuan Islam. InshaALLAH, Allah sangat hampir dengan kita kalau kita hampir denganNya.

Apa Itu Fibroid?

Fibroid adalah ketumbuhan biasa atau benign (bukan kanser) yang terdapat di dalam uterus/rahim wanita yang berusia sekitar 30 hingga 40-an.

Ia merupakan salah satu ketumbuhan yang biasa terjadi kepada wanita semasa tahun-tahun kesuburan mereka.

Biarpun begitu ia boleh tumbuh di lain-lain organ yang mengandungi sel-sel otot licin. Fibroid adalah tumor pejal yang terjadi daripada tisu-tisu fiber di mana dari situlah ia mendapat namanya.

Lazimnya, fibroid tercetus sebagai ketumbuhan dan membesar secara perlahan-lahan, selalunya tanpa simptom.

Malah kedudukan fibroid yang boleh menyebabkan kemandulan ini, telah mencetuskan kontroversi.
Kenapa? Ketumbuhan ini merupakan penyebab utama bagi pembedahan histerektomi iaitu pembedahan mengeluarkan fibroid dan rahim.

DISCLAIMER:

Penulis blog bukan doktor mahupun pakar perubatan. Walau bagaimanapun, perkongsian rakan-rakan yang menghadapi masalah kesihatan di dalam blog ini, sangat dihargai dan dialu-alukan. 

Artikel kesihatan ini bertujuan untuk memberikan kefahaman kepada masyarakat tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan kesihatan. Artikel yang disiarkan dipetik daripada sumber yang dinyatakan di bawah entry ini. Artikel ini adalah sebagai perbincangan sahaja.

Kepada Sesiapa yang merasakan dirinya mempunyai simptom-simptom masalah kesihatan tertentu dan mengalami sebarang jenis penyakit atau masalah kesihatan, sila berjumpa dengan doktor untuk nasihat perubatan dan rawatan susulan.Ini agar doktor dan pakar perubatan dapat membuat diagnosis terhadap penyakit anda seterusnya merawat kes anda dengan segera.

Bersama menjaga kesihatan demi ummah sejahtera. InshaAllah. Tetapi jika kita ditimpa sakit,, yakinlah, InshaALLAH ada rahmat ALLAH untuk kita jika kita sabar dan redha. InshaALLAH.

  ARTIKEL PROF DR HAMID ARSHAT

MENGAPA WANITA TUMBUH FIBROID?


 Umur empat puluhan merupakan umur yang penting bagi seseorang wanita kerana dalam jangka waktu ini banyak perubahan yang berlaku sama ada perubahan jasmani, mental, emosi atau rohaniah. Kali ini, saya ingin membincangkan satu aspek perubahan jasmani yang boleh mengancam atau menjejaskan kesihatan seseorang wanita yang menjangkau umur empat puluhan. Saya percaya ramai di kalangan mereka yang berumur dalam lingkungan empat puluhan bersetuju dengan saya bahawa dalam peringkat ini mereka mengalami berbagai-bagai perubahan. Salah satu daripada perubahan itu ialah gangguan haid.

Pelbagai Gangguan Haid

Pelbagai gangguan haid boleh berlaku sama ada haidnya berjalan secara tidak teratur atau secara teratur tetapi keluar dengan banyak serta berpanjangan. Ada pula yang mengalami masalah sakit (senggugut) ketika turun haid dan darahnya keluar berketul-ketul sehingga badannya menjadi lemah disebabkan kehilangan darah yang begitu banyak. Ada pula yang diganggu oleh perjalanan haid yang tidak betul seperti keluar tidak tentu masa dan sedikit demi sedikit serta berpanjangan pula. Ada pula yang tidak keluar haid selama beberapa bulan dan apabila keluar, wanita itu mengalami pendarahan yang begitu banyak serta berpanjangan. Ada pula yang mengalami kekurangan atau kekeringan haid seperti keluar sekali dalam dua atau tiga bulan dengan sedikit sahaja. Bagi mereka yang mengalami kekurangan atau kekeringan haid ini selalu berasa bimbang sama ada dia akan mengalami putus haid (menopaus) atau tidak. Ada sesetengah wanita pula mengalami masalah turun darah selepas melakukan persetubuhan dengan suami. Ini mungkin menandakan sesuatu yang berbahaya seperti ketumbuhan besar.
        Saya ingin menekankan di sini, bahawa gangguan haid pada wanita dalam umur sekitar empat puluhan atau lebih, boleh menandakan penyakit yang sangat berbahaya dan ditakuti seperti kanser pangkal rahim.

Oleh itu, saya ingin menasihatkan kepada kaum wanita, jika dia mengalami masalah-masalah yang saya nyatakan di atas, eloklah dapatkan nasihat dan pemeriksaan daripada doktor mereka atau daripada pakar sakit puan.

Gangguan Haid Boleh Menandakan Ketumbuhan Dalam Rahim

Gangguan haid yang berbagai-bagai bentuk boleh menandakan sesuatu penyakit dalam rahim. Bagi mereka yang berumur dalam lingkungan empat puluhan, penyakit yang sering menyebabkan gangguan haid ialah ketumbuhan daging pada dinding rahim, iaitu ketumbuhan yang dinamakan fibroid.

