Subhanallah,walaupun lelaki ini OKU Pendengaran,
namun hatinya tidak tuli dari mendengar taufik hidayah Allah.
Ketabahannya harus kita contohi,kan.
Guru tolong cari jodoh
Wartawan Metro, Teks dan gambar Ainal Marhaton Abd Ghani melaporkan...
BERTEMU dan bertentang mata dengan pasangan suami isteri yang pekak dan bisu bersama tiga zuriat yang semuanya dilahirkan dengan nasib yang sama, penulis tidak dapat membayangkan bagaimana kehidupan yang dilalui keluarga berkenaan.
Sunyi dan sepi sudah pasti menghiasi kamar waktu keluarga istimewa ini walaupun mulut terkumat-kamit untuk bersuara. Penulis bagai dihambat perasaan bersalah untuk berkongsi pengalaman dan ranjau hidup yang dilalui lima insan istimewa ini.
Tanpa berkesempatan mempelajari bahasa isyarat, penulis berterima kasih kepada seorang remaja, Che Nurul Syafiqah Che Nasir, 16. Dia sudi menjadi perantara ‘perbualan’ bersama keluarga itu yang berlangsung dalam suasana yang cukup mesra dan santai disulami dengan ‘suara nakal’ dan gerakan istimewa jari jemari anak pasangan itu.
Membuka bicara pagi itu, pasangan yang dimaksudkan, Mohamad Hoe Abdullah, 46, dan Roslina Sulaiman, 40, menyambut kehadiran kami dengan isyarat selamat datang dan mempersilakan kami duduk di beranda rumah untuk sesi temu bual.
Mohamad Hoe rancak bercerita menggunakan bahasa isyarat sebelum diterjemahkan Nurul Syafiqah. Paling menyentuh hati apabila penulis mendapati dia langsung tidak boleh mengeluarkan suara berbanding isterinya, Roslina dan anak mereka yang boleh mengeluarkan suara sekalipun tiada perkataan yang dapat diucapkan.
Anak bongsu dua beradik itu berkata, kakaknya (tidak dapat mengingati nama) juga dilahirkan bisu dan pekak. Tetapi kini terputus hubungan selepas dia memeluk Islam dan tidak berusaha untuk mencari walau di hati kecilnya ingin berbuat demikian.
Bekas Presiden Komuniti Orang Pekak Kuantan itu tidak pernah menyesali dikurniakan zuriat yang juga pekak dan bisu. Namun hati kecilnya tertanya-tanya mengapa ketiga-tiga putera dan puteri mereka dilahirkan sempurna tetapi tidak boleh mendengar dan bercakap.
Umpama perbualan antara ‘itik dengan ayam’, penulis cuba untuk berkomunikasi tetapi gagal menyebabkan terpaksa terus menggunakan khidmat Nurul Syafiqah.
Menceritakan kisah lalu, Mohamad Hoe yang berketurunan Cina dilahirkan bisu dan pekak memeluk Islam pada 1988 sebelum mengakhiri zaman bujangnya dengan mengahwini isteri tercinta, Roslina pada 1993.
Berasal dari Kampung Jawa, Kuantan, Mohamad Hoe yang menetap bersama bapa angkatnya selepas memeluk Islam menjadi guru di kelas Pendidikan Khas, Sekolah Rendah (SK) Sultan Abdullah, Kuantan sebelum bertukar bidang tugas sebagai pembantu am di sebuah pejabat guaman sehingga kini.
Ditanya bagaimana bertemu isterinya, tanpa berselindung, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Alor Akar (SMKAA), Kuantan itu berkata, dia meminta bantuan guru di tempatnya mengajar mencarikan jodoh untuknya dan tidak kesal memperisterikan wanita yang juga bisu dan pekak sepertinya.
“Sudah jodoh saya dengan orang senasib, terima sajalah,” ujarnya memulakan ‘bicara’ ketika ditemui di rumahnya di Perkampungan Sungai Isap Fasa Tiga di Kuantan, Pahang.
Pasangan istimewa ini dikurniakan seorang puteri dan dua putera yang bijak dan cemerlang dalam pelajaran dan kokurikulum masing-masing iaitu Siti Nurbaya, 17, yang menuntut di tingkatan lima Sekolah Menengah Pendidikan Khas (SMPK) Vokasional, Johor Bharu, Johor; Mohd Azrul Anuar, 15, di SMKAA dan Mohd Firdaus di SK Pendidikan Khas, Indera Mahkota.
Sesekali perbualan diganggu dengan ‘suara riuh’ anak-anak pasangan itu yang berbual dengan cara mereka tersendiri menggunakan kelebihan bahasa isyarat yang dipelajari secara formal sejak berusia empat tahun.
Roslina yang kelihatan malu-malu akhirnya ‘mencelah dan rancak bercerita’ mengenai kehidupan yang dilayari bersama suami dan anak-anak yang semakin meningkat remaja.
