Followers
Tuesday, February 21, 2012
Pembahagian harta, adil ikut faraid
Pembahagian harta, adil ikut faraid
BAGAIMANAKAH pembahagian harta mengikut hukum faraid?
JAWAPAN:
Faraid dari segi bahasa adalah menentukan, memastikan, menghalalkan dan mewajibkan. Menurut istilah syarak, ia adalah pembahagian harta seseorang Muslim yang telah meninggal dunia, sama ada meninggalkan wasiat atau tidak sebelum kematiannya.
Maka, harta peninggalannya akan dibahagikan kepada waris seperti anak, isteri, ibu dan lain-lain menurut hukum Islam.
Harta yang dibahagikan kepada ahli waris adalah baki harta yang ditinggalkan setelah ditolak segala pembiayaan pengurusan jenazah, hutang si mati (zakat, nazar dan sebagainya) dan wasiat yang dibenarkan oleh syarak (tidak melebihi 1/3 dari jumlah harta).
Bentuk harta yang boleh dibahagikan secara faraid ialah:
1- Tanah
2- Bangunan (rumah)
3- Barang kemas (emas, perak dan sebagainya)
4- Insurans dan wang tunai (sama ada dilaburkan atau tidak)
5- Binatang ternakan seperti kambing, lembu, unta, kerbau dan sebagainya.
Merujuk kepada persoalan di atas, harta tersebut boleh dibahagikan setelah ditolak hutang, zakat, nazar dan lain-lain dan segala pembiayaan pengurusan jenazah.
Bahagian untuk waris si mati yang meninggalkan anak perempuan lebih daripada seorang ialah anak-anak perempuan tersebut berkongsi 2/3 daripada harta yang ditinggalkan oleh ibu bapanya yang meninggal dunia. Adapun nafkah untuk adik-adik perempuan yang kematian suami ialah mewarisi harta yang ditinggalkan oleh suaminya.
Firman Allah Taala yang bermaksud:
“Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan.
Tetapi jika anak-anak perempuan itu lebih dari dua orang, maka bahagian mereka ialah dua pertiga dari harta yang ditinggalkan. Dan jika anak perempuan itu seorang sahaja, maka bahagiannya ialah separuh harta itu.
Dan bagi ibu bapa si mati, tiap-tiap seorang dari keduanya seperenam dari harta yang harta yang ditinggalkan jika si mati ada anak. Tetapi jika si mati tiada anak, sedang yang mewarisinya hanyalah ibu bapanya, maka bahagian ibunya sepertiga.
Kalau pula si mati itu mempunyai beberapa saudara, maka bahagian ibunya ialah seperenam. (Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati dan sesudah dibayarkan hutangnya.
Ibu bapa kamu dan anak-anak kamu, kamu tidak mengetahui siapa di antaranya lebih dekat manfaaatnya kepada kamu. Ini adalah ketetapan dari Allah; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (Surah An-Nisa’ : Ayat 11).
Salah satu hikmah Allah menetapkan ilmu faraid adalah untuk mengelakkan berlakunya perebutan harta pusaka peninggalan si mati. Semua ahli waris layak mendapat hak masing-masing. Ini adalah keadilan menurut Islam yang perlu difahami bagi umat yang berakal.(SUMBER; KOSMO)
Labels:
FARAID,
Islam,
keluarga,
warisan harta dan wasiat.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment