RAMAI terkejut apabila dilaporkan bahawa nilai harta pusaka umat Islam di negara ini terpaksa dibekukan sejak sekian lama, dianggar mencecah RM42 bilion iaitu suatu jumlah cukup besar sekiranya ia dapat dimanfaatkan sepenuhnya dalam pembangunan umat Islam di negara ini.
Peninggalan harta si mati yang terpaksa dibekukan ini adalah kerana ketiadaan penuntut yang berhak atau waris yang layak dan sah berikutan kegagalan diselesaikan pewaris apabila berlaku kematian di samping masalah teknikal dan birokrasi melibatkan undang-undang serta pewarisan.
Isu ini saban tahun dibangkitkan dan jumlah harta dibeku berkenaan semakin bertambah dari semasa ke semasa serta nilainya juga terus meningkat.
Masalah yang kian serius dan kronik ini berlaku ekoran faktor penyumbang yang antaranya ialah ketiadaan penyediaan wasiat yang sebenarnya merupakan satu instrumen pengurusan dan pentadbiran harta dalam Islam yang kurang difahami, dihayati serta gagal direalisasikan oleh umat Islam hari ini membabitkan harta benda.
Ini kemungkinan besar kurangnya kesedaran terhadap penulisan wasiat ketika masih hidup serta sikap sambil lewa sebahagian besar masyarakat Islam terhadap pengurusan harta kekayaan mereka dan kadangkala isu wasiat juga menjadi topik yang cukup sensitif bagi sesetengah orang kerana ia berkait rapat dengan kematian, keretakan institusi kekeluargaan dan perebutan harta di kalangan saudara mara.
Secara umum, harta yang hendak diwasiatkan oleh seseorang mesti tidak melebihi satu pertiga (1/3) daripada harta pusaka bersih kecuali mendapat persetujuan daripada ahli waris di mana penerima wasiat mesti bukan waris iaitu mereka yang tiada hak faraid ke atas pusaka si mati kecuali mendapat persetujuan daripada ahli waris lain.
Selepas kematian si mati atau pewasiat, perkara pertama yang perlu dilakukan ialah ditolak dulu kos perbelanjaan pengebumian dan pembayaran hutang si mati. Wasiat juga boleh ditarik balik pada bila-bila masa kerana ia hanya berkuat kuasa selepas kematian pewasiat dan wasiat tersebut perlu dibuat dalam keadaan secara sukarela.
Oleh itu, perlu diingatkan bahawa harta yang dibekukan dan tidak berupaya digunakan adalah sangat tidak ekonomik serta merugikan semua pihak. Ini kerana harta yang dibekukan berkenaan tidak dapat dimanfaatkan untuk pembangunan dan kemaslahatan ummah di negara ini seperti harta wakaf.
Keadaan yang berlaku ini melibatkan sejumlah besar harta dibekukan juga membuktikan umat Islam di negara ini sememangnya mempunyai aset yang kukuh untuk dilaburkan, tetapi malangnya terpaksa dibekukan kerana masalah kes tuntutan dan pewarisan yang gagal diselesaikan dengan sempurna.
Menurut Amanah Raya Bhd (ARB), anggaran itu meliputi kira-kira sejuta kes di negara ini dan kajian ARB juga mendapati hanya dua peratus rakyat Malaysia menulis wasiat yang membolehkan segala maklumat harta mereka didaftarkan, sekali gus memudahkan urusan pembahagian apabila berlaku kematian.
Perlu difahami, Islam telah menyediakan platform terbaik untuk mengurus dan mentadbir harta secara lebih bijaksana dan efektif, namun ruang dan peluang ini tidak digunakan sepenuhnya oleh umat Islam masa kini.
Oleh itu, sekiranya umat Islam masih memandang remeh berkenaan penyediaan wasiat ke atas harta di bawah milikan dan kawalan mereka, sudah tentu nilaian aset tidak dituntut umat Islam akan terus bertambah dan dibekukan pada masa depan.
Kelalaian ini amat tidak ekonomik, merugikan negara dan ummah. Seharusnya aset bernilai ini ditadbir dan diurus sebaik mungkin agar ia bermanfaat kepada pihak yang memerlukan ataupun boleh disalurkan terus ke arah perkembangan dan kemajuan Islam di Malaysia.
Di samping itu, terdapat beberapa kelebihan sekiranya kita membuat persediaan awal menyediakan wasiat sebagai suatu proses pengurusan dan pentadbiran aset di bawah kawalan dan milikan kita. Ini kerana ia dapat diselenggarakan dengan baik, efisien dan profesional dengan kos minima.
Wasiat kita dapat diurus dan ditadbir oleh orang yang bertauliah seperti peguam dan ejen wasiat yang mempunyai kelayakan dalam mengendalikan segala urusan berkenaan wasiat merangkumi aspek dokumentasi, penyimpanan, pengurusan, pemeliharaan dan sehingga kepada urusan pelaksanaan wasiat itu sekiranya berlaku kematian.
Proses tuntutan harta pusaka juga menjadi lebih cepat, mudah dan lancar dengan adanya wasiat yang sah dan ini sudah tentu dapat mengelakkan berlakunya pergaduhan, perselisihan dan perebutan harta di kalangan waris yang berhak di kemudian hari.
Kebiasaannya aset yang dilaporkan terpaksa dibekukan ekoran tidak dituntut pewaris yang berhak meliputi wang simpanan di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), simpanan di koperasi dan bank, kenderaan, hartanah seperti rumah dan bangunan, simpanan unit amanah, insurans dan takaful, pelaburan saham syarikat, saham amanah, harta intelektual, royalti dan banyak lagi.
Sekiranya keadaan ini tidak diberi perhatian sewajarnya, ia akan memberi impak negatif kepada perkembangan ekonomi negara kerana aset tersebut beku dan tidak dapat dimajukan.
Oleh yang demikian, langkah drastik perlu dilakukan bagi menerapkan kepentingan berwasiat dan semua pihak hendaklah peka mentadbir serta mengurus harta mereka melalui pembudayaan penulisan dan penyediaan wasiat di kalangan masyarakat secara menyeluruh.
Penulis seorang peguam,
Oleh Mohamad Sofee Razak
Sumber : Harian Metro
0 comments:
Post a Comment