 Walau bagaimanapun, ada penyakit-penyakit lain yang lebih ditakuti seperti kanser pangkal rahim, kanser rahim dan ketumbuhan lain seperti endometriosis, adenomysis dan jangkitan kuman di dalam perkakas peranakan.

        Bagaimanapun, saya hanya akan membincangkan tentang fibroid kerana saya percaya, bahawa ini merupakan ketumbuhan dalam rahim yang paling sering menyerang wanita. Walaupun, ketumbuhan fibroid sering berlaku, namun tidak kesemua ketumbuhan ini menimbulkan masalah dan kadang-kala seseorang wanita tidak sedar dia mempunyai ketumbuhan tersebut sehingga akhir hayatnya kerana ketumbuhan itu tidak menimbulkan apa-apa tanda ataupun gejala yang boleh mengancam kesihatannya.

Apakah Ketumbuhan Fibroid?

Ketumbuhan fibroid ialah sejenis ketumbuhan yang berlaku pada dinding rahim, khususnya pada lapisan otot. Sebenarnya, rahim mempunyai tiga lapisan. Lapisan paling luar ialah lapisan yang nipis yang dinamakan serosa. 

Bahagian tengahnya ialah lapisan otot atau myometrium yang boleh mengembang dan membesar ketika seseorang wanita sedang hamil. Ketika kandungan dalam peringkat pelahiran sebelum bersalin, otot ini akan menguncup untuk mengeluarkan bayi dan setelah bersalin, otot ini akan kuncup dan pulih seperti sediakala. Walaubagaimanapun, ketumbuhan boleh berlaku pada lapisan otot ini, iaitu ketumbuhan yang mengandungi tisu-tisu otot bercampur dengan tisu berserat atau tisu penyambung.
        Lapisan paling dalam ialah lapisan endometrium. Lapisan ini sering berubah-ubah mengikut pusingan haid. Apabila seseorang wanita tidak hamil, maka sebahagian daripada lapisan endometrium akan luruh dan ia akan keluar bersama-sama dengan darah haid. Darah haid adalah campuran antara darah dengan tisu-tisu dan sel-sel dari lapisan endometrium, lendir serta kuman-kuman bakteria dan lain-lain. Biasanya, campuran ini dinamakan “darah kotor”. Sebenarnya, darah tidak akan menjadi 'kotor' sebelum ia keluar dan bercampur dengan bahan-bahan yang saya nyatakan tadi.

Mengapa Tumbuh Fibroid?
        Ramai orang tertanya-tanya mengapa seseorang wanita ditumbuhi fibroid pada lapisan dinding rahim. Sebenarnya, punca bagi penyakit ini tidaklah diketahui, dan mengapa ia tumbuh pada sesetengah orang sedangkan yang lainnya tidak. Ada satu kajian yang menunjukkan bahawa lebih kurang 25 peratus daripada wanita sebelum meninggal dunia akan menghidapi penyakit fibroid pada rahimnya tetapi tidak semua mengunjungi dan mendapat rawatan daripada doktor kerana kebanyakan fibroid ini tidak menimbulkan sebarang tanda atau menggangu kesihatan.
        Ada yang mengatakan, bahawa ketumbuhan fibroid ini sering berlaku di kalangan wanita yang tidak berkahwin atau lambat berkahwin dan juga yang berkahwin tetapi sukar untuk mengandung dan beranak. Saya juga sering menjumpai fibroid di kalangan wanita yang mengalami masalah ketidaksuburan atau kemandulan. Di samping ketumbuhan fibroid, mereka juga menghidap penyakit endometriosis, iaitu sejenis penyakit di mana darah kotor melimpah ke belakang rahim menyebabkan berbagai-bagai masalah pada saluran peranakan, kilang telur dan persekitaran rahim.
        Mana yang timbul dahulu, fibroid ataupun masalah ketidaksuburan tidaklah diketahui. Bagaimanapun, apa yang nyata masalah ketidaksuburan sering berkait rapat dengan ketumbuhan fibroid. Walaupun demikian, wanita yang pernah beranak juga tidak terlindung daripada penyakit fibroid. Seringkali kita lihat di kalangan wanita yang menjangkau ke umur tiga puluhan atau empat puluhan dan setelah anak mereka besar walaupun mereka telah melahirkan mungkin empat atau lima orang anak selepas itu, mereka mendapati sukar untuk beranak lagi dan beberapa tahun kemudian mereka mengalami berbagai-bagai masalah serta gangguan haid, dan apabila diperiksa didapati mereka mengalami ketumbuhan fibroid.
Fibroid Akibat Ketidakseimbangan Hormon
 Ada orang mengatakan, bahawa ketumbuhan fibroid ini adalah akibat daripada ketidakseimbangan dalam hormon wanita. Perlu diberitahu di sini, bahawa wanita mempunyai dua jenis hormon, iaitu estrogen dan progesteron. Biasanya, estrogen meningkat naik sejurus selepas haid dan paras progesteron pula meningkat selepas telur dikeluarkan, iaitu dua minggu selepas keluar haid sehingga tempoh haid akan datang. Oleh itu, keadaan yang tidak seimbang, khususnya jika terlalu banyak estrogen dan tidak mencukupi progesteron dalam badan seseorang, boleh menimbulkan berbagai-bagai masalah seperti pendarahan yang tidak tentu masa, ketumbuhan fibroid pada rahim serta keadaan ketidaksuburan atau kemandulan.
        Sukar untuk kita ketahui, mengapa kandungan estrogen dan progesteron menjadi tidak seimbang kerana segala-galanya adalah dikawal oleh hormon yang dikeluarkan oleh kilang pituitari yang terletak di dalam otak. Fungsi kilang pituitari ini mudah dipengaruhi oleh keadaan mental, emosi dan rohaniah seseorang. Jika ada gangguan pada tahap tersebut, maka rangkaian hormon yang mengawal pusingan dan mengawal paras estrogen dan progesteron boleh terganggu. Desakan dan tekanan hidup yang sering dialami oleh kebanyakan wanita yang bekerja juga akan mengganggu kawalan dan fungsi rangkaian hormon yang mengawal pusingan haid seseorang. Oleh itu, keadaan seperti ketidaksuburan dan penyakit ketumbuhan pada rahim serta endometriosis sering berlaku di kalangan wanita moden yang bekerja.
        Tidak ada bukti-bukti yang menunjukkan, bahawa ketumbuhan fibroid ini dipengaruhi oleh unsur-unsur lain seperti makanan, keracunan ataupun jangkitan kuman.

