Photobucket

Welcome

Assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Followers


Friday, July 13, 2012

Sejarah Kejayaan Faiza Bawumi Sayed Ahmad

Sejarah Kejayaan Faiza Bawumi Sayed Ahmad




Saya ingin menjadi pembayar zakat terbesar di negara ini.” 
Itulah azam, pemilik syarikat pemborong beras 
Syarikat Faiza Sdn. Bhd., Faiza Bawumi Sayed Ahmad.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Kepada penduduk yang tinggal di Kawasan Peserai, @ Jalan Penambang Lama di Batu Pahat, mungkin biasa melihat Kilang Faiza di pinggir Sungai Batu Pahat. Begitu juga kepada peminat setia Bersamamu di TV3. Pasti nama Beras Faiza sentiasa bermain di minda.

Kisah kejayaan usahawan kerap menarik untuk dibaca dan menjadi sumber inspirasi untuk kita semua . Kisah yang ingin dipaparkan di sini bukan sesuatu yang baru kerana pernah disiarkan dalam beberapa akhbar dan media tempatan.

 Malah ramai yang telah menulis  tentang kisah kejayaan usahawan wanita ini yang juga adalah salah seorang tokoh Maulidurasul Peringkat Kebangsaan 2010/1431H.  Mari kita hayati sejenak info ringkas kisah usahawan beras Faiza Bawumi untuk dijadikan motivasi kali ini.

Faiza adalah pemilik syarikat pemborong beras Syarikat Faiza Sdn. Bhd. Beliau adalah wanita kelahiran Mesir yang berhijrah ke Malaysia pada tahun 1964 kerana mengikut suaminya. Beliau fasih berbahasa Melayu dan mampu menguasai bahasa Melayu setelah hanya tiga bulan berada di Malaysia. 

 Meskipun  sudah berusia lingkungan 60an, beliau yang juga seorang nenek kepada 32 cucu sibuk masih giat merancang strategi bagi mengukuhkan kedudukannya dalam pelbagai cabang perniagaan di negara ini.

Kisah bagaimana beliau dijodohkan dengan suaminya seorang lelaki asing yang sedang melanjutkan pengajian di Universiti Al-Azhar ketika itu tidak pernah dikenalinya, amat menarik dibaca. 

Ketika bapanya menyuruh beliau berkahwin dengan jejaka itu Faiza Bawumi baru sahaja berusia 16 tahun manakala suami beliau Abu Bakar Ahmad, 34. Namun kerana taat akan suruhan bapanya yang menyuruh beliau mengahwini  Abu Bakar selepas bapanya yang beristikharah beberapa kali, Faiza akur.

Setelah berkahwin dan dikurniakan cahaya mata yg pertama, beliau di bawa oleh suaminya untuk berhijrah ke Malaysia.  Untuk menghabiskan masa seharian, Faiza mencari aktiviti berfaedah yg boleh dilakukan bagi mengelakkan masanya terluang begitu sahaja.  Faiza yang memangnya dilahirkan dalam keluarga yang juga bergiat dalam perniagaan sememangnya cenderung melakukan aktivit-aktivit perniagaan kecil untuk memenuhi masa lapangnya.

KEJAYAAN TIDAK DATANG BERGOLEK



Kejayaan syarikat sekarang ini tidak datang dengan mudah. Beliau bermula dengan mengambil upah menjahit sulaman dengan modal RM4 selain menjual pelbagai barangan dapur. Kemudiannya beliau beralih membuat rempah kari di bawah jenama Bunga Raya yang dilakukan di rumah dan mengedarkannya di kedai-kedai.

Modal daripada menjual rempah kari itu digunakan untuk membuka kedai runcit. Menerusi syarikat FAIZA dimulakan pada tahun 1982, beliau menjalankan aktiviti runcit sebagai perniagaan teras. Dari situ beliau mendapati pemborong beras kebanyakannya dibekalkan oleh kaum lain.

 Pada permulaan perjalanan syarikatnya, Faiza mula belajar mengenali pelbagai jenis beras. Sebelum menjual beras, beliau terpaksa pergi dari satu kedai ke kedai lain bagi mendapatkan maklum balas sama ada mereka akan membeli berasnya jika beliau menjualnya.

Sekitar tahun 1992, Syarikat FAIZA secara rasminya diperbadankan menjadi Syarikat FAIZA Sdn. Bhd. (SFSB), dan menjalinkan modal usaha (venture capital) dengan Padiberas Nasional (BERNAS) pada tahun 1997.

