Photobucket

Welcome

Assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Followers


Wednesday, February 22, 2012

Koperasi Permodalan Felda, Nasib 112,635 peneroka esok

Nasib 112,635 peneroka ditentukan esok


KUALA LUMPUR:21/2/2012, Esok, 1,200 perwakilan Koperasi Permodalan Felda (KPF) akan menentukan masa depan nasib 112,635 warga peneroka dan hala tuju agensi itu sebagai sebuah organisasi perladangan terbesar dunia, dalam mesyuarat agung perwakilan khas KPF.

Mesyuarat itu yang diadakan di Dewan Perdana FELDA, Jalan Maktab di sini, akan memperlihatkan perwakilan mengundi bagi meluluskan usul cadangan pelupusan pegangan 51 peratus milik KPF dalam FELDA Holdings Bhd, termasuk 10 anak syarikatnya kepada Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGVH).

Tujuan penjualan itu bagi membolehkan pemindahan aset perniagaan milik KPF kepada FGVH yang akan berfungsi sebagai entiti rasmi dalam organisasi perladangan itu menguruskan hal ehwal perniagaan.

Sebagai timbal balas, KPF yang mana 80 peratus ahlinya adalah warga FELDA, akan diberi hak eksklusif sebagai pemegang saham terbesar iaitu 37 peratus dalam FGVH apabila ia disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada Mei nanti.

KPF kini memiliki 51 peratus pegangan dalam Felda Holdings, manakala baki 49 peratus lagi dimiliki FGVH, yang juga anak syarikat milik penuh FELDA.


Pemerhati pasaran berkata, penyenaraian FGVH adalah program transformasi untuk membawa perubahan strategik kepada perniagaan kumpulan FELDA ke tahap lebih tinggi bagi merealisasikan potensinya dalam mengkomersialkan hasil perladangan dalam aktiviti huluan dan hiliran di dalam dan luar negara.

Malah, katanya, penyenaraian FGVH bakal meletakkan sumber perladangan negara di peta dunia.
“Justeru, jika perwakilan membuat undian positif, maka sudah tentu masa depan peneroka akan terjamin berikutan hasil dividen dan saham yang dimiliki mereka dalam FGVH melalui KPF, dan jika mereka menolak, sudah pasti nasib peneroka tidak akan berubah,” katanya.

Bagi FGVH pula, pemerhati pasaran itu berpendapat cadangan penyenaraian syarikat berkenaan tetap diteruskan kerana ia tidak memerlukan sebarang persetujuan daripada peneroka mahupun KPF berikutan ia dimiliki sepenuhnya oleh FELDA.


Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan, meminta ahli KPF berfikiran secara terbuka dan mengambil kira kepentingan jangka panjang kerana mereka boleh dianggap sebagai menolak tuah jika membantah usul cadangan penjualan 51 peratus saham milik KPF kepada FGVH.

“Andai mereka menolak cadangan (pelupusan) itu, boleh dikatakan mereka menolak tuah kerana saham majoriti yang sepatutnya diperuntukkan kepada KPF, bakal ditawarkan kepada agensi lain seperti Tabung Haji atau Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau kerajaan negeri yang berminat.

“Ini adalah tawaran yang menjanjikan pulangan besar kepada mereka untuk jangka panjang. Saya harap dan yakin 1,200 perwakilan ke mesyuarat agung khas ini akan meluluskan usul berkenaan,” katanya.

Ahmad Maslan berkata, perwakilan perlu memikirkan tiga faktor utama mengapa mereka perlu menerima usul itu, iaitu memastikan kelangsungan dividen tinggi, memastikan penguasaan penuh kepentingan peneroka dalam FGVH, selain ahli KPF dijamin tidak akan mengalami kerugian.

0 comments:


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

...Jurnal Kehidupan... Template by Ipietoon Cute Blog Design