Apakah Gejala-gejala Fibroid?Fibroid mungkin tidak menimbulkan sebarang masalah. Ia hanya tumbuh secara senyap tanpa menimbulkan gejala atau tanda, dan tidak menimbulkan masalah kesihatan pada wanita. Oleh itu, seseorang wanita tidak boleh terus hidup dengan fibroid tanpa menyedarinya, khususnya jika wanita itu tidak pernah berjumpa doktor untuk mendapat pemeriksaan. Oleh kerana tidak semua fibroid menimbulkan masalah, jika ia kecil dan tidak menimbulkan sebarang tanda atau gejala, kadang-kala ia tidak memerlukan rawatan langsung. Perlu saya tekankan di sini, bahawa wanita yang hampir putus haid dan mempunyai ketumbuhan fibroid yang kecil saiznya dan tidak menimbulkan apa-apa tanda, ia tidak perlu dibedah kerana biasanya fibroid yang kecil akan mencerut dengan sendiri ketika seseorang wanita itu putus haid. Seperti yang saya nyatakan di atas, ketumbuhan fibroid adalah dipengaruhi oleh estrogen.  Ketika seseorang wanita itu putus haid paras estrogen akan jatuh ke tahap yang  sangat rendah dan dengan sendirinya rahim akan menguncup dan ketumbuhan fibroid juga akan mencerut.
Gangguan HaidSaya telah nyatakan di atas, bahawa tanda yang paling biasa bagi ketumbuhan fibroid ialah gangguan haid dan di antara gangguan-gangguan yang boleh menjejaskan kesihatan ialah pendarahan yang banyak dan berpanjangan. Keadaan ini boleh menyebabkan kehilangan darah yang begitu banyak dan menyebabkan seseorang wanita itu mengalami kekurangan darah (anemia). Keadaan ini boleh membahayakan kesihatannya.
       
Bagi wanita yang mengalami pendarahan yang banyak dan berketul-ketul pula, eloklah mereka diperiksa dan jika didapati menghidap penyakit fibroid, rawatannya ialah pembedahan. Walau bagaimanapun, gangguan haid jenis ini ialah sakit ketika haid (senggugut) dan juga haid yang tidak teratur dan hanya menitis sedikit-sedikit sahaja, dan tidak tentu waktunya. Setiap wanita, khususnya mereka yang berumur empat puluhan yang mengalami masalah gangguan haid, mestilah mendapatkan pemeriksaan dan rawatan dari doktor, khususnya doktor pakar sakit puan.

Masalah Ketidaksuburan Atau Kemandulan
Fibroid boleh juga menimbulkan masalah ketidaksuburan atau kemandulan di kalangan wanita. Oleh itu, wanita yang lambat berkahwin ataupun setelah beberapa tahun kahwin dan tidak mendapat anak, perlulah mendapatkan pemeriksaan daripada doktor pakar untuk mengesan sama ada dia mengalami masalah ketumbuhan dalam rahim. Tidak semestinya semua wanita yang mengalami ketumbuhan fibroid tidak boleh mengandung kerana ramai juga wanita yang mempunyai fibroid dan masih boleh mengandung.
        Tetapi, di antara masalah-masalah yang boleh timbul akibat ketumbuhan fibroid terhadap kehamilan ialah ketumbuhan itu jika besar boleh menyebabkan keguguran ataupun kelahiran sebelum cukup bulan dan kadang-kala menimbulkan masalah kedudukan bayi yang tidak betul seperti songsang, melintang atau sebagainya.  Adakalanya ia menyekat kelahiran bayi kerana ketumbuhan itu terlalu besar dan tidak membolehkan kepala bayi turun ke rongga punggung. Wanita yang mengandung dengan fibroid kadangkala mengalami kesakitan kerana fibroid ini menjadi tegang dan tertekan. Di samping itu, ia mengalami proses perubahan yang dinamakan degenerasi. Inilah yang menyebabkan kesakitan bagi wanita yang mengandung dengan fibroid pada rahim.

