Photobucket

Welcome

Assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Followers


Monday, September 03, 2012

Suami Isteri Itu Saling Melengkapi

Suami Isteri Itu Saling Melengkapi



Indahnya Islam Pada Akhlak Rasululluah. Ingatlah akan sabda Rasululluah SAW:

Dalam sebuah  hadis lain, Rasullullah juga dilaporkan sebagai berkata yang bermaksud, 
 "Seorang mukmin yang imannya paling sempurna adalah yang akhlaknya paling baik. Dan sebaik-baik kamu adalah yang baik terhadap isterinya."


 Dalam hadis yang lain pula, Rasullullah bersabda maksudnya, "Dunia adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan adalah isteri yang solehah."

Pernikahan merupakan satu syariat dan rahmat daripada Allah s.w.t. kepada manusia. Melaluinya akan terjalin perasaan kasih sayang antara lelaki dan perempuan. Sesungguhnya perkahwinan adalah fitrah semula jadi manusia yang memerlukan teman bagi perkongsian hidup di dunia ini

Justeru bagi pasangan yang berumah tangga, peliharalah masjid yang dibina dengan sebaiknya iaitu mengikut saranan agama dan mencontohi rumah tangga Rasulullah s.a.w. Nikah adalah sunah Rasulullah s.a.w. kepada seluruh umat baginda. 

Walaupun umat Islam berlumba-lumba untuk mengerjakan kebaikan seperti bersedekah, membuat kebajikan dan mengambil berat kepada orang lain, tetapi sebahagian daripada kita alpa untuk mengerjakan kebaikan kepada orang yang hampir dengan kita.
Sebenarnya Rasulullah SAW lebih mengutamakan melakukan kebaikan kepada orang yang hampir kepada kita seperti keluarga, sanak saudara, jiran tetangga dan mereka yang berada di sekeliling kita.
Perkara ini dapat dilihat daripada beberapa potong hadis Rasulullah yang menerangkan peri pentingnya memperlakukan isteri dengan sebaik-baiknya.
Umpamanya, Rasullullah diriwayatkan bersabda kepada kaum lelaki yang bermaksud, 
 
 "Ingatlah, terimalah wasiatku, pergaulilah wanita (isteri) dengan baik kerana sesungguhnya mereka adalah tanggungjawab di tangan kamu. Kalian tidak mempunyai apa-apa hak daripada mereka kecuali perkara itu melainkan jika mereka melakukan perbuatan yang menyimpang dan keji. Apabila mereka melakukan perkara tersebut, maka janganlah tidur bersama mereka dan pukullah mereka dengan pukulan yang tidak menyakitkan. Jika mereka patuh kepada kamu maka janganlah kalian mencari jalan menyakiti mereka. Ingatlah, sesungguhnya kamu mempunyai hak atas isteri-isteri kamu dan mereka mempunyai hak ke atas kamu. Adapun hak kalian ke atas isteri-isteri kalian adalah tidak mengajak orang yang kamu benci tidur di atas ranjang kalian dan tidak pula mengajak orang yang kamu benci masuk ke dalam rumah kamu. Dan hak isteri-isteri kamu ke atas kamu adalah memberikan pakaian dan makanan kepada mereka dengan baik."
 
Sabda Rasulullah di atas, jelas memberi panduan kepada kita tatacara bagaimana pergaulan antara suami isteri harus dilakukan. Ia juga menitikberatkan hak dan tanggungjawab bersama. Malah tanggungjawab mendidik isteri yang terletak di bahu suami juga diperincikan sehingga dalam keadaan isteri melakukan perkara yang menyimpang dan keji pun telah diberikan garis panduan bagaimana menanganinya.
Oleh yang demikian, melayani isteri dengan cara yang terbaik amatlah dituntut dalam Islam. Wanita dijadikan oleh Allah dari tulang rusuk kiri lelaki yang mempunyai signifikan yang amat besar. Tulang rusuk itu sebenar terlalu hampir dengan hati.
Oleh itu, wanita hendaklah sentiasa berada di hati lelaki (suami). Wanita tidak dijadikan dari kepala untuk dijunjung atau dipuja oleh lelaki, mereka juga tidak dijadikan dari kaki untuk dipijak atau dihina oleh lelaki. Inilah kedudukan istimewa wanita yang telah dinobatkan oleh Islam. Tulang rusuk yang bengkok itu pula perlu diluruskan dengan penuh hati-hati dan hikmah agar ia tidak patah semasa diluruskan.
 Oleh itu, setiap pasangan harus menyedari bahawa perkahwinan bukanlah bertujuan memenuhi tuntutan naluri seksual semata-mata. Sebaliknya perkahwinan adalah satu perkongsian hidup antara dua insan lelaki dan perempuan. Kedua-dua pihak mestilah sedia berkongsi dalam apa jua hal, sama ada kasih sayang, tanggungjawab, peranan dan sebagainya.

Justeru itu, tidak wujud istilah lelaki atau wanita kolot yang diperkatakan dewasa ini jika amalan perkongsian dipraktikkan. Jika isteri sanggup berkongsi membantu suami menambahkan sumber pendapatan keluarga, maka suami pula mestilah ringan tulang membantu isteri di rumah seperti memasak, membasuh dan sebagainya.

Sebenarnya nilai kesefahaman dan kerjasama suami isteri sangat penting dalam membina rumah tangga yang rukun dan tenteram. Setiap pasangan sama ada lelaki atau perempuan mestilah menerima pasangan masing-masing dengan seadanya. Ini kerana setiap individu ada kekurangan dan ia boleh diatasi dengan kelebihan pasangannya. Kesimpulannya soal jodoh pertemuan adalah ketentuan Allah s.w.t., tetapi manusia dikurniakan akal dan kudrat untuk merancang kehidupan masing-masing.

Apa yang pasti kebahagiaan rumah tangga bermula daripada pemilihan bakal suami atau bakal isteri mengikut saranan agama. Manakala rumah tangga yang bahagia terletak kepada semangat perkongsian dan musyawarah antara suami isteri serta menerima pasangan masing-masing seadanya.
Dalam hadis lain, Rasullullah juga dilaporkan sebagai berkata yang bermaksud, "Seorang mukmin yang imannya paling sempurna adalah yang akhlaknya paling baik. Dan sebaik-baik kamu adalah yang baik terhadap isterinya." Dalam hadis yang lain pula, Rasullullah bersabda maksudnya, "Dunia adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan adalah isteri yang solehah."
Jelaslah daripada dua hadis di atas, ketinggian kedudukan isteri di samping suami. Hakikat ini perlulah disedari oleh golongan suami. Ini adalah kerana sebahagian suami yang mengambil mudah peranan isteri dan menganggap isteri perlu patuh kepada segala kehendak suami tanpa mengambil kira perasaan dan kehendak isteri itu sendiri.
Memanglah kuasa ketua keluarga itu diberikan kepada para suami namun kuasa tersebut hendaklah ditadbirkan dengan adil dengan mengambil kira kemampuan, kesusahan dan juga kehendak isteri.
Jika kuasa ini tidak dijalankan dengan sempurna sudah tentu ia akan mengundang polemik antara suami isteri tersebut dan suami yang tidak menjalankan kuasa dengan sempurna, sudah tentu akan dipertanggungjawabkan atas kegagalannya itu. Kuasa tersebut sebenarnya bukanlah suatu keistimewaan tetapi lebih kepada tanggungjawab yang hendaklah digalas dengan sempurna.

0 comments:


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

...Jurnal Kehidupan... Template by Ipietoon Cute Blog Design