Photobucket

Welcome

Assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Followers


Tuesday, July 24, 2012

Pelajar Bawa Telefon Bimbut Isu dan Polemik

Pelajar Bawa Telefon Bimbut Isu dan Polemik


Kewujudan pelbagai konflik

BIARPUN baru memasuki frasa cadangan, isu sama ada membenarkan atau tidak pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah tahun depan pantas mendapat reaksi berbeza.

Pelbagai pendapat pro dan kontra dibentangkan selain melihatnya secara positif atau sebaliknya dengan pendapat masing-masing.

Hakikatnya, isu berkenaan bukan baru malah sebelum ini sudah ada cadangan melaksanakannya namun tidak menjadi kenyataan.

Yang menjadi teras persoalan ialah apakah kebaikan atau keburukan bakal dihadapi sekiranya ia direalisasikan mahupun jika tidak berjaya dilaksanakan.

Pensyarah Kanan Jabatan Pengurusan Sumber dan Pengajian Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia, Zuroni Md Jusoh berkata, senario berkenaan wajar dilihat secara menyeluruh agar tidak menjadi penyesalan masa depan apatah lagi membabitkan perubahan drastik pola kehidupan pelajar, guru dan sekolah.

Menurutnya, institusi sekolah biarpun tertakluk pada dasar ditetapkan namun pendekatan bersesuaian harus diambil kira dan diteliti supaya tidak menyusahkan mana-mana pihak.

“Sekolah keseluruhannya adalah aspek terpenting jika ingin melaksanakan atau tidak cadangan ini kerana sebarang tindakan diambil pasti merombak atau merubah situasi sedia ada.


“Dengan kata lain pihak terbabit perlu melihat dan menilai kemampuan, keupayaan mahupun persediaan sekolah dalam menangani apa jua keadaan berbangkit jika kebenaran ini diberi atau sebaliknya.

“Ini membabitkan institusi sekolah yang menjadi antara kelompok terbesar dan terpenting di negara ini. Justeru, perbincangan, kajian, panda�ngan atau apa jua tindakan bakal diambil memerlukan penelitian mendalam supaya tidak menjadi isu lain kelak”, katanya.

Tidak mahu bersikap skeptikal, beliau memberi contoh beberapa senario bakal timbul jika ia dilaksanakan.

Beliau berkata, jika direalisasikan, perkara asas bakal dihadapi ialah kewujudan pelbagai konflik yang dianggap kecil namun boleh merosakkan masa depan pihak sasaran.

“Antaranya, konflik sekolah dan guru dengan ibu bapa yang mana pelaksanaan itu boleh dianggap landasan mewujudkan ‘ketegangan’ emosi kedua pihak.

“Bayangkan, apa reaksi ibu bapa jika anak pulang dari sekolah dan mengadu guru marah kerana bertelefon. Adakah mereka boleh berdiam diri biarpun kesalahan mungkin datang daripada pelajar.

“Melihat reaksi ibu bapa hari ini, saya yakin keadaan pasti menjadi panas.
Nampak kecil tapi kesannya boleh berpanjangan dan menimbulkan konflik lain pula hingga meruncingkan keadaan yang sudah sedia runcing ini.

“Jadi tidakkah ia akan mengganggu kehidupan mahupun privasi pihak lain pula?” katanya.

Pada masa sama katanya, konflik ekonomi dalam kalangan ibu bapa juga akan wujud kerana pertambahan bebanan kewangan menambah nilai kad telefon yang digunakan anak.

“Kita maklum, semuanya bukan percuma. Diberi pula pada pelajar yang rata-ratanya memang gila melakukan pembaziran air liur.

“Bukankah ini turut mengganggu perjalanan ekonomi ibu bapa yang kini semakin sesak bergelut dengan kos sara hidup yang menjulang. Ini bakal mengundang konflik dalam keluarga pula.

“Saya percaya bukan semua ibu bapa mampu mengadakan kemudahan itu (telefon bimbit atau gajet). Jika tidak dituruti, cuba bayangkan apakah tindakan yang mereka akan lakukan semata-mata ingin memenuhi keperluan itu,” katanya tidak menyangkal akan wujud masalah sosial lain semata-mata mahu memuaskan kehendak hati.

“Pelajar golongan remaja yang sedang mencari identiti diri. Mereka sukakan perhatian, persaingan, dikenali serta berfikiran singkat dan kurang matang. 

Sudah pasti tidak mustahil mereka rela mengikut kata hati.

“ Jika ibu bapa tidak mampu memenuhi keinginan mereka, bayangkan pula tindakan bakal diambil pelajar berkenaan. Adakah mereka kisah mengenai soal maruah, alasan logik, kesusahan dan sebagainya?