Fibroid Boleh Menekan Pundi-Pundi Air KencingPundi-pundi air kencing terletak sebelah-menyebelah rahim, iaitu pundi-pundi air kencing terletak di hadapan rahim. Oleh itu, jika ada sesuatu ketumbuhan, maka pundi-pundi air kencing akan tertekan. Ketika seseorang wanita hamil, pundi-pundi air kencing juga tertekan menyebabkan berlakunya jangkitan kuman. Akibatnya seseorang wanita itu sering mengalami masalah kencing seperti kerap-kali hendak kencing, tidak boleh menahan kencing dan kadangkala  wanita juga tidak boleh mengawal perkencingan apabila dia batuk dan atau bersin disebabkan tekanan ketumbuhan fibroid ke atas pundi-pundi air kencing. Wanita dalam umur empat puluhan yang mengalami masalah perkencingan eloklah juga diperiksa peranakannya. Kemungkinan ini disebabkan oleh ketumbuhan fibroid.

Fibroid Dan Kekenduran Rahim (Prolaps)
        Fibroid kadangkala menyebabkan prolaps atau kekenduran pada rahim. Bagi wanita yang telah putus haid dan mengalami kekenduran rahim selepas berulang-ulang melahirkan anak, khususnya mereka yang sukar untuk melahirkan anak, perlu dibantu dengan alat seperti forseps atau vakum. Keadaan ini akan menjadi lebih buruk jika ada ketumbuhan fibroid. Dalam hal demikian, rawatan sewajarnya ialah pembedahan.

Apakah Fibroid Perlu Dirawat?Seperti yang saya nyatakan, tidak semua kes fibroid perlu dirawat jika ia tidak menimbulkan sebarang masalah atau gejala, dan jika ketumbuhan itu kecil sahaja. Bagi wanita yang menghampiri umur putus haid (biasanya 50 tahun), fibroid itu akan mencerut dengan sendirinya akibat daripada kehabisan hormon estrogen. Bagi mereka ini, pembedahan atau rawatan untuk fibroid tidak diperlukan.
Setakat ini tidak ada rawatan yang menggunakan ubat yang boleh mencerutkan ketumbuhan fibroid tetapi ada kemungkinan ubat-ubatan tradisional seperti akar kayu atau daun-daun yang kemungkinan mempunyai kesan, khusus terhadap rahim yang boleh mencerutkan ketumbuhan fibroid. Bidang ini masih lagi terbuka luas dan usaha yang boleh mendapatkan ramuan untuk mencerutkan ketumbuhan fibroid, saya percaya kemungkinan akan menjadi satu penemuan yang luar biasa.

Fibroid Dirawat Secara PembedahanRawatan yang khusus bagi fibroid, khususnya yang besar serta menimbulkan masalah seperti gangguan haid, kekurangan darah (anemia), ketidaksuburan, menimbulkan gejala seperti gangguan perkencingan ataupun menyebabkan rahim turun ke bawah (prolaps) ialah pembedahan. Beberapa perkara penting perlu diambi kira sebelum seseorang doktor memilih tentang jenis dan kaedah pembedahan. Perkara yang penting ialah sama ada wanita itu mahu melahirkan anak lagi atau tidak, dan kedua, sama ada dia juga mengalami kekenduran rahim (prolaps) atau tidak.
Bagi wanita yang masih muda dan masih mahu melahirkan anak dan mereka yang mengalami masalah kesuburan, pembedahan biasanya dilakukan melalui perut di mana ketumbuhan fibroid sahaja yang perlu dibuang. Pembedahan ini dinamakan myomektomi. Myoma ialah nama bagi ketumbuhan fibroid. Oleh itu, pembedahan tersebut dinamakan myomektomi. Kadang-kala seesorang wanita itu boleh ditumbuhi beberapa fibroid. Saya pernah membuang lebih 20 ketulan myoma yang saiznya seperti guli kecil sehingga sebesar bola tennis.
        Pembedahan untuk membuang ketumbuhan fibroid atau myomektomi, kadang-kala menimbulkan masalah jangka-panjang di mana fibroid mungkin tumbuh semula dan menimbulkan gejala kesihatan yang akhirnya mungkin memerlukan satu lagi pembedahan di mana rahim dan ketumbuhan tersebut perlu dibuang sekaligus.

Pembedahan Untuk Membuang Rahim (Hysterektomi)
Pembedahan yang mutlak bagi wanita yang menghidap tumbuhan fibroid, khususnya mereka yang tidak bercadang untuk melahirkan anak lagi kerana mungkin mereka telah mempunyai bilangan anak yang cukup ataupun telah menjangkau umur lebih daripada 40 tahun dan ketumbuhan ini menimbulkan berbagai-bagai masalah kesihatan, ialah pembedahan hysterektomi. Pembedahan ini dianggap sebagai satu pembedahan besar dan biasanya seseorang itu perlu tinggal di hospital selama seminggu. Pembedahan ini memerlukan lebih kurang sebulan setengah untuk pulih kepada keadaan sediakala.

