Photobucket

Welcome

Assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Followers


Monday, February 20, 2012

Pentingnya Ilmu Faraid, Elak keluarga pecah-belah

Pentingnya Ilmu Pusaka/ Faraid,




ISLAM memandang serius berkenaan ilmu pusaka kerana ia antara cabang ilmu Fiqh yang begitu tinggi nilainya. Tidak hairanlah mengapa Islam menggesa umatnya supaya mempertingkatkan sistem urusan harta pusaka.

Apakah itu ilmu faraid?

Ilmu Faraid ialah: “Ilmu berkenaan kaedah-kaedah fekah dan hisab (matematik) bertujuan untuk mengetahui habuan yang bakal diperolehi oleh setiap ahli waris dari harta peninggalan si mati”.

 
Daripada Abdullah Bin Amru, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Ilmu itu ada tiga jenis, dan yang lainnya adalah satu kelebihan, iaitu ayat Quran yang bersifat hukum (muhkamah) atau sunnah (hadis) yang sahih atau faridhah (pembahagian pusaka) yang adil.” (Riwayat Abu Daud)

Faraid adalah ilmu mempelajari cara pembahagian harta warisan yang ditinggalkan berdasarkan syariat Islam. Apabila menguasai ilmu faraid maka pertelingkahan dalam urusan pembahagian harta dapat dihindarkan.

Abu Hurairah r.a. berkata, bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Pelajarilah ilmu faraid serta ajarkanlah kepada orang lain, kerana sesungguhnya, ilmu faraid setengahnya ilmu; ia akan dilupakan, dan ia ilmu pertama yang akan diangkat dari umatku.”
 (Hadis riwayat Ibnu Majah dan ad-Darquthni)

Allah berfirman yang bermaksud:

 “Dan janganlah kamu berikan kepada orang-orang yang belum sempurna akal, akan harta kamu yang Allah menjadikan kamu untuk memeliharanya dan berikanlah belanja dan pakaian untuk mereka daripada hartanya itu serta katakanlah kepadanya perkataan yang baik belanja dan pakaian (dari hasil harta itu) dan ucapkanlah kepada mereka kata-kata yang baik.

“Dan ujilah olehmu anak-anak yatim itu hingga sampai umurnya (baligh). Jika kamu menganggap mereka itu sudah berakal, berikanlah harta itu dengan kepadanya. Janganlah kamu makan harta itu dengan berlebih-lebihan dan bersegera kerana khuatir mereka menjadi orang dewasa. Barang siapa yang kaya, hendaklah dia menahan dirinya (supaya tidak memakan harta itu), dan barang siapa yang miskin hendaklah mereka memakan harta itu secara patut. Apabila kamu membayar harta mereka itu kepada mereka, hendaklah kamu persaksikan dan cukuplah Allah untuk Menghitungnya.”
 (Surah an-Nisaa’ ayat 5-6)

Terbukti Allah menetapkan peraturan yang perlu dipatuhi dalam urusan mengatur harta supaya ia dapat digunakan sesuai dengan ketentuan dan perintah-Nya.

Urusan pembahagian harta warisan perlu dilakukan secara adil bersandarkan syariat yang disampaikan menerusi al-Quran, sunnah dan ijmak ulama.



Allah berfirman yang bermaksud: 

“Demikianlah batas-batas (peraturan) Allah. Barang siapa mengikut (perintah) Allah dan Rasul-Nya, nescaya Allah memasukkannya ke dalam syurga yang mengalir air sungai di bawahnya, sedang mereka kekal di dalam­nya. Dan itulah kemenangan yang besar.

Dan barang siapa menderhakai Allah dan rasul-Nya dan melampaui batas-batas (larangan)-Nya, nescaya Allah memasukkannya ke dalam neraka, serta kekal di dalamnya dan untuknya seksa yang menghinakan”. (Surah an-Nisaa’ ayat 13 hingga 14)
Dalam membahagikan harta pusaka, ia perlu dijalankan dengan seadilnya. Jangan pula mereka yang berhak mendapatkannya dinafikan haknya.
Justeru, tidak mustahil ramai umat Islam pada hari ini tidak mahu membahagikan harta pusaka berdasarkan hukum faraid ataupun hukum lain dalam Islam seperti wasiat, sedekah, hadiah dan hibah.
Faraid sebenarnya pembahagian harta orang Islam sama ada meninggalkan wasiat atau tidak sebelum kematiannya. Harta peninggalan si mati dibahagikan kepada waris seperti anak, isteri, suami atau ibu berdasarkan hukum Islam.
Harta yang dibahagikan itu adalah baki harta yang ditinggalkan selepas ditolak segala pembiayaan termasuk pengurusan jenazah, hutang zakat, nazar dan wasiat yang dibenarkan syarak.
Antara harta yang boleh dibahagikan secara faraid adalah tanah, bangunan (rumah), barang kemas (emas dan perak), insurans dan wang tunai (dilaburkan atau tidak) serta binatang ternakan seperti kambing, lembu dan kerbau.
Dalam sistem pusaka Islam, terdapat lima waris yang tidak dihalangi sesiapapun di dalam pembahagian harta pusaka si mati iaitu suami atau isteri, bapa, ibu, anak perempuan dan anak lelaki.
Selepas seseorang itu mening­gal dunia, sebelum hartanya dibahagikan mengikut sistem faraid atau pusaka, beberapa hak perlu ditunaikan.
Pertama menyempurnakan hak yang berkaitan dengan ain harta yang ditinggalkan si mati. Mereka yang berhak terhadap harta peninggalan si mati adalah mereka yang mempunyai hak berkaitan dengan ain harta. Contohnya ketika hidup si mati pernah menggadai hartanya, maka pemberi gadai perlu dibayar bagi menebus ain harta itu.
Kemudian hak persiapan pengebumian iaitu perbelanjaan yang dikehendaki terhadap si mati bermula dari baru meninggal dunia hingga dia dikebumikan.
Perbelanjaan itu termasuk mandi, kafan, membawanya ke kubur dan pengebumiannya. Semua perbelanjaan perlu dibuat secara sepatutnya dan tidak berlebihan.
Selain itu, hak hutang piutang. Apabila selesai urusan belanja pengebumian, selesaikan hutang piutang si mati. Hutang berkenaan termasuk hutang dengan manusia dan hutang dengan Allah.
Jika si mati belum melaksanakan haji, berzakat, kafarah atau nazar maka ia perlu dilaksanakan. 