“Tidak kerana yang penting ialah tidak mahu ketinggalan mahupun diperlekehkan rakan lain.

Jalan paling mudah terbabit dengan gejala sosial bagi memperoleh apa diingini,” katanya.

Ramai pihak juga ternyata kurang setuju dengan cadangan itu yang beranggapan seperti memanjangkan lagi langkah pelajar ke arah aspek negatif.

Antaranya bakal menyebabkan kurang tumpuan di kelas, meluaskan pergaulan alam maya yang memungkinkan melonjakkan lagi tragedi sosial dan sebagainya.

Beliau juga berpendapat, apa dilakukan sekolah hari ini sudah memadai dan alasan ibu bapa ia mudah untuk memantau pergerakan pelajar kurang praktikal.

“Pelajar sekarang adalah anak generasi teknologi, mereka bijak memanipulasi keadaan mahupun mencipta alasan. Telefon bimbit bukan jaminan mereka tidak berbohong.

“Masih ada cara lain ibu bapa boleh memantau pergerakan anak seperti mengenal pasti siapa rakan mereka, melakukan pemeriksaan mengejut dan sebagainya.

“Saya percaya kalau ibu bapa tidak bersikap lepas tangan, pergerakan anak boleh dipantau dengan baik. Tidak perlu telefon bimbit sebagai pengantara,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan keperluan telefon bimbit untuk pelajar dalam usaha mendedahkan mereka dengan penggunaan teknologi global.

“Kepentingan itu tetap ada dan kita juga tidak boleh menyekat daripada belajar atau tahu mengenainya.

“Sebab itu kebanyakan sekolah sudah menggunakan kaedah pembelajaran berbentuk moden sebagai alat bantuan mengajar mahupun menyediakan makmal komputer untuk mengakses maklumat dan sebagainya.

“Apakah kemudahan itu tidak cukup untuk memberi pendedahan teknologi hingga memerlukan gajet atau telefon bimbit bagi menjadikan suasana pembelajaran lebih seronok atau tidak ketinggalan.

“Justeru memberi kebenaran membawa telefon bimbit ke sekolah tidak sesuai kerana fungsinya nanti akan disalahgunakan hingga menjejaskan kepentingan proses pembelajaran lebih utama,” katanya.

Sumber; Harian Metro
Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/22

Telefon bimbit di sekolah boleh beri kesan negatif kepada pelajar

KUALA LUMPUR - Persatuan Pemilik-pemilik Telefon Bimbit (Perbit) Malaysia berpendapat kebenaran bagi pelajar menggunakan telefon bimbit di sekolah lebih banyak memberi kesan negatif daripada positif.

Presiden Perbit, Ali Ibrahim berkata selain mengganggu pelajaran, telefon bimbit yang menyediakan pelbagai akses internet akan memberi peluang kepada pelajar mengakses laman-laman pornografi di sekolah, yang mana akan menggalakkan aktiviti sumbang dan membawa implikasi negatif kepada masyarakat.  

"Pelbagai perkara yang tidak baik boleh berlaku termasuk mencuri, merompak, rogol, berzina, terlibat kegiatan samseng dan ponteng sekolah. Yang paling parah perkara ini banyak berlaku kepada remaja Islam," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Ali berkata pelajar akan berpendapat mereka bebas melayarai internet dan juga menghubungi sesiapa sahaja kerana tiada siapa tahu apa yang mereka buat selain tiada siapa yang memantau aktiviti mereka.

"Ini memberi satu impak negatif kepada pelajar, terutama pelajar Islam kerana kebanyakan mereka, walaupun di peringkat tingkatan lima, masih lagi belum matang," katanya.

Ali berkata penggunaan telefon bimbit di kalangan pelajar akan hanya mendatangkan pembaziran wang kerana terpaksa menjelaskan bil yang sepatutnya boleh digunakan untuk perkara-perkara lain yang lebih perlu.

"Pelajar juga akan terleka dengan hiburan yang tersedia dalam telefon bimbit hingga mengabaikan pelajaran," katanya.

Walaupun kebenaran untuk penggunaan telefon bimbit bagi pelajar adalah atas faktor keselamatan, Ali tetap bimbangkan penyalahgunaannya oleh pelajar.

Beliau berkata seharusnya setiap sekolah perlu menyediakan satu bilik telefon khas untuk pelajar membuat panggilan kecemasan kepada ibu bapa mereka bagi menggelakkan perlunya pengunaan telefon bimbit di sekolah.

Katanya, Perbit akan menjalankan kempen kesedaran penggunaan telefon bimbit kepada pelajar di seluruh Malaysia pada bulan hadapan. - Bernama

27 Julai 2012

0 comments:


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

...Jurnal Kehidupan... Template by Ipietoon Cute Blog Design