Ramai juga wanita yang tidak begitu gemar menjalani pembedahan hyisterektomi kerana ini akan menyebabkan dia kehilangan rahim, iaitu lambang kewanitaan mereka. Tanpa rahim, haid tidak lagi keluar. Sebenarnya, seseorang wanita yang menghidap penyakit dalam rahim dan tidak mahu melahirkan anak, dia tidak lagi perlu memikirkan, bahawa rahim tersebut sebagai lambang kewanitaannya dan untuk mengekalkan kejelitaannya. Rahim hanyalah berfungsi untuk menaungi dan melindungi janin dalam kandungan. Rahim bukan satu organ yang melambangkan kejelitaan wanita dan  ia juga tidak penting bagi menentukan hubunga seksual yang memuaskan. Sebenarnya haid bukan satu lambang kewanitaan, tetapi haid itu sebenarnya merupakan tanda bahawa seseorang itu tidak mengandung. Jika seseorang wanita itu mengandung maka haidnya akan berhenti.

Kejelitaan Dipengaruhi oleh Hormon

Kejelitaan dan fungsi seksual lebih dipengaruhi oleh hormon estrogen yang dikeluarkan oleh kilang ovari. Biasanya, dalam pembedahan hysterektomi, kedua-dua kilang ovari akan dikekalkan walaupun wanita itu telah melebihi umur 40 tahun kerana kilang  ini penting bagi mengekalkan kejelitaan, sifat-sifat kewanitaan dan juga melindungi kesihatan wanita tersebut. Hubungan seksual antara suami isteri selepas hysterektomi biasanya tidak akan terjejas, malahan akan menjadi lebih baik kerana tidak diancam dengan pendarahan yang tidak teratur serta berpanjangan. 

Wanita itu akan menghadapi hidup yang lebih selesa tanpa haid yang luar biasa mengganggunya, dan dia boleh menumpukan lebih masa untuk beramal ibadah tanpa ada sekatan untuk bersembahyang atau berpuasa kerana haid tidak akan datang lagi dan hubungan seksual boleh dilakukan pada bila-bila  masa. Keadaan kesihatan akan menjadi lebih baik kerana kehilangan darah tidak akan  berlaku lagi. Pada keseluruhannya, wanita itu akan menjadi lebih sihat dan sejahtera selepas pembedahan hysterektomi.
Ketumbuhan fibroid yang wujud bersama dengan prolaps atau kekenduran rahim, biasanya dirawat dengan pembedahan melalui saluran faraj. Ini bermakna tidak ada parut akan wujud di bahagian kulit perutnya, sebaliknya kesemua pembedahan akan dilakukan menerusi saluran faraj. 

Di samping itu, kekenduran pada saluran faraj dapat diperbaiki dengan memperkukuhkan otot-otot yang menyokong lantai punggung dan saluran peranakan. Kaedah pembedahan ini dinamakan vaginal hysterectomy dan repair. Wanita akan menjadi lebih selesa dalam hubungan seksual mereka selepas pembedahan ini kerana jika ada kelonggaran berlaku pada saluran faraj, kesemuanya akan dapat diatasi dengan pembedahan untuk membetulkan saluran. Di samping itu, otot-otot di sekeliling rahim akan menjadi lebih kukuh lagi.
    
Akhir kata, saya ingin menekan sekali lagi, bahawa fibroid adalah ketumbuhan yang paling sering berlaku di dalam rahim wanita tetapi puncanya tidak diketahui. Ia bukan ketumbuhan kanser dan jarang menyebabkan kematian tetapi ia boleh menimbulkan beberapa gejala termasuk gangguan haid, kekurangan darah, ketidaksuburan, gangguan perkencingan dan sebagainya. 

 Setakat ini tidak ada ubat yang boleh mencerutkan ketumbuhan ini. Rawatan yang mutlak baginya ialah pembedahan untuk membuang ketumbuhan tersebut sama ada ketumbuhan itu disertai dengan pembuangan rahim atau hanya pembuangan ketumbuhan sahaja. Umur empat puluhan ialah tahap umur yang sering diserang dengan masalah ketumbuhan fibroid.
Oleh itu, saya ingin menyeru sekali lagi supaya wanita perlu bertemu dengan doktor pakar sakit puan untuk dapat pemeriksaan, khususnya mereka yang mempunyai masalah yang saya nyatakan di atas.


Apa Itu Fibroid?

Fibroid adalah ketumbuhan biasa atau benign (bukan kanser) yang terdapat di dalam uterus/rahim wanita yang berusia sekitar 30 hingga 40-an.

Ia merupakan salah satu ketumbuhan yang biasa terjadi kepada wanita semasa tahun-tahun kesuburan mereka.

Biarpun begitu ia boleh tumbuh di lain-lain organ yang mengandungi sel-sel otot licin. Fibroid adalah tumor pejal yang terjadi daripada tisu-tisu fiber di mana dari situlah ia mendapat namanya.

Lazimnya, fibroid tercetus sebagai ketumbuhan dan membesar secara perlahan-lahan, selalunya tanpa simptom.

Malah kedudukan fibroid yang boleh menyebabkan kemandulan ini, telah mencetuskan kontroversi.
Kenapa? Ketumbuhan ini merupakan penyebab utama bagi pembedahan histerektomi iaitu pembedahan mengeluarkan fibroid dan rahim.

* Tidak pernah mengandung

Dr. Salleh berkata, lazimnya mereka yang tidak pernah mengandung, gemuk, berkulit hitam, mempunyai risiko untuk mendapat fibroid.