Sementara hutang dengan manusia termasuk si mati berhutang wang dengan orang lain.
Selesai menyempurnakan hak berkenaan, barulah sempurnakan wasiat si mati jika mempunyai lebihan harta dan ia tidak lebih satu pertiga daripada baki hartanya. Sekiranya lebih daripada satu pertiga, tidak sah wasiat itu kecuali diizinkan ahli warisnya.

Hak lain yang perlu ditunaikan adalah bahagian harta sepencarian. Jika ada antara waris ingin menuntut harta sepencarian, mereka perlu mengemukakan tuntutannya ke Mahkamah Syariah sebelum harta itu difaraidkan.

Harta sepencarian adalah harta yang diperoleh bersama suami isteri ketika perkahwinan. Akhir sekali, hak waris iaitu harta pusaka. Selepas disempurnakan semua hak di atas, bolehlah dibahagikan bakinya kepada ahli waris si mati yang berhak mengikut syarat dan tertibnya.
Mantan Eksekutif Penyelidikan dan Pembangunan Syarie Pusat Zakat Selangor, Md Ghazali Ibrahim berkata, pengurusan harta pusaka perlu diuruskan sebaiknya supaya tidak memberi kesan buruk kepada generasi akan datang.

“Menggunakan harta yang bukan hak milik seseorang membawa kepada kerosakan hingga ke generasi seterusnya.

“Harta pusaka peninggalan si mati perlu diuruskan supaya tidak melanggar hukum syarak secara sedar atau tidak. Ini termasuk membawa kepada dosa seperti memakan harta secara bathil, makan harta anak yatim serta makan hak si mati,” katanya.

Beliau berkata, institusi kekeluargaan juga boleh berbalah dan berpecah akibat gagal menguruskan serta menyerahkan harta pusaka kepada haknya.

“Hutang si mati tidak dapat dilunaskan dan wasiatnya tidak dapat dilaksanakan. Jika berlaku perkara sedemikian, ia pasti merugikan waris, masyarakat dan kerajaan.

“Ia memberi kesan terhadap kedudukan ekonomi umat Islam apabila cukai tidak dibayar bertahun-tahun lamanya, berlaku tunggakan ribuan ringgit kerana tanah ditinggalkan terbiar tanpa diusahakan.

“Bagi hartanah, selagi tidak berdaftar dengan nama si mati, selagi itulah sebarang urus niaga tidak dapat dijalankan. Tanah berkenaan tidak boleh dijual beli, dicagar, disewakan atau digadai,” katanya.
Md Ghazali berkata, sekiranya tanah itu diambil alih kerajaan bagi aktiviti pembangunan, wang pampasan atau ganti rugi tidak dapat diserahkan kepada waris hingga pusaka itu diselesaikan.

“Akhirnya, wang pampasan itu ‘ditahan’ begitu lama tanpa dapat dimanfaatkan waris. Maka waris perlu menyegerakan urusan harta pusaka si mati supaya yang layak mendapat hak sepatutnya, dapatkan kata sepakat dalam urusan pembahagian pusaka sebelum tuntutan dibuat di mana-mana pejabat, persetujuan yang membabitkan ramai pihak perlu dibuat secara bertulis (hitam putih) serta pembahagian perlu dilakukan segera selepas pihak pengurusan mengeluarkan perintah pembahagian pusaka.

“Umat Islam perlu menukar pemikiran mereka dan wasiat atau pengurusan harta pusaka tidak lagi dikaitkan dengan individu yang sudah berumur atau mereka yang ‘hampir’ meninggalkan dunia. Rancanglah sebaiknya supaya harta dan hutang dapat diselesaikan dengan segera dan mudah,” katanya.

Sumber : Harian Metro

0 comments:


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

...Jurnal Kehidupan... Template by Ipietoon Cute Blog Design