Anak sulung daripada sembilan beradik itu berkata, walaupun mereka sekeluarga tidak dapat mendengar dan bercakap seperti insan normal, kekurangan itu tidak menghalang mereka untuk meneruskan kehidupan seperti keluarga lain yang sempurna.
“Rumah kami memang sunyi dan sepi malah tiada apa yang boleh menukar keadaan ini. Gelak ketawa dan tangis hiba kami hanya Allah yang tahu. Kami terlalu ingin mendengar mereka menyebut perkataan ibu dan ayah, merengek dan menangis tetapi mungkin itu hanya sebuah impian yang tidak akan jadi kenyataan.
“Memang kami sangat rindukan suara kami sendiri, suara anak-anak tetapi apakan daya, saat itu tidak mungkin dapat kami nikmati hingga ke akhir hayat kami,” ujarnya.
Anak kelahiran Teluk Pahang, Rompin ini jelas membuktikan dia seorang wanita, isteri dan ibu yang cekal, tabah dan menerima pelbagai dugaan dan ujian Allah dengan hati terbuka serta reda dengan ketentuan-Nya.
“Pada peringkat awal berpindah ke sini, kami bimbang tidak diterima dan disenangi penduduk, maklumlah kami tidak sempurna seperti insan lain dan menghadapi kesukaran untuk berkomunikasi dengan jiran tetangga.
“Bagaimanapun, sikap negatif itu kami kikis sedikit demi sedikit dan akhirnya kami berjaya menawan hati jiran. Sejak itu rumah kami menjadi medan pertemuan jiran yang ingin mempelajari bahasa isyarat,” katanya.
Menyingkap naluri sebagai isteri dan ibu yang dilahirkan pekak dan bisu, Roslina tidak pernah menolak ketentuan Ilahi apabila dikurniakan zuriat yang senasib dengannya.
“Saya terima semua ketentuan Ilahi dengan hati yang tenang, reda, tidak menyesal atau terniat di hati untuk membuang zuriat sulung sebaik ia dilahirkan tanpa suara dan pendengaran.
“Sedih memang sedih malah kesedihan itu tidak mampu dibendung tatkala doktor mengesahkan anak sulung saya bisu dan pekak. Begitu juga pada kelahiran anak kedua dan bongsu yang dilahirkan dengan kekurangan sama tetapi saya terima mereka seadanya,” kata anak bekas Ketua Kampung Teluk Pahang, Rompin ini.
Roslina berkata, selain dirinya, tiga saudara kandungnya seorang lelaki dan dua perempuan juga dilahirkan bisu dan pekak malah ada dalam kalangan saudara-mara sebelah keluarganya dilahirkan dengan kekurangan itu selain arwah ibu mentua dan kakak iparnya yang juga dilahirkan bisu.
“Sebagai seorang Islam, saya terima semua ini dan yakin ada hikmah di sebaliknya. Mungkin suatu hari nanti, anak-anak saya menjadi seorang insan yang berilmu, beragama dan berjaya dalam hidup masing-masing.
“Jika boleh saya mahu anak saya menjadi guru bahasa isyarat kerana mereka pasti tidak diterima bertugas sebagai polis, tentera, jururawat dan doktor dengan kekurangan yang dialami,” katanya yang bekerja sebagai pembantu kantin di Sekolah Pendidikan Khas, Indera Mahkota.
Ketika diusik bagaimana mereka menjaga keharmonian rumah tangga serta mewujudkan resipi kebahagiaan dalam ‘sanggar cinta sepi’ selama 19 tahun itu, Roslina berkata, semuanya bermula dari mata, turun ke hati dan bersemadi di jiwa mereka anak-beranak.
“Memang kami tidak punya suara untuk bercakap, tidak boleh mendengar walau dikurniakan sepasang telinga, tetapi kami mampu melahirkan kasih sayang itu menerusi jari jemari kami yang tidak pernah penat ‘melafazkan kata-kata’ bagi mengukuhkan lagi jambatan cinta itu.
“Kami juga menggunakan kemudahan Internet dan telefon bimbit untuk menghubungi antara satu sama lain terutama dengan Siti Norbaya yang kini belajar di Johor,” katanya.
Sebagai pasangan bisu dan pekak yang sudah lama berkahwin, Roslina berkata, �kesetiaan, pengorbanan, kepercayaan, jujur dan amanah adalah resipi utama dalam menjamin kebahagiaan rumah tangga.
“Lebih-lebih lagi apabila pasangan itu dikurniakan anak yang nasib mereka seperti saya, jangan menyesal dengan ujian yang diberikan-Nya kerana ia mempunyai hikmah yang kita sendiri tidak tahu.
“Tidak memiliki pendengaran dan kegagalan bertutur tidak sepatutnya dilihat sebagai halangan untuk seseorang terus memburu impian,” ujarnya mengakhiri perbualan yang penuh kenangan manis itu.
0 comments:
Post a Comment