“Bagaimanapun tiada sebab-sebab tertentu seseorang itu boleh mendapat fibroid. Hanya sekitar 25 peratus sahaja pesakit fibroid yang mengalami simptom-simptom.

“Ini termasuklah mereka yang mengalami pendarahan haid yang banyak, sakit sewaktu hubungan kelamin, kemandulan mahupun masalah dubur yang disebabkan oleh tekanan akibat daripada ketumbuhan fibroid ini,” jelas beliau.

Bagi wanita mengandung pula, fibroid boleh menyebabkan komplikasi termasuk keguguran, sakit bersalin sebelum waktunya dan kesakitan akibat daripada infarksi yang berpunca daripada kekurangan bekalan darah atau menyebabkan kedudukan bayi tidak normal dan terpaksa menjalani pembedahan Caesarean semasa bersalin.

Biarpun amat jarang berlaku, fibroid boleh berubah keadaannya dengan menjadi malignan, apabila ia cukup besar mahupun membesar dengan cepatnya.

* Diagnosis

Lazimnya, diagnosis dilakukan dengan mengambil kira sejarah simptom-simptom seperti yang dijelaskan di atas, atau secara kebetulan apabila pesakit menjalani pemeriksaan faraj yang berkala seperti ujian pap smear.

“Bagi sesetengah wanita yang menjalani pemeriksaan kemandulan, fibroid boleh dilihat sewaktu menjalani imbasan ultrasound.

Imbasan ultrasound adalah sangat penting memandangkan ia juga boleh membezakan di antara sis dan lain-lain tumor pelvik,” kata Dr. Salleh.

Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) di mana magnet-magnet berkuasa tinggi digunakan untuk melihat struktur tisu-tisu juga berguna walaupun ia adalah mahal.

Ia bermanfaat bagi membezakan di antara fibroid dengan adenomiosis iaitu satu keadaan yang berkaitan dengan endometriosis dan agak sukar untuk dirawat.

Katanya: “Malah, ada yang datang berjumpa doktor setelah mendapati abdomen mereka semakin lama semakin membesar seperti mengandung. Selepas pemeriksaan dilakukan barulah diketahui wanita ini mengalami fibroid.”

* Jenis-jenis fibroid

Lokasi fibroid sering mempengaruhi tanda-tanda yang dialami dan pada sesetengah kes, rawatannya.

- Fibroid submukus terdapat di bawah lapisan uterus dan boleh menyebabkan masalah haid termasuk kesakitan apabila ia membesar.

- Fibroid intramural adalah fibroid bulat yang terdapat di dalam dinding uterus yang boleh menyebabkan pembesaran uterus.

- Fibroid subserous tumbuh di luar dinding uterus dan selalunya tidak menyebabkan sebarang tanda-tanda sehinggalah ia membesar dan mengganggu organ-organ lain.

- Fibroid pedunkel berbentuk gagang tercetus apabila fibroid subserous mengeluarkan tangkai atau pedunkel, membesar serta membengkok dan menyebabkan kesakitan yang amat sangat.

- Fibroid submukus dan intramural lebih banyak mengundang kesakitan semasa haid dan mendatangkan masalah seperti keguguran. Sementara itu, subserous dan pedunkel pula boleh menyebabkan masalah kemampatan dan kesakitan terutamanya semasa kehamilan.

- Fibroid interliganmentous tumbuh di sisi di antara ligamen yang menyokong uterus di dalam abdomen dan adalah sukar untuk mengeluarkannya yang berkemungkinan menjejaskan bekalan darah.

- Fibroid parasitik, paling jarang berlaku di mana fibroid melekat pada organ lain.

* Waktu sesuai merawat fibroid

“Fibroid perlu dirawat sekiranya ia mula menunjukkan tanda-tanda seperti yang dijelaskan tadi.
“Ia juga difikirkan sesuai, bagi sesetengah kes apabila seseorang wanita ingin hamil dan pandangan perubatan berbelah bahagi sama ada fibroid perlu dirawat atau mencari peluang mengandung,” kata Dr. Salleh.