BERMULANYA BERAS FAIZA DI PASARAN
 
Atas respons yang positif, Faiza memohon lesen pemborong beras dan menjual pelbagai jenis beras.
Pada permulaannya, beliau agak buntu melihat satu lori treler penuh berisi beras diletakkan di hadapan rumah, namun kerana tekad yang kuat, beliau nekad membungkus menggunakan jenama Bunga Raya dan menghantar ke kedai-kedai di seluruh Johor.

Meskipun saingan agak sengit perniagaan beliau mendapat sambutan. Trend kesedaran masyarakat terhadap kandungan pemakanan juga menjadi pemangkin kejayaan syarikat ini.  Pada awal tahun 90an, masyarakat mulai menjadi lebih peka kepada cara pembuatan dan kandungan makanan. 

Pada tahun 1998, beliau terdorong mempromosi beras ponni dari India yang dipercayai baik untuk kesihatan, khususnya bagi penghidap diabetes, obesiti dan darah tinggi. Pada ketika ini juga syarikat itu telah mula diperkenalkan dengan sejenis kategori beras berkualiti dari Kartanaka, India. Beras ini adalah jenis beras “Ponni”.

Faiza berkata, bagi membuktikan kebaikan beras itu, syarikatnya telah meminta Universiti Putra Malaysia (UPM) membuat kajian dan hasilnya memang positif. “Saya melabur berjuta ringgit bagi produk Taj Mahal dan telah meminta hak eksklusif daripada Bernas,” tambahnya yang gembira dengan sambutan orang ramai terhadap produk tersebut.

Menerusi produk berkualiti dan berkhasiat sesuai untuk pesakit seperti pesakit diabetik, SFSB memperkenalkan beras  “Ponni” ini ke seluruh Malaysia.

PRODUK HALAL THOYYIBA

Syarikat beliau kini telah dikenali kerana kualiti produk yang tinggi, seratus peratus buatan Islam dan halal. Beliau kini mempunyai kilang di Kuala Lumpur, Kedah dan Terengganu.

 Syarikat beliau kini mempunyai 200 pekerja tetap dan lebih 300 pekerja kontrak.

Syarikat Faiza kini juga meneroka bidang baru termasuk memasarkan bihun, sos cili dan kicap selain dari beras dan rempah. Bagi produk bihun pula, syarikatnya telah menempah mesin dari China dan produk itu akan diproses di sebuah kilang lain juga di Sri Gading.

Bagi produk bihun pula, syarikatnya telah menempah mesin dari China dan produk itu akan diproses di sebuah kilang lain juga di Sri Gading. Kilang tersebut mampu mengeluarkan sebanyak sembilan tan bihun sehari, namun pada peringkat awal cuma memproses lima tan bihun dengan sasaran jualan sebanyak RM12 juta bagi tahun pertama.

Beliau berharap dengan penglibatan dalam penghasilan produk tersebut ia memberi pilihan kepada orang Islam untuk mendapatkan produk yang bermutu tinggi dan tanpa diragui status halalnya.

Faizah berkata semua usaha yang dilakukan itu bukanlah untuk mengumpulkan kekayaan sebaliknya untuk menjadi pembayar zakat terbesar di Malaysia sekali gus membantu lebih ramai orang yang susah. Syarikat beliau adalah pembayar zakat terbesar dan kerap terlibat dalam program-program untuk membantu masyarakat seperti BersamaMu dengan TV3.

SUMBANGAN

Sumbangan

Kesenangan yang ada perlu dikongsi bersama dengan mereka yang memerlukan,terutama golongan miskin dan ibu tunggal, kata Faiza Bawumi Sayed Ahmad, tokoh Maulidur Rasul peringkat kebangsaan tahun ini.

Faiza, yang merupakan Pengarah Urusan Syarikat Faiza Sdn Bhd, yang sinonim dengan program realiti 
televisyen swasta tempatan yang berbentuk amal “Bersamamu” kerana syarikat itu merupakan penaja utama rancangan tersebut, berkata hasratnya kini adalah untuk menubuhkan Yayasan Faiza bagi membantu golongan tersebut.

“Pengalaman turun padang mendekati kehidupan golongan susah dan ibu tunggal membuatkan saya berhasrat untuk menubuhkan Yayasan Faiza satu hari nanti bagi menguruskan hal kebajikan dan sumbangan kepada orang ramai.

“Niat saya hanya satu, iaitu tujuan saya berniaga bukan untuk kekayaan diri sendiri, tetapi untuk membantu orang lain terutama golongan miskin dan ibu tunggal menikmati kehidupan yang baik,” katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Faiza juga turut menyarankan umat Islam di negara ini supaya hidup bersatu padu supaya tidak mudah ditindas oleh bangsa lain, dan hubungan yang kukuh sesama umat Islam bukan sahaja mampu memajukan masyarakat Islam di negara ini, malah mampu meningkatkan kedudukan ekonomi masyarakat tersebut.