Kadangkala, haid yang terlalu banyak boleh menyebabkan seseorang wanita itu mendapat anemia.
Pun begitu, katanya, kebanyakan doktor bersetuju biarpun tiada simptom-simptom, fibroid pedunkel agak jarang mencetuskan masalah besar bagi wanita hamil.
Bagaimanapun bagi fibroid submukus, ia berkemungkinan menyebabkan wanita lambat hamil serta mengakibatkan wanita hamil mengalami keguguran.
Keputusan untuk merawat atau tidak sebenarnya bergantung kepada usia wanita itu sendiri, saiz fibroid, pernah keguguran dan sama ada rahim menjadi herot kerana kewujudan fibroid itu.
Dr. Salleh menambah, usia adalah faktor penting kerana fibroid akan membesar di bawah pengaruh estrogen dan fibroid juga mudah dikeluarkan di kalangan wanita muda dan ketika fibroid masih kecil lagi.
Bagi wanita yang berusia, mereka perlu berjaga-jaga apabila membuat keputusan untuk melengahkan pembedahan.
“Bagaimanapun, wanita yang telah menjalani pembedahan mengeluarkan fibroid perlu mengambil masa sebelum mengandung. Pakar akan menasihati masa yang sesuai mengikut keadaan pesakit,” ujarnya lagi.
* Rawatan fibroid
Rawatan fibroid bergantung kepada saiz dan kedudukan fibroid itu.
- Rawatan hormon; terapi hormon sangat berguna kepada wanita yang hampir menopaus dan bercadang untuk mengelak pembedahan. Bagaimanapun terapi ini tidak banyak memberi manfaat kepada wanita yang bercadang untuk hamil.
- Reseksi histeroskopi; lazimnya dilakukan ke atas fibroid submukus asalkan fibroid itu berukuran kurang daripada l0 sentimeter garis pusat. Beberapa proses dilakukan sebelum pembedahan dapat dilakukan.
Pembedahan membuang fibroid ini menggunakan sejenis alat berupa wayar khas bersama histeroskop yang dimasukkan ke dalam uterus melalui serviks/pangkal rahim.
- Pembedahan laparoskopi atau miomektomi laparoskopi pula adalah pembedahan bagi mengeluarkan fibroid.
Intramural dan subserous boleh dikeluarkan melalui pembedahan ini melalui dua insisi/pemotongan 10 milimeter panjang, satu di bahagian pusat dan satu lagi di garisan abdomen.
Hanya segelintir sahaja pakar yang mengambil pilihan ini kerana ia mengambil masa yang lama dan cukup mencabar.
- Miomektomi terbuka, pembedahan konvensional yang dilakukan melalui insisi di bahagian bawah, memanjang atau menegak di bahagian garisan bikini (antara ari-ari dan abdomen). Otot-otot uterus dibedah dan fibroid dikeluarkan.
Doktor biasanya akan mengesyorkan wanita yang hamil selepas pembedahan ini untuk menjalani pembedahan Caesarean apabila sampai masanya untuk bersalin.
- Histerektomi bergantung kepada usia, bilangan anak, masalah kesihatan wanita serta lain-lain faktor.
Wanita yang menjalani histerektomi tidak akan mempunyai haid lagi kerana rahimnya sudah dikeluarkan sekali bersama fibroid.

* Nasihat pakar
Dr. Salleh menegaskan, bagi wanita yang menopaus, mereka perlu mendapat rawatan sekiranya mengalami tanda-tanda menopaus yang teruk.
Dalam hal ini, suami perlu memberi sokongan yang sewajarnya untuk isteri dalam meneruskan kehidupan seharian termasuk dalam hubungan suami isteri.

Beliau juga menekankan, wanita perlu menjalani ujian pap smear secara berkala untuk mengesan kanser servik dan fibroid. Fibroid yang aktif dan cepat membesar juga berbahaya bagi wanita.

Wanita yang melalui pembedahan perlu mengamalkan gaya hidup sihat, pemakanan yang ideal serta melakukan senaman yang bersesuaian apabila mereka sudah pulih sepenuhnya. Jumpalah doktor untuk nasihat selanjutnya.

Sumber:Utusan Malaysia

Fibroid hadir tanpa gejala


SALAM. Saya kini berumur 35 tahun dan baru mempunyai dua orang anak. Saya merancang untuk mengandung lagi. Baru-baru ini saya terbaca tentang tanda-tanda penyakit fibroid yang hampir sama dengan apa yang saya alami. Saya sering membuang air kecil dan sakit ketika melakukan hubungan seks. Bolehkah doktor jelaskan lebih lanjut tentang masalah fibroid. Adakah ia mengganggu kesuburan seorang wanita? Apakah tanda-tanda dan rawatan penyakit ini? 

Su, Perak.

JAWAPAN:

Fibroid adalah salah satu jenis penyakit yang berkaitan dengan rahim. Kebiasaannya, fibroid terjadi kepada wanita yang berusia sekitar 30-an hingga 40-an, iaitu dalam lingkungan usia subur (peringkat reproduktif) dan akan kembali mengecut (mengecil) apabila seseorang wanita itu sudah mengalami menopaus atau putus haid.

Kebanyakan wanita yang mengalami fibroid tidak mempunyai gejala atau tanda-tanda. Hanya 20 hingga 30 peratus sahaja yang mungkin menunjukkan gejala yang dihadapi bergantung pada saiz, lokasi dan bilangan fibroid.

Antara gejala yang sering dialami oleh penghidap fibroid adalah perubahan haid yang banyak, sakit semasa hubungan seks, mungkin kerap membuang air kecil dan juga air besar, pembesaran dalam rahim dan perut, keguguran dan infertiliti.

 Ini adalah kerana fibroid yang membesar kebiasaannya akan memberikan tekanan pada organ yang berada di sekitar rahim (uterus), iaitu pundi kencing dan hujung usus (rektum).

Akibatnya, seseorang wanita akan mengalami masalah kencing seperti kerap kali hendak kencing, sering kali tidak dapat mengawal kencing atau kadang-kadang sukar untuk kencing.

Bertakung

Jika hal ini berterusan, air kencing akan bertakung di dalam pundi kencing dan akan menyebabkan seseorang wanita itu berisiko mendapat jangkitan kuman pada pundi kencing. Apabila ini berlaku, wanita itu akan berasa pedih atau sakit ketika kencing. Apabila fibroid menekan pada usus pula, ia akan menyebabkan simptom seperti sembelit atau sukar untuk membuang air besar.