“Kita kena bersatu supaya tiada sesiapa dapat pecah-belahkan kita. Bila kita lemah, kita kena tindas. Ibarat lidi, bila ia satu, maka ia mudah dipatahkan tetapi apabila ia banyak, maka tidak dapat dipatahkan dengan mudah,” kata anak kelahiran Mesir yang berhijrah ke Malaysia mengikuti suaminya Allahyarham Abu Bakar Ahmad yang merupakan rakyat Malaysia pada tahun 1964.

Faiza, 68, berkata  semua masyarakat Islam juga perlu mengamalkan cara hidup dengan berpegang kepada ajaran Al-Qur’an, dan bersikap sentiasa senang hati apabila melihat kesenangan orang lain, dan bukannya berperasaan iri hati serta berhasad dengi apabila melihat kejayaan orang lain.

Faiza berkata pengalamannya berniaga, termasuk berurusan dengan bangsa lain membuka mindanya untuk menyedarkan masyarakat Islam khususnya orang Melayu betapa perlunya mengamalkan sikap tolong-menolong antara satu sama lain seperti yang diamalkan bangsa lain.

“Pernah seorang peniaga bukan Melayu meminta saya berfikir antara dua jenis ketam iaitu ketam Melayu dan ketam bukan Melayu. Mulanya saya tidak faham apa yang dimaksudkannya dengan dua jenis itu sehinggalah peniaga itu kemudian menjelaskan bahawa ketam Melayu akan menarik kawannya jatuh ke bawah ketika berjalan mendaki bukit, manakala ketam bukan Melayu pula akan menolong kawan-kawannya,” katanya.

Faiza yang memiliki diploma dalam bidang jahitan sebelum berjaya mendirikan perusahaannya sekarang mula menceburi bidang perniagaan secara kecil-kecilan dengan menjahit pakaian, dan kemudian mengusahakan perusahaan rempah giling yang dijual kepada jiran serta kedai, sebelum membuka kedai runcit pada tahun 70-an.

Syarikat milik Faiza kini mengedar lebih 21 jenama beras di negara ini temasuk yang paling dikenali, “Herba Ponni Taj Mahal” dan anak syarikatnya, iaitu Faiza Marketing Sdn Bhd pula melibatkan diri dalam mengilang pelbagai jenis rempah termasuk rempah Raja Kari, rempah Bukhari dan terbaru, rempah rendang.

AMALAN PUAN FAIZA

Ibu kepada tujuh orang anak dan mempunyai 32 orang cucu itu juga berharap masyarakat Islam sentiasa mencontohi keperibadian Nabi Muhammad S.A.W dalam menjalankan kehidupan seharian, terutama amanah dan gigihnya Baginda Rasullulah dalam menjalankan perniagaan serta dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai pemimpin.

Faiza mengamalkan solat sunat tahajjud, solat sunat dhuha dan membaca Surah AlWaqiah hampir setiap hari sebagai ikhtiar untuk sentiasa mendapat keberkatan dan kemurahan rezeki dalam perniagaan.
Kisah kejayaan syarikat Faiza diharapkan menjadi inspirasi dalam apa bidang sekali pun, niat yang murni dengan usaha yang tidak mengenal jemu akan menghasilkan kejayaan.

Kejayaan juga tidak datang bergolek dan tidak ada jalan mudah untuk mencapai kejayaan sebenarnya. Seperti pepatah melayu, tidak dapat sagu jika tidak dipecahkan ruyungnya. Setelah melakukan usaha, seharusnya diiringi dengan berdoa dan bertawakal.

Info Faizah berasaskan rencana asal berkenaan Puan Faiza dari Kosmo.com.my, Utusan.com.my dan latar syarikat yang boleh dibaca menerusi laman web syarikat Faiza.

4 comments:

Kakzakie Purvit said...

Mencari satu yg begini di celah-celah kemajuan ekonomi yg dirangkumi bangsa asing amat mengkagumkan Ummu...

ummu said...

Kakzakie
insan sebeginilah yang perlu kita contohi,akak kak.barulah bangsa kita boleh maju

ummu said...

Kakzakie
insan sebeginilah yang perlu kita contohi,akak kak.barulah bangsa kita boleh maju

DESA PERMAI said...

Jgn ada dengki dan iri hati melihat kesenangan org lain..mudah2an kata2 itu menjadi pedoman buat org Islam semua supaya tiada perasaan dengki dan iri hati kpd org lain yg hidup lebih senang. Ramai antara kita, SUSAH melihat org SENANG. SENANG melihat org lain SUSAH..wallahuallam.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

...Jurnal Kehidupan... Template by Ipietoon Cute Blog Design