Ada fibroid yang mencetuskan gejala dan ada juga yang berlaku tanpa sebarang gejala. Gejala wanita mengalami fibroid adalah berdasarkan lokasi fibroid itu sendiri. Lokasi fibroid akan memberikan gejala kepada penghidapnya dan sering mempengaruhi gejala yang dialami oleh seseorang itu dan sesetengah kes, rawatannya berbeza-beza.

 Ada sesetengah pesakit yang menghidap fibroid mengalami perdarahan yang berlebihan dan berpanjangan setiap kali mereka mengalami haid dan kadangkala mereka juga mungkin mengalami masalah ketidaksuburan atau infertiliti.

Punca Fibroid

Punca Fibroid antara punca infertiliti dalam kalangan kaum wanita. Saya akur bahawa perkataan infertiliti sudah cukup untuk menyalakan api ketakutan bagi pasangan suami isteri yang mengimpikan cahaya mata lebih-lebih lagi bagi mereka yang belum mempunyai anak.

 Begitu jugalah masalah fibroid dalam kalangan kaum wanita, ia pasti akan menimbulkan seribu kerisauan dalam hati mereka. Akan tetapi, harus diingatkan tidak semua wanita yang menghidap fibroid akan mengalami masalah infertiliti.

 Jika berlaku, maklumat dan pengetahuan mengenai permasalahan tersebut dan cara rawatan perlu dicari. Seterusnya, penghidap hendaklah berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan nasihat, menjalani pemeriksaan dan berbincang tentang perawatan yang dapat ditawarkan.

Tidak semestinya semua wanita yang mengalami ketumbuhan fibroid tidak boleh mengandung kerana ramai juga wanita yang mempunyai fibroid, masih boleh mengandung. Lebih kurang lima peratus daripada penghidap fibroid terutamanya fibroid jenis submukosa atau fibroid yang besar mempunyai kesukaran untuk mengandung kerana kehadiran fibroid akan mengubah dinding rahim dan menyebabkan sukar untuk penempelan janin pada dinding rahim.

Sukar

Sekiranya fibroid itu terlalu besar, ia juga akan menyebabkan salur Fallopio tersumbat sehingga seseorang itu sukar untuk hamil. Kadang kala ia juga boleh menimbulkan masalah kedudukan bayi yang tidak normal seperti songsang, melintang atau sebagainya. Adakalanya fibroid menyekat kelahiran bayi kerana pertumbuhannya terlalu besar dan tidak membolehkan kepala bayi turun ke rongga pelvik.

Tidak semua wanita mengalami gejala seperti disebutkan itu. Fibroid yang kecil tidak memberikan sebarang gejala dan tidak memerlukan sebarang rawatan. Akan tetapi, jika seorang wanita mempunyai salah satu gejala yang telah disebutkan itu, tidak semestinya dia menghidap fibroid. Saya nasihatkan supaya Puan Su berjumpa doktor dan menjalani pemeriksaan.

Sumber; Utusan Malaysia


6 comments:

insan_marhaen said...

akak pun ada share kat blog artikel tentang penyakit ni..ngeri tengok ketulan fibroid yg dah dikeluarkan..

ummu said...

fibroid ni setengah orang tak sakit dan tak sedar pun kak kak

Zima Yusoff said...

Hi.. saya terjumpa artikel ni. Sgt menarik, saya diagnos ada 10 ketulan fibroid dan skang tak pasti apa perlu dibuat. Umur saya 39 tahun dan bercadang utk berkahwin dan zuriat.

Dari kisah sis pernah lalui surgery dgn 20 ketulan fibroid kan. Boleh share skit info dgn saya (zima.yusoff77@gmail.com)

ummu said...

salam sis Zima
Sis dah jumpa doktor pakar sakit puan?
saya merujuk kes saya kepada Prof Hamid
selain ke General Hospital

saya pernah operation,sis.
ketumbuhan agak besar di sebelah ovari dan dibuang.
selepas itu, saya mengambil supplement
perahan biji anggur

kawan saya juga telah menjalani membuang ovari.
alhamdulillah dengans ebelah ovari,kawan saya
dapat mengandung dan mempunyai zuriat sendiri...sepaasang..

Zima Yusoff said...

Salam ummu,

Ye saya dah bjumpa Gynea, dinasihatkan surgery utk buang semua ketulan fibroids, next checkup bln depan. Tetapi risiko agak tinggi sekiranya berlaku pendarahan teruk, ovari perlu dibuang.

Saya pun sedang ambil suplement, cuba untuk mencegah kesan lebih teruk.
Nak tnye Ummu, Prof Hamid ke yg buat operation buat 20 ketulan tu?

Thanks

ummu said...

salam pn Zima Yusoff
maaf saya baru buka blog saya petang ni.
berkaitan 20 ketulan tu,boleh rujuk website prof.
saya cuma copy paste artikel prof untuk mudahkan saya buat rujukan.

pengalaman saya dulu, saya selalu kirim doa kepada sesiapa yng pergi umrah
agar saya sembuh.

selain supplement,saya juga pergi mendapatkan nasihat prof.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

...Jurnal Kehidupan... Template by Ipietoon Cute Blog Design